Tazkirah Dwi Bulanan
21 Safar 1433 – 15 Jan 2012
Sabtu Malam Ahad
Minggu kedua & keempat
Masjid Tok Ku Yam, Kg Pulau Melaka,
Sering, Kota Bharu, Kelantan
Surah al-Fatihah ayat 4-7
مٰلِكِ يَومِ الدّينِ ﴿٤﴾ إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ ﴿٥﴾اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ ﴿٦﴾ صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ ﴿٧﴾
4. Raja
pada hari Din.
5.
ENGKAU sahaja (Ya AlLah) Kami sembah, & kepada ENGKAU sahaja kami memohon
pertolongan.
6.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
7.
Iaitu jalan orang-orang yang ENGKAU telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan
(jalan) orang-orang yang ENGKAU telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang
yang sesat.
4. Raja
pada hari Din.
AlLah SWT
menegaskan bahawa DIA merupakan Raja Maha Agung pada suatu hari yang dipanggil
Yaumi Din=Hari Akhirat=Hari Qiyamat. Kita diwajibkan paling kurang dalam 24
jam, membaca & mengingati 17 kali sehari perkataan Yaumiddin, iaitu pada
setiap kali kita solat, kita diwajibkan membaca al-fatihah. Begitu serius AlLah
SWT meminta kita menyebut perkataan Yaumiddin ini, mudah-mudahan dengan
penyebutan yang begitu kerap itu akan menyebabkan Yaumiddin itu lekat dalam
hati. Yaumiddin kadangkala dipanggil Yaumil Akhir, iaitu hari yang terakhir
adanya & tidak ada lagi hari yang lain sesudahnya.
Apakah
agenda yang bakal menanti pada Yaumiddin itu? Sehingga kita diminta menyebut
& mengingatinya? Samakah dengan adanya hari-hari yang lain, misalnya hari
kemerdekaan? Rupanya tidak sama & tidak akan sama sampai bila-bila. Kita
boleh berkecuali & tidak payah berbuat apa-apa pada hari kemerdekaan jika
kita malas atau kita sibuk dengan hal yang lain atau kita boleh pergi bercuti.
Pada Yaumiddin bolehkan kita berkecuali atau tidak mahu terlibat? Yaumiddin
semua yang pernah diberi pinjaman nyawa sesama di dunia sama ada sebentar atau
lama, dipaksa terlibat & mengambil bahagian dalam setiap atur cara yang
ditetapkan. Untuk apa semua manusia dipaksa terlibat & mengambil bahagian?
Manusia dipaksa terlibat untuk dibicara & diadili dengan seadil-adilnya.
Pada hari itu AlLah SWT bertindak sebagai Hakim. Kita semua akan berada di
kandang pesalah untuk dibicarakan satu persatu yang kita laku sejak umur kita
akhir baliq sehinggalah kita ditutupkan mata(mati). Anggota kita kita dari
hujung rambut sehingga hujung kaki& semua makhluk AlLah SWT yang ada juga
bertindak sebagai saksi; sama saksi yang mendakwa kita atau saksi yang mempertahankan
kita. Kita akan diadili berpandukan al-Qur’an, adakah yang kita lakukan sewaktu
di dunia ini tetap seperti arahan al-Qur’an atau apa yang kita lakukan itu
bercanggah dengan tuntutan yang terdapat dalam alQur’an.
Apakah
agenda yang telah ditetapkan itu? Sebenarnya pergerakan kita untuk ke sana
sudah diberitahu sejak sekian lama. Siapa pula gerangan manusia yang
memberitahukan itu? Manusia yang memberitahukan itu ialah tidak lain &
tidak bukan ialah para nabi & para rasul yang diutus AlLah SWT ke dunia ini
yang diperkirakan sebanyak 124 000 orang. Nabi pertama yang memberitahu manusia
pergerakan kita di Yaumiddin ialah Nabi Adam AS, sementara rasul terakhir yang
berbuat demikian ialah Nabi Muhammad SAW.
Pada hari ini Nabi
Muhammad SAW sudah wafat. Siapa pula yang menyampaikan hal-hal ini kepada
manusia? Sebagaimana manusia mati meninggalkan zuriat & pewarisnya, Baginda
Nabi SAW juga demikian. Hari ini pewaris-pewaris Baginda SAW lah melaksanakan
tugas memberitahukan agenda Yaumiddin kepada manusia. Pewaris nabi pada abad
ini ialah para ulama.
Agenda
pertama pada Yaumiddin ialah kita semua akan dibangkit & dihidupkan
semula daripada tempat kita dikebumikan.
Kemudian kita semua dikerah menuju sebuah padang yang amat luas bernama
Mahsyar. Luasnya padang Mahsyar itu kira-kira boleh memuatkan semua manusia
yang pernah hidup bermula daripada zaman Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang
paling akhir sekali dimatikan. Dicampur dengan semua penghuni yang berada di
setiap 7 langit. Manusia menuju Mahsyar itu dibahagikan kepada 3 kumpulan;
iaitu yang berjalan kaki, yang berkenderaan, & yang berjalan dengan
mukanya. 3 kumpulan manusia itu dikelaskan mengikut amalan masing-masing semasa
di dunia ini.
Sebelum
melangkah ada 4 soalan yang jawabkan, sesiapa yang berjaya menjawab & lulus
dengan cemerlang barulah boleh menuju Mahsyar. Soalan-soalan itu ialah;
1. Umurmu ke mana dihabiskan?
2. Masa mudamu ke mana digunakan?
3. Hartamu dengan cara manakah engkau dapatkan?
4. Bila kaumiliki harta ke mana pula kauhabiskan?
Agenda berikutnya ialah pembahagian buku catatan amalan
di Padang Mahsyar, segala amal kita semuanya akan ditimbang, kemudian kita
semua dihadapkan dalam Mahkamah Allah SWT untuk menjawab segala pertuduhan yang
dikenakan, selepas itu kita akan dipaksa menyeberang titian. Jika kita selamat
meniti berjayalah kita ke syurga & jika kita gagal kita akan jatuh ke gaung
atau jurang neraka.
5.
Engkaulah sahaja (Ya AlLah) Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami
memohon pertolongan.
Itulah ikrar kita sewaktu mengadap-NYA; menyembah &
menjadi hamba hanya kepada-NYA. Memang hanya ALLah SWT yang wajar kita sembah
kerana DIA yang menjadikan kita, DIA juga menyediakan segala kemudahan untuk
kita hidup di dunia ini. DIA juga yang menyembuhkan kita daripada penyakit. DIA
yang memberikan kita kenyang bila kita menyuap makanan & menghilangkan
dahaga apabila kita meneguk air. DIA juga memberikan kepada lidah kita pelbagai
rasa; manis, pahit, masin, masam, tawar, dsb, DIA yang mengizinkan mata kita
melihat & objek yang masuk ke mata
kita nampak berbeza-beza; ada yang kecil, besar, tinggi, rendah, hijau, putih
dll, DIA juga yang membenarkan telinga kita menapis pelbagai suara & kita
dapat mengecam suara walaupun tanpa melihat siapa yang berucap & becakap.
Pendek kata DIA lah segala-galanya. Katakanlah ada manusia menyembah berhala,
apa sebenarnya yang diberikan berhala itu kepadanya? Mana lebih cerdik agaknya
dia dengan berhala itu? Cuba senaraikan sifat-sifat yang ada pada objek yang
disembah selain daripada AlLah SWT. Setalah tuntas senarai tersebut diperoleh,
renung betul-betul dengan sifat yang terserai itu layakkah objek itu disembah?
Adakah objek yang disembah itu mampu menjadikan atau dia pun dijadikan? Dalam
sejarah umat orang ini, ada beberapa objek yang manusia sembah selain daripada
AlLah SWT; misalnya kayu, batu, patung, berhala, haiwan, manusia, bintang, dsb.
Pasti akal yang waras berkata hanya AlLah SWT sahaja yang layak disembah. Apa
yangpasti semua objek yang disembah itu sama taraf dengan manusia iaitu sama-sama
makhluk, & ada sesetengahnya manusia lebih baik daripada objek itu’
misalnya kayu, batu, binatang, patung, berhala. Ada pula yang sama cerdik &
sama bodohnya dengan kita iaitu manusia.
Kita juga
diajari agar memohon pertolongan hanya kepada AlLah SWT sahaja, kenapa?
Sebabnya yang lain-lain itu tidak ada keupayaan & kemampuan untuk menolong,
kerana mereka juga perlu diberi pertolongan atau meraka juga amat berhajat
kepada pertolongan. Kerapkali manusia pergi jumpa menteri & orang
besar-besar untuk mendapatkan pertolongan & seringkali pula harapan itu
menjadi sia-sia, kerana pak menteri juga manusia yang kekurangan. Kalau menteri
itu memiliki satu sumber, milikan itu hanya sedikit boleh habis juga bila-bila
sahaja. Lain dengan AlLah SWT Yang Maha Kaya. Apa yang ada di langit & di
bumi & yang terletak di antara kedua-duanya, milik mutlak AlLah SWT sampai
bila-bila. Ibarat air laut atau air sungai walau sebanyak manapun diambil &
digunakan air itu tetap sama tak luak walaupun sedikit. Kecualilah AlLah SWT berkehendakkan
laut itu airnya berkurang & kekeringan. AlLah SWT boleh menolong untuk
setiap hajat & niat kita, kerana DIA amat berkuasa. Selain AlLah SWT
statusnya makhluk belaka tidak pernah
AlLah SWT membahagi-bahagikan kuasanya kepada sesiapa sama daripada penduduk
bumi atau lainnya. Apabila bernama makhluk statusnya amat lemah & saling
memerlukan.
6.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Inilah
kemuncak permohonan, inilah kemuncak permintaan, inilah sebenarnya kemuncak
keinginan seorang hamba, memohon ditunjuki jalan yang lurus bukan jalan-jalan
yang penuh liku. Jalan yang lurus ialah jalan yang membolehkan kita berjumpa
dengan Pencipta; iaitu AlLah SWT. Dalam ayat ini kita bermohon kepada Allah SWT
agar membimbing kita ke jalan yang
memampukan kita untuk berjumpa dengan-NYA & DIA redha kepada kita. Jalan
yang lurus ini merupakan jalan yang telah dilalui para nabi & rasul.
Kemudian jalan ini dikuti oleh mereka yang bergelar siddiqin, jalan para
syuhada, jalan orang-orang yang soleh.
Jalan yang
lurus itu hanya Islam, jalan lain selain daripada Islam merupakan cara hidup
& jalan yang sesat & menyesatkan. Sesiapa yang mengikutinya pasti
tersesat. Tak kira apapun namanya, di manakah tempat tumbuhnya, siapa pula
mengasasnya; apabila menolak Islam, tetap sesat! Kerana jalan-jalan lain jika
diikuti dengan teliti tidak akan memungkinkan kita bertemu dengan AlLah SWT
& DIA redha dengan kita. Apabila kita memilih jalan lain selain Islam,
AlLah SWT menolaknya. Pada hari ini banyak manusia tergila-gila untuk memperjuangkan
nasionalisme, sedangkan nasionalisme itu salah satu daripada jalan yang sesat.
Kesemua
para nabi & rasul yang diutuskan membawa seruan & menyeru kepada Islam sahaja. Tidak ada seorangpun para anbiya Allah
SWT ini mengajak manusia memperjuangkan nasionalisme. Semaklah buku sejarah
& bacalah kitab sirah, adakah seorang nabi yang mengajak manusia untuk
memperjuangkan nasionalisme? Kalaulah nasionalisme itu satu seruan suci yang
diredha IlLahi tentunya para anbiya ini bertungkus-lumus untuk mengajak manusia
mendaulatkan nasionalisme.
Umumnya
semua para nabi & rasul ini dibekali dengan kitab suci masing-masing yang mencatatkan titah &
perintah AlLah SWT. Semua manusia yang mengikuti ajaran yang termuat alam kitab
suci para nabi dikira mengikuti jalan yang lurus. Untuk umat pada akhir zaman
ini, telah dikirim AlLah al-Qur’an sebagai kitab suci. Sesiapa yang menjadikan
al-Qur’an sebagai ikutannya; titah AlLah SWT dipraktik sekadar kemampuannya,
segala larangan AlLah SWT dibuang jauh-jauh dari kalendar hidupnya; dia berada
pada jalan yang lurus.
7.
Iaitu jalan orang-orang yang ENGKAU telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan
(jalan) orang-orang yang ENGKAU telah murkai, dan bukan pula (jalan)
orang-orang yang sesat.
Umat Nabi Muhammad SAW merupakan umat yang
terakhir dibangkit & dihidupak di dunia ini. Sebelum daripada umat ini
sudah ada pelbagai nama umat yang pernah menghuni maya. Umat silam dibangkitkan
lebih awal agar mereka terlebih dahulu menjadi pendokong & pelindung kepada
dakwah para nabi. Mereka juga diharapka lebih dahulu untuk menjadi pejuang
kepada agama AlLah SWT. Tapi sayangnya mereka memilih untuk menentang ajaran
para nabi & rasul ini dengan gigihnya.
Ada umat
silam bukan sekadar tidak mahu beriman dengan ajakan para nabi bahkan mereka
bertindak lebih jahat lagi dengan cara membunuh para nabi. Justeru tidak
menghairankanlah jika ada umat silam yang dibinasakan AlLah SWT
sebinasa-binasanya, sehingga tidak meninggalkan bakanya. Mereka terus pupus,
tidak disebut, & tidak lagi diingati pada hari ini. seolah-olah mereka
tidak pernah wujud & berada di maya ini. cuba cari di manakah umat Nabi Nuh
AS, umat Nabi Luth AS, umat Fir’aun?
Umat yang
paling hampir dengan kita ialah umat Nabi Musa KalamulLah AS & umat Nabi
Isa RuhulLah AS. Umat Nabi AlLah Musa AS dikenali sebagai Yahudi sementara umat
Nabi AlLah Isa AS dipanggil Nasroni. Mereka juga umat yang dibekali kitab
sebagaimana kita. Umat Yahudi diberi kitab Taurat melalui Nabi AlLah Musa AS,
sementara kitab Injil dikurnia kepada kaum Nasroni melalui Nabi AlLah Isa AS.
Walaupun mereka memiliki kitab yang diturunkan oleh AlLah SWT yang sama, umat
Yahudi dipanggil Maudhub=umat yang dimurkai, sementara umat Nasroni dipanggil
dhoollin= umat yang sesat. Anugerah Maudhub & Dhoollin diberikan kepada
kedua-dua umat tersebut kerana mereka membelakangkan segala titah &
perintah AlLah SWT yang termuat dalam kita Taurat & Injil. Mereka jadikan
nasfu & keinginan mereka sebagai raja. Mereka memperkosa ajaran yang terdapat
dalam Taurat & Injil sesuka hati mereka. Mereka menghalalkan apa yang
diharamkan dalam Taurat. Mereka mengharamkan apa yang dihalalkan dalam Taurat
& Injil ikut sedap mereka. Tidak terhenti di situ perbuatan lacur mereka,
meraka sanggup menulis semula kitab Taurat & Injil mengikut citarasa
mereka; yang dinamakan Talmud & Bible tetapi merak tanpa segan & tanpa
silu mendakwa Talmud & Bible sebagai kitab AlLah SWT, padahal Taurat &
Injil merupakan wahyu AlLah SWT sedangkan Talmud & Bible rekaan kepala otak
mereka sahaja, sebab itulah pelbagai versi Bible yang kita temui yang mana
antara satu Bible dengan Bible yang lain saling bercanggah sesama sendiri.
Dalam
kitab Taurat & Injil jelas AlLah SWT mengisyaratkan bahawa akan datang Nabi
Akhir Zaman dengan dijelaskan sifatnya secara terperinci, tetapi setelah AlLah
SWT utuskan Nabi Akhir Zaman merekalah golongan yang pertama menetang, hanya
sedikit benar ahli kitab ini yang tunduk kepada petunjuk wahyu, iaitu beriman
kepada Nabi Akhir Zaman. Sirah merakamkan cendekiawan Taurat yang sudi
menggabungkan dirinya dengan Nabi Akhir Zaman ini AbdulLah bin Salam sementara
sendekiawan Injil yang menundukkan nafsu rakusnya & menerima ajakan Nabi
Akhir Zaman ini Adi bin Hatim at-Toi, sedangkan di Madinah pada masa itu ada
berdosen-dosen mereka yang memahami isi kitab.
Karut
& jahatnya Kaum Yahudi mereka sanggup membunuh para nabi, banyak jumlah
nabi yang mereka bunuh antaranya Nabi AlLah Zakaria & Nabi AlLah Yahya.
Mereka membunuh kedua-dua beranak nabi tersebut kerana kerana ajaran yang
dibawa nabi bercanggah dengan kehendak naluri & nafsu yang merajai jiwa
mereka. Sementara Kaum Nasroni pula mendakwa nabi mereka sebagai anak AlLah
disebabkan lahirnya Nabi AlLah Isa AS tanpa ayah. Mereka tidak membaca sirah
& sejarah rupanya, AlLah SWT pernah menjadikan manusia pertama Adam AS
tanpa melalui ayah & bonda. Dengan makna Nabi AlLah Adam AS tidak ada ayah
& tidak ada bonda. AlLah SWT juga mencipta manusia kedua; Hawa tanpa ibu di
sisinya. AlLah SWTyang sama juga itulah yang mencipta Nabi AlLah Isa AS tanpa
ayah, itu semua kerana kudrat & iradat AlLah SWT yang Maha Berkuasa &
tidak melayakkan manusia menjadi anak-NYA; sama ada Adam, Hawa, atau Isa.
No comments:
Post a Comment