Tazkirah Mingguan- Jumaat Malam Sabtu-
13 Safar 1433 bersamaan 07 Dis 2011
Masjid Pak Da Nor, Padang Embon, Pasir Mas
Surah Ali-Imran Ayat 116-120
116. Sesungguhnya orang-orang yang
kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat
menyelamatkan mereka dari (azab) AlLah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli
neraka; mereka kekal di dalamnya.
117. Misalan/ perbandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia
ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin Yang membawa
udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka
sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), AlLah tidak pernah menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri
sendiri.
118. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang
bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai).
mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu.
mereka sukakan apa yang akan menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian
mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka
lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu
keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
119. Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu
sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada
kamu. Kamu juga mendakwa beriman kepada semua Kitab AlLah (tetapi tidak beriman
kepada Al-Quran). dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata:
"Kami beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri,
mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah
(Wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu".
Sesungguhnya AlLah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam
dada.
120. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang
demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka
bergembira dengannya. dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya
mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya AlLah meliputi
pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan.
Ilustrasi Tentang & Terhadap Orang Kufur
116. Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak
mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) AlLah
sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
AlLah SWT menjelaskan perihal orang-orang kafir yang ada di seluruh pelusuk
dunia ini dengan kenyataan tegas bahawa sebanyak mana harta yang mereka ada,
sejumlah mana anak-anak & cucu yang mereka miliki, himpunan harta &
kekuatan kuasa atau pengaruh atau wang ringgit anak cucu mereka sedikitpun
tidak mampu untuk menangguh, menahan apa lagi untuk menyelamatkan mereka dari
azab & siksa AlLah SWT, sama ada di dunia ini lebih-lebih lagi di akhirat
nanti. Orang kafir disifatkan AlLah SWT sebagai sahabat api & mereka akan
bersama dengan sahabatnya itu selama-lamanya.
Kenapa segala permata, wang, juga
harta, & pengaruh anak cucu gagal untuk menghalang siksaan neraka AlLah
SWT? Jawabnya cukup mudah kerana permata, wang, juga harta, & pengaruh
hanya berstatus hamba & bersifat sementara, di samping tidak ada keizinan
dari-NYA untuk menolong sesiapa.
Sesorang itu dikira kafir apabila dia
mengingkari Rukun Iman. Sama ada mengingkari keenam-enam Rukun Iman itu atau
mengingkari salah satu daripadanya. Misalnya seseorang itu beriman dengan 5
rukun & ingkari hanya satu rukun, dia dikira kafir. Contoh dia beriman
kepada AlLah SWT, beriman kepada Para Malaikat, beriman kepada Para Rasul,
beriman kepada Hari Kiamat, beriman dengan Kitab-kitab, tetapi tidak meyakini
adanya ketentuan Qada’ & Qadar. Seseorang itu dikira kafir juga jika dia
beriman dengan satu rasul sahaja. Misalnya orang Yahudi menjadi kafir kerana
mereka tidak beriman dengan Nabi AlLah Isa AS & Nabi Muhammad SAW, walaupn
mereka beriman dengan ratusan nabi yang lain. Seseorang itu dikira kafir jika
mereka menolak & tidak beriman
dengan al-Qur’an, walaupun dia beriman dengan semua kitab AlLah SWT yang lain.
Seseorang itu dianggap kafir juga walaupun dia hanya menolak satu ayat
al-Qur’an sahaja. Misalnya seseorang itu menolak ayat hudud dengan pelbagai
helah & dalih yang diajar sang setan kepadanya.
117. Misalan/ perbandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia
ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa
udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka
sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), AlLah tidak pernah menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri
sendiri.
Semasa masih bersambung nyawa di atas dunia yang sementara kita, tentunya
seseorang itu akan berbelanja. AlLah SWT sedari awal menjelaskan bahawa semua
perbelanjaan yang dilakukan oleh orang yang kufur kepadanya itu tidak akan
pernah memberi manfaat kepada sang penderma. Dengan maksud walaupun mereka
berbelanja berjuta-juta banyaknya tapi peruntukan pahala yang tersedia untuk
mereka. AlLah SWT hanya memberikan pahala kepada sesapa yang bersedia tunduk &
patuh kepada ajaran agama-NYA sahaja. Sementara agama di sisi AlLah SWT
hanyalah satu iaitu Islam sahaja, tidak dua apalagi tiga atau berbilang-bilang
banyaknya.
AlLah SWT memisalkan perbelanjaan
mereka itu seperti tiupan angin yang sejuk yang akan membinasakan tanaman yang
diusahakan. AlLah SWT tidak berhajat untuk menzalimi para hamba-NYA, kerana DIA
tidak mendapat apa-apa manfaatpun, tetapi para hamba inilah yang sentiasa
mencari jalan untuk menzalimi diri mereka sendiri. AlLah SWT menciptakan
manusia sebagai sebaik-baik kejadian & berasal dari dalam syurga, dihantar-NYA manusia ke
dunia berstatus hamba untuk menjadi pengganti-NYA. Manusia kerap kali diberi
pesan agar jangan terpedaya & terpengaruh dengan musuh nombor satunya;
syaitan & the gang. Apabila manusia terpengaruh & menjadi talibarut
setan, mereka sebenarnya tidak menetang AlLah SWT, & pada masa yang sama
mereka mendedahkan diri mereka untuk ke neraka. Manusia dikira menzalimi diri
bila berusaha memasukkan diri mereka ke neraka yang penuh dengan agenda
sengsara, kerana sepatutnya manusia kembali ke tempat asalnya syurga yang
dipenuhi & dilimpahi dengan nikmat yang tidak terperi hebatnya.
118. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang
bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka
tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka
sukakan apa yang akan menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka
pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih
besar lagi. Sesungguhnya telah KAMI jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan
itu jika kamu (mahu) memahaminya.
Oleh sebab orang kafir disifatkan AlLah SWT sebagai golongan yang menzalimi
diri sendiri, maka DIA mencegah orang beriman daripada menjadikan orang kafir
ini sebagai teman akrab, lebih-lebih lagi kalau sang kafir itu berstatus kafir
harbi. Teman akrab biasanya mampu mempengaruhi tingkah-laku seseorang. Perangai
orang yang kafir ini kerjanya sepanjang
masa cuba untuk menyusahkan orang Islam dengan pelbagai cara. Orang kafir
sebenarnya tidak pernah suka akan orang Islam & identiti ini mereka
sembunyikan jauh dalam lubuk hati mereka. Kebencian ini mereka cuba menutupnya
dengan bermulut manis dengan menyusun kata yang manis kata di bibir saja tapi
hati lain bicara.
AlLah SWT menjelaskan secara terus
sikap & tingkah orang kafir ini untuk memberikan ingatan kepada umat Islam
agar mereka berhati-hati dalam memilih teman keakraban. Kalau mahu menjadi
teman akrab carilah yang sama seaqidah walaupun boleh berlainan warna kulit
& pecahan warna geografinya. Dengan penjelasan
ayat ini AlLah SWT mengharapkan agar kita tidak boleh ditipu oleh orang kafir
di mana-mana juga.
119. Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu
sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada
kamu. Kamu juga beriman kepada semua Kitab AlLah, apabila mereka bertemu dengan kamu mereka
berkata: "Kami beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama
sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu),
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan kemarahan kamu
itu". Sesungguhnya AlLah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang
ada di dalam dada.
Perangai negatif orang kafir ini terus didedah AlLah SWT secara lebih
terperinci; iaitu mereka tidak pernah walaupn sekali menyukai kita orang yang
beriman. Seringkali kita sahaja yang percayakan & berbaik sangka dengan mereka,
sedangkan mereka sebaliknya. Wujudnya sifat berbaik sangka ini kerana ajaran
agama kita yang tercatat dalam kitab-kitab AlLah SWT. Oleh sebab kita beriman
dengan semua kitab AlLah SWT mereka menipu kita dengan cara apabila mereka
berjumpa & bertemu dengan kita mereka akan berkata dia juga beriman sebagaimana kita. Tetapi apabila bertemu & berjumpa dengan kawan-kawan,
mereka akan meluah & memuntahkan kemarahan masing-masing kepada umat Islam.
AlLah SWT memerintahkan Baginda SAW
& kita sebagai umatnya ini supaya katalah, kamu boleh memuntahkan kemarahan
kamu sampai mati tapi kami tidak akan menukar aqidah yang kami imani. AlLah SWT
memberitahu apa yang ada dalam hati orang kafir kerana DIA Maha Mengetahui apa
sahaja termasuk apa yang terdetik di hati & yang tersembunyi. Bagaimana
AlLah SWT mengetahui apa yang termuat & berbisik dalam hati semua orang di
dunia ini? kerana DIA lah yang mencipta hati & mengetahui tabiat, serta
tingkah niat yang bersemi di hati.
120. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang
demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka
bergembira dengannya. dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya
mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya AlLah meliputi
pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan.
Kejahatan yang tersembunyi di hati orang kafir terus didedah AlLah agar
kita berhati-hati & mengambil perhatian supaya tidak tertipu dengan helah
mereka. Antara kejahatan mereka ialah apabila kita dihujani nikmat AlLah SWT,
maka akan bercambah & mekarlah rasa sakit hati mereka. Walaupun mereka
berkata tahniah, tapi itu hanya manis kata di bibir sahaja, tapi hati lain
bicara. Apabila kita didatangi sebarang musibah pula, maka hati mereka cukup
bergembira tidak terkira.
Untuk berdepan & melayan situasi karenah
mereka, AlLah SWT meminta kita agar sabar & bertaqwa setiap masa. Benteng sabar
& kota taqwa merupakan azimat & petua untuk berdepan dengan karenah
mereka. AlLah SWT memberikan jaminan segala helah mereka tidak akan membahayakan
kita sedikitpun. Kerana perjalanan hidup ini hanya ditentukan AlLah SWT sahaja
& DIA tidak pernah berbincang dengan sesiapa untuk berkongsi mentadbir
perjalanan seluruh alam ini.
No comments:
Post a Comment