About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, January 4, 2012

Surah ar-Rad Ayat 31 -35


Malam ini  12 Safar 1433 bersamaan 7 Jan  2012 
Tazkirah 3 kali sebulan (minggu 1, 3, & 4 setiap bulan)
Masjid Wak Dir, Kg Telok Kemunting Timur, Tawang
Hari Khamis Malam Jumaat


Surah ar-Rad Ayat 31 -35


31. Dan kalau sekiranya satu bacaan yang dengan membacanya gunung-gunung bergoncang, atau bumi jadi terbelah, atau dengannya orang mati dapat bercakap, maka kitab itu ialah al-Qur’an.  Sebenarnya segala urusan itu milik AlLah. maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui, kalaulah Allah menghendaki tentulah IA memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya  sementara orang-orang yang kafir pula sentiasa ditimpa bala bencana; iaitu bala bencana itu turun menimpa berhampiran dengan tempat tinggal mereka; Sesungguhnya AlLah tidak memungkiri janji.
          AlLah SWT mengemukakan satu perbandingan iaitu kalau ada satu bacaan tertentu yang dengan membacanya gunung-gunung pun bergoncang, atau dengan membacanya bumi jadi terbelah, atau dengan membacanya orang mati dapat dihidupkan, maka bacaan tersebut tidak lain & tidak bukan, itulah al-Qur’an. Kerana segala ketentuan kejadian itu hak mutlak AlLah SWT sahaja, tanpa campurtangan dari siapa jua.
          Dengan kudrat & iradat-NYA, AlLah SWT boleh menjadikan semua manusia ini sebagai hamba-NYA yang beriman, sebagaimana AlLah SWT menjadikan bumi ini semuanya basah dengan adanya & turunnya hujan. AlLah SWT juga boleh memprogramkan semua manusia yang kufur sentiasa mendapat azab sengsara. AlLah SWT juga berkuasa penuh mendatangkan azab berhampiran dengan kediaman mereka yang kufur dengan atau dalam bentuk yang pelbagai. Tetapi AlLah SWT tidak mahu berbuat demikian. DIA tidak mahu manusia ini mengakui ketuhanannya secara terpaksa. Sebaliknya AlLah SWT membekalkan kepada semua manusia dengan senjata yang paling ampuh iaitu akal, dan dengan akal itulah manusia diberi pilihan sama ada mahu beriman atau mahu kufur kepada-NYA. Oleh sebab itulah manusia diharamkan sama sekali untuk melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan fungsi akalnya hilang seperti memakan atau meminum sesuatu yang memabukkan.


32. Dan Sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan semua rasul yang diutus sebelummu (Wahai Muhammad), lalu AKU biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu masa yang tertentu, kemudian AKU menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah terperi seksanya azab-Ku itu.
          Junjungan nabi Akhir Zaman Nabi Muhammad SAW diutuskan AlLah SWT untuk berdakwah kepada semua warna kulit manusia, di mana sahaja mereka berada; di sebelah utara, selatan, barat, timur & seumpamanya. Sepanjang masa sejarah memperlihatkan kesemua para anbiya ini diejek-ejek oleh kaumnya, walaupun sebelum terutus menjadi rasul, para utusan AlLah SWT ini merupakan manusia terbaik yang ada pada masa itu. Mereka mengejek para anbiya disebabkan apa yang diserukan oleh para nabi itu berbeza secara total daripada anutan  kebiasaan yang mereka pegang  perjuangkan. Ya, para anbiya menyeru & mengajak untuk bertauhid kepada AlLah SWT sahaja & mengkufuri segala sembahan yang lain; sama ada sembahan itu berupa berhala, patung, tunggul kayu, binatang, bintang, malaikat, ataupun tokoh-tokoh tertentu.
          Episod ejekan ini turut mewarnai perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW. Serapan ayat ini juga boleh dilihat sebagai satu bentuk pujukan dari AlLah SWT kepada Baginda, agar tetap ceria menyiarkan dakwah, kalaupun Baginda diejek-ejek oleh kaum yang didakwahnya, ejekan ini telah & turut menjadi asam garam perjalanan dakwah para nabi yang terdahulu.
          Untuk umat & kaum nabi-nabi silam yang menentang ajaran tauhid, AlLah SWT tangguhkan dahulu hujan azab-NYA. Penangguhan azab dari AlLah SWT ini mempunyai hikmat yang Maha Agung. Ingin dilihat-NYA para hamba itu bertaubat daripada kesalahan yang telah dilakukannya. Sejumlah masa diberi & diperuntukan kepada mereka, sehinggalah satu rempoh yang relatif lama. Apabila tiada tanda-tanda mereka mahu berhenti daripada  memperolok-olok dakwah & menetang seruan suci para nabi, maka AlLah SWT telah mengizinkan takdir-NYA mengambil tempat. Lalu binasalah umat terdahulu dengan takdir itu sehinggakan bangsa tersebut terus pupus dari muka dunia, tiada saki-baki bakanya lagi di dunia ini. Telah terbukti & menjadi rakaman sejarah bahawa amat dahsyat  & hebatnya azab AlLah SWT. Misalnya umat Nabi Luth, bangsa Qibti dsb gagal untuk dijumpai lagi baka mereka.


 
33. Apakah sama DIA  yang mengawas terhadap setiap diri setaraf dengan apa yang DIA perbuatkan? Dan mereka jadikan bagi AlLah sekutu-sekutu? Katakanlah/ sebutkanlah nama-nama atau sifat-sifat mereka. Mereka akan dapati sifat tersebut tidak layak untuk disembah. Atau adakah kamu hendak memberitahu AlLah sesuatu yang tidak diketahui-NYA sesuatu yang berlaku di bumi? Atau kamu memberitahu apa yang zahir sahaja bukan yang sebenarnya? Sedangkan syaitan menampakkan indah kepada orang kafir segala tipu daya mereka & perbuatan mereka menghalang manusia dari jalan AlLah. Dan barang siapa yang disesatkan AlLah  maka tidak ada baginya sesiapapun yang mampu memberinya petunjuk.

Apakah sama DIA  yang mengawas terhadap setiap diri setaraf dengan apa yang DIA perbuatkan? Antara teknik dakwah yang diajar oleh AlLah SWT ialah dengan mengemukakan pertanyaan & DIA membiarkan untuk kita mencari saki-baki jawapannya. Antara soalan yang dikemukan AlLah SWT ialah; adakah sama taraf DIA yang bersifat mencipta & memantau setiap ciptaan-NYA sepanjang masa itu sama dengan apa yang dicipta-NYA? Misalnya adakah sama AlLah SWT yang mencipta manusia dari tiada kepada ada itu sama dengan manusia yang serba lemah sifatnya ini. tentunya kita yang waras segera menjawab tidak akan sama sampai bila-bila. Yang pasti sebagai pencipta AlLah SWT bersifat cukup segala, Maha Sempurna sedangkan manusia yang dicipta-NYA penuh dengan kekurangan & kedaifan. Kemampuan yang ada pada manusia amat terhad  serta bersifat sementara pula.

Dan mereka jadikan bagi AlLah sekutu-sekutu?                                     Walaupun AlLah SWT Maha Sempurna Sifat-NYA tiada tolok ganti & tiada tolak banding , namun manusia tetap mencari sekutu untuk AlLah SWT. Tidak pernah terhenti manusia ini untuk mencari sekutu AlLah SWT. SubhanalLah.

Katakanlah/ sebutkanlah nama-nama atau sifat-sifat mereka. –
           AlLah SWT meminta sesiapa sahaja yang mencari  atau mengadakan sukutu dengan-NYA itu agar menyenaraikan sifat-sifat sesuatu yang disekutuikannya dengan AlLah itu. Kitakanlah manusia menyekutukan AlLah SWT dengan berhala. AlLah SWT meminta mereka menyenaraikan sifat-sifat yang ada berhala yang dipuja-pujanya itu.

Mereka akan dapati sifat tersebut tidak layak untuk disembah.
          AlLah SWT dengan tegas memperincikan dakwaan-NYA iaitu, sebanyak mana sifat yang disenaraikan untuk berhala itu, masih tidak layak untuk menjadikan berhala itu untuk disembah & dimohon pertolongan; sama ada pertolongan jangka dekat atau pertolongan jangkan panjang. Selamanya selain daripada AlLah SWT tidak layak walaupun 0.1% untuk disembahi. Kerana semua itu setaraf dengan kita iaitu sama-sama dijadikan AlLah SWT.

Atau adakah kamu hendak memberitahu AlLah sesuatu yang tidak diketahui-NYA sesuatu yang berlaku di bumi?
          AlLah SWT terus-menerus membentangkan pertanyaan-NYA adakah kita hendak memberitahu sesuatu yang mungkin tidak diketahui Allah SWT telah berlaku di satu sudut penjuru bumi ini? Ada ke kejadian yang berlangsung dalam dunia ini  tidak diketahui AlLah tapi diketahui oleh manusia ataupun berhala yang mereka sembah? SubhanalLah Maha Suci AlLah SWT daripada apa yang mereka reka-reka & daripada apa yang mereka agak-agak.

Atau kamu memberitahu apa yang zahir sahaja bukan yang sebenarnya?
          Seterusnya AlLah SWT bertanya lagi, adakah satu-satu peristiwa yang boleh kita beritahu secara zahirnya sahaja kepada AlLah, atau kita hanya tahu sebahagian peristiwa sahaja, sedangkan AlLah SWT tidak mengetahui-NYA. SubhanalLah SubhanalLah SubhanalLah Maha Suci AlLah SWT daripada apa yang mereka reka-reka & daripada apa yang mereka agak-agak.

 Sedangkan syaitan menampakkan indah kepada orang kafir segala tipu daya mereka & perbuatan mereka menghalang manusia dari jalan AlLah.
          Syaitan anak-beranak sememangnya kerjanya menyesatkan manusia dengan apa cara sekalipun sejak daripada zaman datuk kita Adam AS lagi. Perlu sekali kita mengetahui & silalah maklumkan kepada anak cucu  & zuriat kita bahawa setan and the gang tidak pernah berfikir untuk meletakkan jawatannya daripada menyesatkan manusia. Setan tidak pernah mengambil sebarang cuti daripada menyesatkan manusia; sama ada cuti tahunan, cuti sakit, cuti tanpa rekod, cuti kecemasan, cuti peristiwa atau apa sahaja cuti. Setan bertugas  24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 12 bulan setahun untuk merangka & menjalankan pelbagai program penyesatan untuk manusia.
          Antara program yang lumayan berjaya  hasil kesungguhan setan and the gang ialah; setan berjaya menampakkan indah segala yang diharamkan AlLah SWT.  Misalnya AlLah SWT mengharamkan judi, judi sebagai sesuatu yang jijik, tapi setan berjaya menampakkan kepada manusia jika dia menang judi dia boleh bersedekah, membantu anak-anak yatim dsb. Lalu manusia nampak indah sesuatu yang diharamkan. Misalan yang lain AlLah SWT mewajibkan hukuman hudud untuk para penjenayah tegar, tapi setan berjaya menipu & membohongi pengikut & pencandunya bahawa hukuman AlLah itu kejam. Mereka rasa memotong tangan pencuri tegar itu zalim. Tetapi mereka dibutakan setan untuk nampak sebenarnya pencurilah yang kejam, kerana mereka sanggup membunuh untuk mendapatkan hasil curi. Terlalu banyak kes yang mangsa kehilangan nyawa akibat “layanan mesra pencuri”.
          Dan barang siapa yang disesatkan AlLah  maka tidak ada baginya sesiapapun yang mampu memberinya petunjuk.
Apabila kita memilih jalan untuk menuju ke arah kesesatan, maka AlLah SWT tidak keberatan untuk memilih mereka untuk sesat. Jika kita cukup syarat untuk sesat maka AlLah SWT akan memilih kita untuk bertahta di medan sesat. Hal ini samalah dengan apabila murid sekolah dipilih untuk mewakili pasukan sekolah. Guru yang bertugas hanya akan memilih muris yang cukup syarat sahaja untuk mewakili pasukan sekolah. Pelajar yang tidak cukup syarat tidak akan terpilih. Setelah manusia memilih untuk sesat dengan sukarela, maka tidak akan ada sesiapa yang mampu memberinya  petunjuk, kerana mereka yang memilih jalan yang sesat itu yakin seyakin yakinnya jalan yang dipilih mereka betul dan benar.

 
34. bagi mereka  azab semasa kehidupan di  dunia, dan azab pada hari akhirat lebih menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, dan tidak ada sesiapapun yang dapat melindungi mereka dari azab Allah itu.
          Kepada mereka yang dengan bangganya memilih jalan sesat, maka kehidupan mereka di dunia akan diselaputi azab. Azab di sini bermakna mereka tidak nampak jalan yang dipandu AlLah SWT. Mereka berasa jalan yang ditempuh para anbiya, iaitu jalan yang berpandukan agama Islam yang sekarang ini termuat kejap dalam al-Qur’an sebagai ketinggalan zaman, undur ke belakang, tidak maju dsb. Mereka cukup yakin jalan dari barat itulah yang tidak sesat.
          Untuk golongan ini bukan ashaja di dunia mereka menerima & merasi azab, malah di akhirat azab yang dibebankan kepada mereka semakin bertambah-tambah. Azab di akhirat dirasakan lebih menyeksa kerana semua hukuman di akhirat dijalankan dalam neraka, darjah kepanasan neraka seseorang bergantung & ditentukan oleh indeks dosa yang dilakukannya. Semakin menokok dosanya semakin bertambah kepanaan celciusnya.
          Semantara itu semua azab yang dideritai di neraka tiada seorangpun yang boleh menolong walaupun ada manusia yang terasa ingin menolong. Ya di akhirat kelak ada syafaat; iaitu syafaat Baginda Nabi Muhammad SAW & syafaat al-Qur’an. Bagaimana kita mampu meraih syafaat antara keduanya jika semasa di dunia kitalah yang menjadi penghalang & menentang ajaran yang dibawa  Nabi Muhammad SAW & kita dengan gigihnya berusaha agar apa yang ada dalam al-Qur’an itu tidak dilaksanakan dengan pelbagi helah & dalih. Di akhirat nanti situasi tidak pernah sama dengan situasi yang kita jalani kini.



35. Sifat syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.
            Dalam ayat ini AlLah SWT melukiskan gambaran syurga yang dijanjikan kepada mereka yang mendengar titah & perintah AlLah semasa di dunia yang sementara ini. antara lain mereka ditempatkan dalam syurga yang mengalirkan 4 jenis sungai; sungai madu, sungai susu, sungai arak. & sungai air biasa. Makanan yang dibekalkan kepada penghuninya tidak pernah putus-putus dengan pelbagai menu & citarasa, makanan syurga didatangkan melalui niat penghuninya. Apabila kita terniat sahaja untuk makan sesuatu, makanan tersebut datang dalam keadaan siap terhidang. Kita boleh makan sebanyak mana yang kita mahu kerana makanan di syurga bukan untuk tujuan mengenyangkan, tapi makan di syurga untuk keseronokan. Berada alam syurga juga menjadikan kita sentiasa teduh daripada bahang panas pancaran matahari. Syurga diliputi dengan warna hijau & muka ahli syurga seperti bulan purnama.
          Untuk sesiapa yang kafir yakni engkari perintah AlLah SWT sewaktu di dunia. Misalnya AlLah SWT mengharamkan riba tapi dihalalkannya dengan sistem berinteres. AlLah SWT mengharamkan rasuah tapi digunakan sebagai sumber pendapatan.  Disiapkan untuk mereka api yang bernyala-nyala yang dipanggil neraka. Apabila manusia dibakar dalam neraka akan menjadikan matanya berwarna biru & kulitnya berwarna hitam atau merah.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters