About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Tuesday, January 17, 2012

Surah al-Isra’ Ayat 101 - 111



Tazkirah Mingguan
Rabu Malam Khamis
Masjid Abu Bakar, Kg Pintu Gerbang
25 Safar 1433 – 19 Jan 2012

Surah al-Isra’ Ayat 101 - 111
  
101. Dan sesungguhnya KAMI  telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir"
102. Nabi Musa menjawab: "Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan RABB  yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
103. Maka Firaun pun berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu KAMI tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.
104. Dan KAMI katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): "Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, KAMI  datangkan kamu (ke padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.
105. Dan Dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat KAMI turunkan Al-Qur’an, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah KAMI mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
106. Dan Al-Qur’an itu KAMI bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan KAMI menurunkannya beransur-ansur.
107. Katakanlah (Wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Qur’an atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);
108. Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji RABB Kami tetap terlaksana. "
109. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Qur’an menambahkan mereka khusyuk.
110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama " AlLah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana AlLah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.
111. Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi AlLah yang tiada mempunyai anak, dan tiada baginya sekutu dalam urusan kerajaan-NYA,  dan tiada baginya penolong disebabkan sesuatu kelemahan; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-NYA dengan bersungguh-sungguh!"





101. Dan sesungguhnya KAMI  telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir"
                             AlLah SWT menjelaskan yang DIA telah memberikan 9 mukjizat kepada Nabi Musa AS. Antara mukjizat tersebut ialah;
1- tongkatnya boleh bertukar menjadi ular
2- tangannya bercahaya cerah seperti matahari
3- tongkatnya boleh membelah laut
4- tongkatnya apabila dipukul ke batu, dari batu itu keluar air
5- lidahnya menjadi fasih
6- turunnya hidangan man & salwa
7- dilindungi awan semasa berjalan
8- AlLah SWT memberikan wahyu kepadanya secara langsung tanpa perantaraan malaikat Jibril
9- menerima Taurat yang lengkap pada suatu malam

Dikatakan juga 9 mukjizat yang dimaksudkan ialah; tongkat, tangan,belalang, kutu, darah, katak, banjir besar, laut, & gunung Sinai.

AlLah SWT menitahkan Rasul Akhir Zaman agar bertanya kepada Bani Israil apakah peristiwa yang berlaku sewaktu Nabi AlLah Musa AS datang untuk berdakwah kepada Fir’aun. Kebanyakan keturunan Bani Israil sebenarnya tidak mengetahuinya. Lalu AlLah SWT menjelaskan bahawa Fir’aun telah melemparkan tuduhan terhadap Nabi AlLah Musa AS dengan tuduhan liar & tidak bertanggungjawab iaitu Nabi Musa AS merupakan seorang yang terkena ilmu sihir. Pada masa yang lain pula Fir’aun menuduh Nabi AlLah Musa AS sebagai tukang sihir yang mahir. Membayangkan bertapa celarunya penentang dakwah ini di sepanjang zaman, tuduhan mereka dibuat sesuka hati & sesedap rasa sahaja.  




102. Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya engkau (hai Fir’aun) telah mengetahui: Tidak ada yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan RABB  yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
          Nabi Musa AS menegaskan kepada Fir’aun bahawasanya sebenarnya Fir’aun mengetahui bahawa mukjizat-mukjizat itu datangnya dari AlLah SWT yang juga pencipta & pentadbir langit & bumi; bukan datang daripada kepandaiannya. Nabi Musa AS cuba menyelitkan dakwahnya iaitu, usah dirasa hairan dengan mukjizat yang kecil yang ada padanya itu kerana memberi mukjizat itu AlLah SWT yang Maha Hebat dapat menciptakan langit & bumi yang jauh lebih agung berbanding dengan tongkatnya boleh menjadi ular. Tongkatnya menjadi umar untuk masa yang sekejap sahaja kemudian bertukar menjadi tongkat semula. Sedang AlLah SWT menjadikan bumi ini berpusing dari dahulu hingga kini tak pernah berhenti pusingannya walaupun sesaat. Usahkan sejam.
          AlLah SWT memberikan mukjizat tersebut sebagai bukti kebenaran ajaran Islam & kebenaran Nabi Musa AS sebagai salah seorang utusan-NYA. Seterusnya Nabi Musa AS memberitahukan kepada Fir’aun melalui wahyu yang diterimanya, jika Fir’aun tidak menerima ajakan dakwahnya maka AlLah SWT akan membinasakan Fir’aun.   



 

103. Maka Firaun pun berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu KAMI tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.
          Fir’aun bukan sahaja tidak menerima ajakan untuk beriman kepada AlLah SWT, tetapi merancang untuk mengusir Nabi Musa AS & pengikut-pengikut yang beriman dari bumi Mesir. Perancangan Fir’aun itu didedahkan oleh AlLah SWT terlebih dahulu kepada nabinya, lalu Nabi AlLah Musa AS pun membawa kesemua pengkitnya yang beriman untuk meninggalkan bumi Mesir pada waktu malam. Keesokan harinya Fir’aun menyedari kehilangan kaum Bani Israil & segera mengumpulkan kesemua askarnya untuk mengejar. Sewaktu Fir’aun menghampiri tempat Bani Israil, AlLah SWT memerintahkan agar Nabi Musa AS memukul laut yang berada di hadapannya & dengan kehendak serta  izin AlLah SWT laut yang luas itu menjadi terbelah dua, membentuk lorong seperti di lereng di antara dua gunung. Nabi Musa AS & pengikut segera menyeberang laut tersebut, kemudian diikuti tentera Fir’aun yang cuba mengejarnya.
          Apabila Nabi Musa AS & semua pengikut yang beriman selamat menyeberang laut tersebut, AlLah SWT memerintahkan agar laut kembali bertakup & menyebabkan Fir’aun serta semua tenteranya tenggelam di lautan. Sebagai tanda bukti kemahaperkasaan-NYA, AlLah SWT telah mengirimkan bangkai Fir’aun ke tepi pantai untuk menjadi tontonan & pengajaran kepada para manusia yang beraqal.



104. Dan KAMI katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): "Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, KAMI  datangkan kamu (ke padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.
          Seterusnya AlLah SWT memeintahkan kepada kaum Bani Israil agar mereka menetap di bumi Syam untuk satu tempoh masa yang tertentu. Setelah itu mereka semua akan dimatikan & apabila tiba saatnya mereka semua akan dibangkitkan untuk dihimpunkan di Mahsyar. Pergerakan manusia dari kubur menuju Mahsyar itu dalam keadaan bercampur aduk kerana ramainya manusia.
          Dalam hadis-hadis tertentu Baginda Nabi SAW menerangkan cara pergerakan dari kubur ke Mahsyar itu terbahagi kepada 3 kumpulan;
1- yang berjalan kaki
2- yang berkenderaan
3- yang berjalan dengan mukanya

SubhanalLah. AlLah SWT yang boleh mengizinkan kaki untuk melangkah pada hari ini, AlLah SWT itulah juga yang akan mengizinkan manusia berjalan dengan menggunakan muka pada suatu masa nanti.
         

 

105. Dan dengan kebenaran  KAMI  turunkannya( Al-Qur’an), dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah KAMI mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
          AlLah SWT menegaskan bahawa dengan kebenaranlah DIA menurunkan al-Qur’an & dengan diiringi kebenaranlah al-Qur’an itu diturunkan. Ya al-Qur’an diturunkan untuk diambil manfaatnya oleh manusia sebagai pedoman hidup siang & malam, 24 jam sehari. Al-Qur’an bukan hanya untuk dibacakan kepada orang yang sudah mati atau dibacakan untuk menghalau pelesit. Dengan al-Qur’an yang ada itulah AlLah SWT mengutuskan Nabi Akhir Zaman untuk memberikan khabar serta berita gembira kepada ahli atau penganut yang taatkan titah perintah AlLah SWT, i         aitu adanya syurga untuk mereka. Pada masa yang sama memperingatkan golongan & geng-geng yang derhaka, bahawa untuk mereka AlLah SWT telah sediakan api yang bernyala-nyala yang dikenali neraka.


 

106. Dan Al-Qur’an itu KAMI bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan  tenang; dan KAMI menurunkannya beransur-ansur.
          AlLah SWT menjelaskan DIA sengaja menurunkan al-Qur’an itu secara beransur-ansur memakan masa di sekitar 23 tahun, agar Nabi Muhammad SAW & umat dapat mempelajari secara tenang & tidak tergesa-gesa. Al-Qur’an diturunkan bertahap-tahap agar mudah diamalkan satu persatu agendanya. Dengan demikian dapat difaham Pemilik Islam ini tidak suka sesuatu pekerjaan itu dilakukan secara tergesa-gesa. Pekerjaan yang dilakukan secara tenang dapat menghasilkan impak yang lumayan & berkesan berbanding yang dibuat secara tergesa-gesa. 




107. Katakanlah (Wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Qur’an atau kamu tiada beriman, ; kerana Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, mereka segera    bersujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);
      Kepada mereka yang tidak mahu beriman atau yang bercadang untuk tidak beriman, AlLah SWT menitahkan Baginda SAW memberitahu secara tegas; sama ada kamu mahu beriman atau tidak mahu beriman, semua itu tidak memberi kesan & bekas kepada AlLah SWT. Walaupun mereka pada hari ini yang berada di sini, di tempat ini tidak mahu beriman, tapi mereka perlu tahu bahawa orang-orang yang hidup sebelum mereka sudah banyak yang beriman. Kesemua mereka yang beriman itu bukanlah orang yang bodoh tetapi mereka sebahagiannya merupakan golongan cendekiawan. Kecendekiawan mereka dapat dilihat pada tingkah mereka iaitu apabila mereka membaca ayat-ayat AlLah SWT atau apabila mendengar ayat-ayat al-Qur’an dibaca, mereka segera bersujud. Bersujud kerana terharu, hiba, & khusyuk hatinya serta mereka sujud kepada titah & perintah AlLah SWT. Mereka tidak menentang sebarang perintah tersebut, semuanya diakuri.  



108. Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji RABB Kami tetap terlaksana. "
          Mereka yang dikira cendekiawan dengan AlLah SWT ini, di samping selalu bersujud kepada-NYA, mereka juga tak pernah goyah keyakinannya kepada AlLah SWT. Mereka yakin seyakin yakinnya janji AlLah SWT tetap terlaksana & benar tiada siapa yang boleh menghalangnya.


 

109. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Qur’an menambahkan mereka khusyuk.
          Ritma & melodi al-Qur’an yang dibaca menjadikan mereka khusyuk hatinya & tanpa diminta-minta, mereka akan mengeluarkan air mata terharu, kerana semua janji AlLah SWT yang terpeta dalam al-Qur’an pasti berlaku. AlLah SWT tidak akan sekali-kali mungkiri janji-NYA. Kerana semua janji AlLah SWT itu untuk kebaikan manusia sedang DIA tidak ada manfaat & kepentingan pun dengan semua janji-NYA. Ya, mereka cukup teharu dengan berbuat amal soleh yang terlalu sedikit tetapi diganjari dengan pahala yang berganda-ganda & seterusnya beroleg syurga & kekal pula di dalamnya.



110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama " AlLah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana AlLah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.
                  AlLah SWT mengajarkan etika & etiket berdoa kepada kita supaya doa & permohonan kita itu didengari & dimakbuli-NYA. Dalam berdoa DIA meminta kita perbanyakkan menyebut nama Ya AlLah & Ya Rahman. Di samping itu DIA juga memberitu DIA mempunyai banyak lagi nama-nama yang baik yang dikenal sebagai Asma ul Husna. Jadi untuk berdoa seru & mintalah dengan nama-nama itu
                         DIA juga mengingatkan kita agar jangan menggunakan suara terlalu kuat apabila berdoa kerana itu akan mengganggu orang lain tapi berdoalah dengan suara yang sederhana.

     
111. Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi AlLah yang tiada mempunyai anak, dan tiada baginya sekutu dalam urusan kerajaan-NYA,  dan tiada bagi-NYA penolong dari kehinaan ; dan agungkan DIA seagung-agungnya!"
       Yakinlah segala puja & puji hanya milik AlLah SWT sahaja & hanya dia layak & berhak untuk menerima pujaan & pujiaan. DIA tidak memerlukan anak sebagaimana semua manusia & makhluk ciptaan. DIA juga tidak perlukan rakan seperbincangan untuk menentukan polisi pemerintahan-NYA. DIA mentadbir dengan ESA-NYA. DIA tidak perlu kepada penolong-penolong kerana DIA Maha Suci dari kelemahan & kehinaan. Jom kita agungkan DIA seagung-agungnya kerana hanya DIA Yang Maha Agung.
              

No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters