About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Tuesday, January 3, 2012

Surah al-Isra’


Malam ini Rabu Malam Khamis
11 Safar 1433- 05 Jan 2012
Tazkirah Mingguan
Masjid Abu Bakar, Kg Pintu Gerbang

Surah Isra’ ayat 85-93


85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan RABBku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
86. Dan sesungguhnya jika KAMI kehendaki, tentulah KAMI akan hapuskan apa yang KAMI telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap KAMI untuk mengembalikannya.
87. kecuali rahmat dari RABBmu; Sesungguhnya limpah kurnia-Nya ke atasmu (Wahai Muhammad & umat) amatlah besar.
88. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang sebanding dengan Al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya, walaupun adanya sebahagian mereka saling bantu-membantu sesama sendiri".
89. Dan sesungguhnya KAMI telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); Dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima, mereka lebih menyukai kekufuran.
90. Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, untuk kami.
91. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang berterusan terpancar.
92. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan AlLah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
93. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku! bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?



Menghadapi & Menjawab Soalan Sang Penanya
serta Permintaan daripada Sang Kafir Quraisy




85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan RABBku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
            Sebagai pencipta manusia AlLah SWT amat mengetahui citarasa yang mewarnai jiwa manusia. AlLah SWT Maha Tahu bukan sahaja yang tersurat, malah pengetahuan ilmu AlLah SWT dapat menembusi yakni mengetahui apa yang tersirat. DIA mewajibkan kita berdakwah; menyeru manusia untuk kembali kepada ajaran agama yang diredhai-NYA (Islam), agar manusia tidak selama-lamanya sesat, tersesat, & disesat. Semasa terjun & menggeluti sepak terajang & tribulasi dakwah, AlLah SWT dari awal-awal bagi memberitahu bahawa para pendakwah akan dihujani dengan pelbagai soalan. Pelbagai karenah soalan bakal ditusuk kepada jurudakwah. AlLah SWT telah menyediakan skima-NYA yang tersendiri sebagai jawapan yang mantap.
            Antara soalan yang biasa dipanahkan kepada jurudakwah ini ialah berhubung dengan roh. Roh inilah yang membezakan fungsi antara manusia dengan yang bukan manusia di dunia ini. Dalam menangkapi soalan berhubung dengan roh ini, AlLah SWT meminta kita agar menjawab dengan tegas bahawa persoalan roh ini  semata-mata urusan RABBku. Manusia tidak dibukakan pintu-pintu pengetahuan tentang roh ini kecuali hanya sedikit pengetahuan sahaja. Seterusnya AlLah SWT memberitahu bukan hanya pengetahuan tentang roh ini sahaja ilmu manusia terlalu cetek, bahkan keseluruhan ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu  sebetulnya amat terhad &  terlalu sedikit pula. Masih terlalu banyak ilmu yang tidak diketahui manusia & tidak diizinkan untuk manusia memilikinya. Contohnya ilmu manusia tidak dapat mengilustrasikan udara, masa, tenaga, di manakah mimpi, dsb.
            Ulama menjelaskan bahawa istilah roh itu merujuk kepada 3;
1- Roh itu ada masa-masanya bermakna al-Qur’an.                                                     Misalnya ayat  52 surah asy-Syura & ayat 2 surah an-Nahl.

2- Roh itu pada waktu tertentu bermakna Malaikat Jibril.
Misalnya ayat 193 & 194 surah asy-Syu’ara

3- Roh yang ada dalam badan manusia, seperti yang terdapat dalam ayat yang sedang kita bicarakan.

 

86. Dan sesungguhnya jika KAMI kehendaki, tentulah KAMI akan hapuskan apa yang KAMI telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap KAMI untuk mengembalikannya.
            AlLah SWT menegaskan bahawa ilmu yang dimiliki manusia hanyalah sedikit bahkan ilmu tersebut boleh hilang daripada ingatan manusia disebabkan lupa. Kehilangan ilmu juga boleh berlaku dengan matinya seseorang. Apabila berlaku gejala lupa ini seolah-olah AlLah SWT telah mengangkat ilmu-NYA yang ada pada dada manusia. Apabila AlLah SWT telah mengangkat ilmu tersebut maka tidak ada sesiapa yang boleh mengembalikannya kepada kita. Mati & lupa merupakan 2 cara AlLah SWT menarik balik nikmat ilmu-NYA daripada manusia. Ada waktunya berlakunya kematian & kelupaan ini disebabkan manusia tidak lagi menghargai ilmu yang ada.
            Misalnya banyak tuan-tuan guru pondok ra di negara kita diwafatkan AlLah SWT & kehilangannya tidak dapat digalanggantikan oleh semua muridnya. Kewafatan tuan guru pondok ini tidak sedikit kesnya yang mengheret sama berkuburnya institusi pengajian yang diasaskan tuan guru tersebut. Jelaslah ilmu yang ada dalam dada tuan guru tersebut ditarik balik oleh AlLah SWT. Misalnya dulu alam Melayu  ada Tok Kenali, tapi dengan kewafatannya itu tiada seorangpun yang mampu menggantikannya, menyebabkan institusi pondok yang diasasnya turut sama mengiringinya. Lupa merupakan salah satu cara lagi AlLah SWT menarik balik ilmunya. Gejala lupa ini terjadi disebabkan oleh sesuatu ilmu itu tidak lagi diguna pakai atau diamalkan. Misalnya ilmu faraid sekarang semakin menghilang, tak banyak dalam kalangan kita yang menguasai ilmu tersebut.
            Keadaan yang sama juga akan berlaku kepada wahyu AlLah SWT yang agung iaitu al-Qur’an. Suatu masa manusia tidak sudi lagi memperuntukkan sedikit masa untuk menatap, memahami, menghayati, mengamal, menyebarkan, & mempertahankan suruh & tegahan al-Qur’an. Lama-kelamaan apabila al-Qur’an tidak dilazimi bacaannya menyebabkan seseorang itu akan terlupa. Apabila menjadi lupa lama-kelamaan manusia tidak lagi akan membacanya. Apabila tidak ada lagi manusia yang sudi membacanya, maka naskhah al-Qur’an tidak akan ada lagi di pasaran. Tidak akan ada lagi cetakan sebab tiada permintaan kepada al-Qur’an. Pada masa itu seolah-olah ALLah SWT telah hapuskan wahyu-NYA.



87. kecuali rahmat dari RABBmu; Sesungguhnya limpah kurnia-Nya ke atasmu (Wahai Muhammad & umat) amatlah besar.
          Oleh sebab adanya rangkaian rahmat dari RABB kamu yang tak pernah terhenti biarpun sedetik, di samping adanya timbunan limpah kurnia-NYA memayungi & meliputi ke atas manusia, maka DIA tidak mengangkat wahyunya (al-Qur’an) dari dalam dada manusia & juga dari catatan yang terdapat dalam kitab. Bahkan sampai bila-bila pun akan ada segolongan manusia yang sudi membaca, menghafal, menyebar & mempertahankan titah perintah AlLah SWT yang ada termuat kejap dalam al-Qur’an, walaupun orang tersebut mungkin bukan kita.
            Imam Fakhruddin ar-Razzi menyatakan; AlLah SWT telah menyeliakan 2 nikmat-NYA kepada manusia,
1- Nikmat memudahkan mereka membaca al-Qur’an walaupun mereka bukan orang yang berketurunan Arab
2- Nikmat memudahkan mereka untuk menghafal al-Qur’an & hafalan itu kekal bersamanya di dalam dada & tidak boleh dicuri sesiapa

            Antara nikmat terbesar yang akan kita dapati ialah nikmat hendak atau ingin sangat membaca al-Qur’an, nikmat membaca al-Qur’an tidak akan terhenti sekadar untuk mengenal hurufnya sahaja, bahkan seseorang itu akan cuba memahami kandungan al-Qur’an pula, nikmat berikut dirasakan tidak cukup jika tidak ditunaikan titah perintah-NYA, kerana al-Qur’an merupakan hidangan untuk jiwa yang paling lazat & berkhasiat.


88. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang sebanding dengan Al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya, walaupun adanya sebahagian mereka saling bantu-membantu sesama sendiri".
          Umum mengetahui al-Qur’an merupakan wahyu & mukjizat yang paling hebat. Al-Qur’an merupakan garapan & hasil pena AlLah SWT. Pemilihan fonemnya, pemilihan diksinya, susunan morfologinya, deretan frasa-frasanya, muatan klausa-klausanya membentuk semantik yang menerbitkan pragmatik yang pelbagai tidak akan mampu ditiru oleh semua manusia yang pakar dari dahulu hinggalah ke hari kiamat. AlLah SWT tetap membuka gelanggang cabaran untuk manusia menghasilkan sebuah surah seumpama yang ada dalam al-Qur’an; sama ada surah yang paling panjang Surah al-Baqorah dengan muatan 286 ayat, atau menghasilkan Surah al-Kauthar yang sepanjang 3 ayat.
            Sehebat mana pemilihan kata yang dibuat oleh kumpulan pakar yang dianggotai oleh manusia & jin, pemilihan kata yang dihasilkan hanyalah pemilihan kata dari seorang hamba. Tidak ada pernah sama sekali akan sama dengan pemilihan kata oleh AlLah SWT Pencipta semua hamba. Oleh sebab al-Qur’an merupakan wahyu & mukjizat; memandang al-Qur’an kita diberi pahala, memegang al-Qur’an juga berpahala, membaca al-Qur’an berpahala, memahami makna ayat al-Qur’an berpahala, mengamal titah perintah al-Qur’an berpahala, menyebarkan ajaran al-Qur’an berpahala, & mempertahanakan keindahan ajaran al-Qur’an berpahala.
            Pahala membaca al-Qur’an terlalu hebat; satu huruf dapat 10 pahala. Jika dibaca Aliif Laam Mim, kita akan mendapat 30 pahala. Jika kita tergagap-gagap membaca al-Qur’an kita diberi doublepahala, misalnya kita membacakan Aliif Laam Mim kita akan mendapat 60 pahala. Jika kita menjadi pembaca al-Qur’an yang mahir, bacaan kita akan disertai oleh para malaikat. Al-Qur’an yang dibaca, difahami, diamal titah perintahnya, akan menjadi peguambela kita dalam 2 suasana ;sewaktu berdepan dengan Mungkar & Nakir di alam pusara; sewaktu kita dibicarakan di Padang Mahsyar di samping itu pembaca al-Qur’an akan dipakaikan dengan mahkota. Dengan mengenakan mahkota pembaca al-Qur’an akan diberi peluang untuk membebaskan 10 orang kerabatnya yang menjadi penghuni tegar di neraka.

 
89. Dan sesungguhnya KAMI telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); Dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima, mereka lebih menyukai kekufuran.
          Untuk lebih mudah memahami kandungan al-Qur’an, AlLah SWT telah menyebut & membawakan pelbagai ragam perumpamaan kepada manusia. Seringkali DIA membandingkan manusia dengan haiwan ternak bahkan manusia lebih sesat. Hal ini terjadi kepada manusia yang ada akal tapi tidak digunakan untuk berfikir tetang keesaan AlLah SWT. Ada mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kebesaran AlLah SWT. Ada telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar peringatan & ayat-ayat AlLah SWT. Ada masanya AlLah SWT membanding buah-buahan di syurga sebagaimana buahan yang kita lihat di dunia. AlLah SWT juga mendatangkan perumpamaan syurga-NYA itu ada sungai, penghuninya memakai pakaian sutera yang berwarna hijau. Syurga warnanya hijau. Penghuni neraka pula matanya berwarna biru.
            Perumpamaan yang seumpama ini untuk memudahkan manusia memahami dengan sejelas-jelasnya apa yang disampaikan AlLah SWT. Dengan erti kata lain, akal yang dibekalkan-NYA kepada semua manusia mampu & boleh memahami dengan sejelas-jelasnya titah perintah AlLah SWT walaupun seseorang itu tidak mengenal huruf & angka.

 
90. Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, untuk kami.
                   Dalam ayat ini AlLah SWT membawakan sejarah RasulLulLah SAW kepada kita semasa kerja-kerja dakwahnya, suatu waktu dahulu. Apabila Baginda Nabi SAW mengajak mereka supaya beriman hanya kepada AlLah SWT, mereka meminta pelbagai projek daripada Baginda SAW. Pemikiran kebendaan kejap tertanam dalam naluri geng-geng jahiliyyah ini sama ada pada zaman dahulu ataupun kini. Ganjaran pahala yang dioferkan Baginda Nabi SAW tidak menaik minat mereka sebab pahala tidak nampak dilihat dengan mata & kepala mereka. Mereka tetap mahukan projek fizikal yang dapat ditonton. Antara projek yang mereka pinta ialah projek tali air, longkang, atau parit.
            Keadaan yang sama berlaku pada hari ini, banyak manusia tidak sudi untuk menjadi penyokong dakwah kerana mereka tidak dapat habuan apa-apa yang berbentuk fizikal. Sebab itulah banyak manusia sanggup menyokong puak yang menetang ajaran AlLah SWT kerana mereka dapat sehelai kain batik & sekilo gula. Misalnya lagi banyak manusia yang sedia menjadi menyokong kepaa mereka yang menghalalkan judi walaupun umum mengetahui AlLah SWT & Islam mengharamkan judi.  Tapi ada banyak manusia yang sanggup membela golongan yang mengizinkan judi ini kerana mereka diberi sebuah mangkuk tandas.
            Sejak dari dahulu lagi Baginda Nabi SAW tidak pernah menjadikan projek mee segera sebagai modal  & deretan janji manis untuk menarik manusia kepada agama AlLah SWT. Baginda Nabi SAW menjanjikan pahala dari AlLah SWT kepada sesiapa yang sudi mendokong & membela agama AlLah SWT ini. walaupun Baginda Nabi SAW pemegang kunci & perbendaharaan kekayaan bumi, tapi Baginda SAW tidak pernah menjanjikan pelbagai projek untuk sasaran dakwahnya.   


 
91. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang berterusan terpancar.
          Selain daripada mereka pinta  projek tali air, longkang, atau parit. Mereka juga akan beriman dengan ajaran Nabi Muhammad SAW jika Baginda SAW itu terdiri daripada orang kaya, yang memiliki kebun-kebun tamar & anggur. Kalau Baginda Nabi SAW tidak ada ladang kurma & anggur, mereka meminta Baginda Nabi Muhammad SAW agar membuatkan untuk mereka projek-projek sungai & sungai tersebut tidak akan kering walaupun pada musim kemarau. Mereka yang hanya buta hatinya ini tidak nampak apa-apa kecuali hanya nampak apa yang ada di hadapan mata. Seandainya Baginda SAW berjaya mendatang apa yang mereka pinta, kononnya selepas itu mereka akan beriman.
            Kalau pun Baginda Nabi Muhammad SAW bermunajat kepada AlLah SWT memohon apa yang mereka pinta & AlLah SWT memakbulkan semua permintaan, mereka tetap tidak beriman. Mereka tetap kufur. Apa yang berlaku kepada Nabi AlLah Salleh boleh dijadikan bukti. Kaum Thamud meminta kepada Nabi AlLah Salleh AS agar mengeluarkan anak unta betina dari dalam batu dengan ikatan janji jika betul & benar Nabi AlLah Salleh AS boleh mengeluarkan anak unta betina dari dalam batu mereka akan beriman. Apa yang berlaku apabila AlLah SWT memakbulkan permintaan Nabi AlLah Salleh AS ialah bukan sahaja mereka tidak beriman,malah mereka berpakat untuk membunuh unta tersebut & membahagi-bahagikan dagingnya.    


92. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan AlLah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
          Permintaan golongan jahiliyyah ini rupanya semakin hari semakin melampau. Mereka mencabar Baginda Nabi Muhammad SAW agar menggugurkan langit menjadi sekeping-sekeping dan menimpa ke atas kepala mereka biar mereka mati kerana mereka tidak mahu beriman.  Sepanjang sejarah anbiya dalam meneruskan agenda dakwah, Baginda Nabi ASW hanya menyampaikan suruhan AlLah SWT, antara lain memberitahu AlLah SWT pernah menurunkan azab & balanya kepada kaum yang tidak mahu beriman. Golongan jahiliyyah ini sengaja memusing isu & meminta Baginda SAW menurunkan bala& azab. Sedangkan Baginda SAW tidak pernah mendakwa yang dia yang akan menurunkan bala & azab tetapi AlLah SWT. Azab & bala yang diturunkan AlLah SWT tidak payah diminta, kerana ALLah SWT tidak pernah terikat dengan permintaan manusia. DIA akan menurunkan azab & bala-NYA, sesuka-NYA, mengikut masa yang disukai-NYA dengan cara-NYA.
            Golongan jahiliyyah dahulu juga pernah meminta dengan Baginda SAW untuk bertemu dengan AlLah SWT & para malaikat sebagai prasyarat untuk mereka beriman. Permintaan mereka golongan jahiliyyah ini sebenarnya hanya untuk mempersendakan RasullulLah SAW sahaja. Di samping untuk mempersenda mereka juga ingin menyakiti perasaan Baginda Nabi SAW dengan permintaan mereka yang tak masuk akal yang sihat itu. Kita juga sebagai pendakwah pada hari ini akan berdepan juga dengan soalan & permintaan yang sedemikian. SubhanalLah, sungguh benar al-Qur’an ini, apa yang diberitahunya betul-betul berlaku.


93. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku! bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?
            Persendaan melalui permintaan daripada golongan jahiliyyah ini semakin bertambah kemengarutannya. Mereka seakan memaksa Baginda Nabi SAW agar membina rumah Baginda SAW daripada emas sebagai salah satu syarat untuk mereka beriman. Seterusnya mereka meminta Baginda Nabi SAW agar membuat satu projek biar mereka & Nabi SAW naik ke langit selepas itu berjumpa dengan AlLah SWT meminta sebuah kitab dari AlLah SWT untuk mereka membacanya, jika Baginda Nabi SAW dapat melakukannya barulah golongan ini akan beriman, kata mereka. Sebetulnya AlLah SWT tidak ada masalah sedikitpun untuk menunaikan permaintaan mereka itu. Tetapi sengaja AlLah SWT tidak menunaikannya. AlLah SWT yang Mahu Tahu niat & bisikan hati nurani mereka tahu, permintaan itu hanyalah alasan sahaja. Sebelum ini mereka pernah meminta Baginda Rasul SAW agar membelah bulan. Sirah merakamkan Baginda SAW pernah bermunajat kepada AlLah SWT agar dijadikan bulan terbelah. Ya dengan izin-NYA bulan memang benar-benar terbelah & dapat disaksikan di pelbagai lokasi yang berbeza-beza. Tapi apa yang belaku berimankah mereka? Tidak, mereka tetap tidak beriman, bahkan menuduh Baginda SAW yang mulia sebagai tukang sihir yang handal.
            AlLah SWT meminta Nabi-NYA SAW agar beritahu kaum jahiliyyah itu bahawa Baginda SAW hnayalah seorang rasul sahaja, yang berkerja menurut titah & perintah AlLah SWT, bukan tukang bahagi projek itu & ini.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters