About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Monday, January 30, 2012

Baginda Nabi Muhammad SAW;


Baginda Nabi Muhammad SAW;
Bilakan Syafaat & Bimbingannya Diperlukan?

Siapa Nabi Muhammad SAW?

          Baginda Nabi Muhammad SAW merupakan salah seorang daripada para anbiya’ AlLah SWT yang berjumlah 124 000 itu. Uniknya walaupun Baginda SAW merupakan utusan-NYA yang terakhir, tapi Bagindalah Ketua Para Anbiya tersebut. Beza Nabi Muhammad SAW dengan para anbiya’ lain ialah ruang lingkup & masa dakwah sahaja, adapun isi & muatan dakwah tetap sama; mengabdikan diri kepada AlLah SWT sahaja & menjauhi taghut (seruan setan and the gang). Baginda Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk semua alam sebagai rahmat, adapun para anbiya lain hanya diutus untuk kaum & bangsanya sahaja. Misalnya Nabi AlLah Hud AS diutus untuk kaum Add, Nabi AlLah Salleh untuk kaum Madyan. Adapun Nabi Muhammad SAW untuk semua bangsa, kaum, etnik yang ada selagi mereka bernama atau berjenama manusia. Dengan makna sesiapa sahaja yang lahir selepas tanggal 12 Rabil Awal Tahun Gajah atau 20 April 571, mereka wajib bergabung & melarutkan diri mereka dengan Islam, mengikut syariat yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW sehinggalah manusia yang dilahirkan beberapa jam sahaja lagi dengan Hari Qiamat.
          Baginda SAW diberikan wahyu oleh Malaikat Jibril. Wahyu ialah titah & perintah AlLah SWT yang wajib dilaksanakan; sama ada yang berbentuk suruhan atau yang berwajah larangan. Segala titah & segala perintah AlLah SWT ini hanya perlu dipenuhi & dipatuhi sewaktu kita berada di atas dunia sahaja. Atau dengan erti kata yang lain sewaktu nyawa masih keluar masuk dalam badan sahaja. Justeru kita tak payahlah untuk tunggu masa mati dahulu untuk melaksanakan Islam, atau tunggu masa kita dihidupkan semula baru nak berislam. Sekaranglah masanya! Segala yang bernama titah & segala yang berupa perinta AlLah SWT itu sekarang ini sudah termuat dalam sebuah antologi ataupun catatan bernama; al-Qur’an.
          Nabi Muhammad SAW dipilih oleh AlLah SWT daripada himpunan jutaan manusia yang hidup di dunia ini. Tugas utama Baginda SAW adalah untuk menterjemahkan apa-apa juga yang ada termuat dalam al-Qur’an agar dapat diamalkan oleh kita menjalani kehidupan agar selari sengan kehendak pencipta &  pemilik tunggal alam ini; AlLah SWT. Baginda SAW telah menterjemahkan secara terperinci kehendak AlLah SWT dalam masa kurang lebih 23 tahun; 13 tahun sewaktu berada di Mekah & 10 tahun baginya sewaktu mendiami Madinah. Misalnya dalam al-Qur’an, AlLah SWT memerintahkan kita agar bersolat. Tetapi dalam al-Qur’an tidak dinyatakan nama-nama solat itu, berapa jumlah rakaatnya, apa yang perlu dibacakan sewaktu solat itu, masa atau ham berapa perlu dilaku solat itu, di mana perlu dilaku solat itu. Lalu Baginda SAW yang menterjemahkannya secara terperinci kepada kita. Ada solat wajib 5 waktu sahaja sehari; bernama Subuh 2 rakaat masanya dari jam sekian hingga jam sekian, Zohor 4 rakaat masanya dari jam sekian hingga jam sekian, Asar 4 rakaat masanya dari jam sekian hingga jam sekian, Maghrib 3 rakaat masanya dari jam sekian hingga jam sekian,  Isya’ 4 rakaat masanya dari jam sekian hingga jam sekian. Kegagalan menyempurnakan solat wajib akan mengakibat pelakunya ke neraka secara mandatori. Semua solat wajib ini dilaku RasullulLah SAW di masjid. Apa yang perlu dibacakan semuanya diterjemah Baginda SAW secara telus sehingga para sahabat dapat meniru 100% ibarat kopi & paste dari Baginda SAW & itulah yang kita amalkan sekarang.


Siapa kah Manusia Bernama Muhammad bin AbdulLah ini?

          Untuk menjawab soalan ini AlLah SWT telah menukilkan dalam al-Qur’an antara lain seperti firman-NYA ini;

Al-Kahf  110


قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا [١٨:١١٠]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu yang Satu; Oleh sebab itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan RABBnya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada RABBnya".

          Ya, manusia yang bernama Muhammad bin AbdulLah SAW ini, AlLah SWT memintanya agar memberitahu semua manusia sama manusia zaman dahulu atau manusia zaman sekarang bahawa dia manusia seperti orang lain juga dari segi fizikalnya & keperluan hidupnya. Dia bukan malaikat, bukan jin, bukan robot, bukan spesis lain. Oleh sebab dia juga manusia, apa juga yang dilakukan oleh Baginda SAW sebenarnya kita mampu & boleh melakukannya, tak lebih & tidak kurang, cumanya kita perlu tanyakan diri sama ada kita mahu berbuat atau tidak. Misalnya Baginda SAW sentiasa bercakap benar, bermakna semua manusia boleh & layak untuk bercakap benar, tidak ada masalah untuk bercakap benar. Contoh yang lain Baginda SAW suka bergurau dengan cucu-cucunya, kita juga boleh berbuat perkara yang sama dengan cucu cicit kita. RasullulLah SAW makan minum, kita juga boleh makan & minum apa yang Baginda SAW masukkan ke mulutnya.
          Yang menjadikan Baginda SAW istimewa di sisi AlLah SWT ialah disebabkan Baginda SAW menerima wahyu. Isi kandungan wahyu itu pula merujuk kepada perkara yang tidak sampai difikir oleh otak & akal manusia, adapun sesuatu yang otak kita sampai untuk memikir, tidak ada wahyu untuk kasus itu. Misalnya untuk memasak tidak ada wahyu yang diturunkan bagaimana cara untuk memasak nasi dsb, sebab untuk memasak manusia mampu gunakan fikirannya masing-masing. Adapun perutusan wahyu ini menyinggung masalah yang tak sampai untuk difikir manusia tetapi manusia wajib berdepan dengan fenomena itu. Misalnya wahyu turun memberitahu tentang adanya perkara yang bernama dosa & pahala yang berebut-rebut untuk mendatangi kita. Adanya azab atau nikmat sewaktu berada dalam pusara. Adanya mahkamah di suatu tempat yang bernama Mahsyar. Adanya Timbangan Amal. Adanya waktu pembahagian pusaka amalan  yang sempat kita buat semasa di dunia. Setiap minggu ada 4 buah catatan amal kita yang dipersembahkan oleh Raqib & Atiq kepada AlLah SWT. Pada hari Isnin Ratiq akan mempersembahkan sebuah catatan amal baik kita & pada waktu yang sama Atiq juga akan mengadap AlLah SWT membawa catatan amal negatif kita. Begitu juga pada hari Khamis mereka berdua akan mengadap AlLah SWT untuk menyerahkan tugas yang mereka catatkan.

Secara mudah dapat kita sifirkan begini;
Seminggu 4 buah catatan x 4 minggu = 16 buah sebulan
16 buah sebukan  x 12 bulan =  192 buah setahun.
Kalau umur akhir baliq sudah menjangkau 10 tahun bermakna
192 buku setahun didarab 10 tahun = 1920 buku amalan kita.
Kalau umur akhir baliq kita dah 20 tahun; 192 x 20 =  3 840
Kalau umur akhir baliq kita dah 30 tahun; 192 x 30 =   5 760
Kalau umur akhir baliq kita dah 40 tahun; 192 x 40 =   7 660
Kalau umur akhir baliq kita dah 50 tahun; 192 x 50 =   9 600
Kalau umur akhir baliq kita dah 60 tahun; 192 x 60 = 11 520
Kalau umur akhir baliq kita dah 70 tahun; 192 x 70 = 13 440

Baginda Nabi SAW juga mengajarkan tips & petua untuk berjunpa dengan AlLah SWT pada Hari Akhirat kelak iaitu ada 2 sahaja; berbuat amal yang soleh & jangan cuba bersyirik kepada-NYA. Tanpa amal soleh semasa di dunia manusia tidak layak untuk bertemu AlLah SWT. Dengan amal soleh sahaja tidak cukup untuk bertemu-NYA jika kita bersyirik! Seseorang itu tidak bersyirik kepada AlLah SWT tetapi tidak melakukan amal yang soleh, golongan ini juga tidak layak untuk bertemu-NYA. Ya nikmat yang terbesar & terhebat di akhirat kelak ialah dapat bertemu AlLah SWT bukan dapat memasuki syurga Firdaus. Untuk bertemu AlLah SWT inilah agenda yang tidak dapat difikirkan oleh kemampuan akal & otak manusia, walau siapapun manusia itu. Dalam kasus yang tidak dapat dicapai otak inilah kita perlukan bimbingan Baginda Nabi SAW yang bersumberkan wahyu!

       Seterusnya DIA mendeskripsikan manusia pilihan-NYA itu dengan apa yang antara lainya  terdapat dalam Surah an-Najm pula;

An-Najm  2-5



مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ [٥٣:٢]
Tidak sesat sahabat kamumu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar)

          Setelah menerima wahyu, Baginda SAW tidak lagi membuangkan sisa-sisa masa yang ada padanya, setiap saat & masa yang terluang Baginda SAW memenuhinya dengan ajakan kepada bertauhid kepada AlLah SWT. Baginda SAW mengajak masyarakat Arab pada masa itu agar menyembah AlLah Yang Esa dengan meninggalkan segala sembahan yang lain; sama ada berhala, patung, kayu, batu, bintang, binatang, dsb. Ajaran & ajakan RasullulLah SAW agar manusia mentauhidkan AlLah SWT sahaja pada masa itu dilihat sebagai bercanggah dengan arus perdana yang rata-ratanya menyembah sesama makhluk. Lalu tersebarlah fitnah yang disebarkan oleh golongan penentang Islam yang kononya Muhammad telah sesat kerana mangajar kita akan hidup kembali, sedangkan datuk nenek moyang mereka yang mati tak ada seorangpun yang hidup kembali lagi sekarang. Lalu mereka mencabar Baginda SAW agar menghidupkan sahaja leluhur mereka berada di kubur.
          Sebetulnya mereka yang silap & salah faham atau mereka sengaja buat tak nak faham, Baginda  SAW menyebutkan bahawa AlLah SWT yang akan menghidupkan kembali manusia untuk kali keseterusnya sebagimana DIA menjadikan & menghidupkan manusia dari tiada langsug kepada ada pada kali yang pertama. Sedangkan apabila manusia mati sebetulnya dia tidak hilang & lenyap, dia sebenarnya ada disembunyikan dalam tanah. Bila sampai masa & ketikanya AlLah SWT akan memanggil setiap jasad yang pernah menerima subsidi nyawa agar hidup kembali; cukup dengan hanya satu perintah sahaja; KUN maka semuanya akan FAYAKUUN, secara seerentak.  
          AlLah SWT membela para utusan-NYA bermula semenjak Nabi AlLah Nuh AS lagi dari fitnah berhelah musuh; yang menjaja & menyebar cerita yang para rasul itu sesat & mneyeleweng dari arus perdana. Agama AlLah SWT tidak mengambil kira arus perdana sebagai tunjang untuk menentukan benar tau tidak, tetapi menjadi kemahuan, titah, & perintah AlLah SWT itu sebagai rujukan benar atau salahnya sesuatu. Apa sahaja yang dilaku bertepatan dengan kehendak AlLah SWT itulah yang paling benar walaupun bercanggah dengan arus perdana. Apa-apa yang dilaku & diamalkan bercanggah dengan titah & perintah AlLah SWT itulah yang palsu & batil walaupun itu menjadi pegangan & anutan arus perdana.



وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ [٥٣:٣]
Dan ia tidak berkata (sesuatu yang berhubung dengan Islam) menurut hawa nafsunya.
إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ [٥٣:٤]
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain  wahyu yang diwahyukan.
          Riwayat & perjalanan hidup Baginda SAW sebelum terlantik menjadi rasul pun Baginda SAW tidak menurut & mengikut hawa & nafsunya. Inikan pula seleas dilantik secara rasmi menjadi rasul dengan kedatngan wahyu yang disempurnakan oleh Ketua Para Malaikat; Jibril AS. Baginda SAW tidak tertarik untuk sama-sama mabuk dengan kaumnya walaupun sebelum dilantik menjadi rasul. . Baginda SAW tidak tertarik untuk sama-sama berjudi dengan kaumnya walaupun sebelum dilantik menjadi rasul.  Baginda SAW tidak tertarik untuk sama-sama berjudi atau menjadi taukeh judi  dengan kaumnya walaupun sebelum dilantik menjadi rasul.  Baginda SAW tidak tertarik untuk sama-sama berkonsert & menganjurkan pelbagai konsert dengan kaumnya walaupun sebelum dilantik menjadi rasul. Baginda SAW tidak tertarik untuk sama-sama berkunjung ke spa, pusat keraoke, pusat-pusat dangdut, melanggan gro dengan kaumnya walaupun sebelum dilantik menjadi rasul.
          AlLah SWT memberikan jaminan-NYA bahawa manusia yang bernama Muhammad bin AbdulLah SAW ini dia tidak bercakap tentang sesuatu perkara yang berhubung dengan suruhan atau tegahan Islam ini mengikut kehendak hawa & nafsunya, sebaliknya apa yang dituturinya merupakan wahyu & kehendak AlLah SWT agar dilaksanakan. Umpamanya Baginda SAW melaknat perbuatan rasuah, itu bukan keluar dari mulut Baginda SAW sambil Baginda SAW berkhayal & tersalah cakap darinya. Begitu juga apabila Baginda SAW menyebut hukuman potong tangan bagi pencuri apabila Baginda SAW dengan tegas berkata kepada cucu angkatnya; Zaid bin Harithah ‘Demi AlLah SWT kalau Fatimah binti Muhammad mencuri, aku akan potong tangannya’ jelaslah kepada kita apa sahaja yang terkeluar dari mulut Baginda SAW yang menyangkut urusan agama itu kesemuanya kehendak AlLah SWT, bukan rekaan Baginda SAW.








Bilakah Syafaat & Bimbingannya Diperlukan?

Kenapa kita perlukan Nabi Muhammad SAW?
        Pada setiap masa & zaman AlLah SWT silih berganti mengutuskan para rasul bermula dengan Nabi AlLah Adam AS. Tujuan AlLah SWT mengutuskan para  nabi ini, tidak lain & tidak bukan agar semua manusia berabdi kepada-NYA & pada masa yang sama menjauhi ajakan & tipu muslihat taghut (sebarang ajakan untuk meragukan keindahan Islam). Untuk umat akhir zaman ini, yang kebetulannya kita berada & masih hidup pada akhir zaman ini, maka untuk umat akhir ini AlLah SWT mewajarkan kita untuk ikut menjadi pengikut, pendokong, & pelindung kepada ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW.  Ya pada tiap masa manusia memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab untuk menjamin kesejahteraan hidup, pemimpin yang sanggup berdepan dengan segala pahit getir untuk menjamin rakyat bawahannya selamat, pemimpin yang bersedia berkorban segala-galanya untuk yang dipimpinnya, pemimpin yang mengutamakan rakyatnya.
            Segala hajat segala hasrat yang dimahukan oleh rakyat yang patut ada pada pemimpin, semuanya terhimpun pada diri seorang manusia yang bernama Muhammad bin AbdulLah SAW. Segala kehebatan segala kepandaian ada pada diri Baginda SAW. Kita memerlukan Baginda SAW dalam semua aspek untuk mengenal Pencipta iaitu AlLah SWT. Setakad hari ini tidak ada mana-mana pihak yang berani mendakwa dia sebagai pencipta; sama pencipta apa yang ada di sekelilingnya atau mencipta dirinya sendiri. Ya, untuk itu hanya AlLah SWT yang berani mendakwa DIA lah pencipta bukan sahaja manusia malah semua yang ada sama ada yang berada di langit sana bersama isi-isinya atau apa yang tersimpan dalam perut bumi atau yang melata di atas belakang bumi. SubhanalLah.
            Ya kita  memerlukan Baginda SAW untuk mengenal-NYA, itupun jika kita berminat untuk mengenali RABB sekalian alam.jika kita tidak berminat atau tidak cadangan untuk mengenali AlLah SWT, kita tidak payah untuk bergantung kepada Baginda SAW. Kita hiduplah sesuka hati & nafsu diri. Tetapi perlu diingat AlLah SWT yang mendakwa DIA pencipta seluruh langit & bumi berserta semua isinya, DIA juga mendakwa akan menghidupkan semula semua yang pernah menerima subsidi pinjaman nyawa untuk dikira-kirakan semua amal usaha yang dilakukan semasa hidup. DIA juga mendakwa untuk selamat dari segala huru-hara, sila jadikan al-Qur’an; kitab garapan-NYA sebagai teman di sepanjang perjalanan  sebelum nyawa dipadam dari badan.
Mempercayai & tunduk serta patut pada segala titah & perintah-NYA seperti yang termuat dalam al-Qur’an itu dipanggil keimanan. Keimanan dituntut untuk meyakini yang tidak kelihatan dengan pandangan dua mata yang berada di muka. Tetapi DIA boleh mendekat & melekat di hati sesiapa yang sudi mencari & mencari kebenaran di bumi.
                      
Bila Kita Perlukan Syafaat & Bimbingan Baginda SAW?
1. Semasa di Dunia
        Kita memang memerlukan bimbingan Baginda Nabi Muhammad SAW semasa di dunia. Untuk apa ya? Sebagai umat yang ada agama, & Islam menjadi pilihan kita, yang mungkin telah dipilih oleh kedua orang tua untuk kita(Islam baka). Kita perlukan Baginda SAW untuk mengetahui apa tujuan hidup kita di bumi ini. kita perlukan Baginda SAW untuk mengenali AlLah SWT. Kita perlukan Baginda SAW untuk menterjemahkan segala isi kandungan al-Qur’an. Kita memerlukan Baginda SAW untuk menjadi manusia yang tegar memetik gitar kemanusiaan & yang ligat meniup seruling keluhuran. Baginda SAW telah menunjukkan semua tatacara untuk menjadi manusia yang terbaik & unggul  dalam semua bidang. Bagindalah jeneral perang yang terbaik. Bagindalah suami yang terbaik. Bagindalah ketua hakim yang terbaik. Bagindalah ayah & datuk yang terbaik. Bagindalah sahabat yang terbaik. Bagindalah peniaga yang terbaik. Bagindalah guru yang terbaik. Bagindalah teman yang terbaik. Bagindalah jiran yang terbaik. Bagindalah pemimpin yang terbaik. Bagindalah perunding/konsultan yang terbaik. Bagindalah motivator yang terbaik. Segala-galanya Bagindalah yang terbaik.


2. Semasa di Alam Barzah
        Semua manusia sudah ditakdirkan untuk mati & apabila mati seseorang itu akan dikuburkan. Alam kubur merupakan sesuatu yang asing kepada manusia. Baginda Nabi SAW memberitahukan  bahawa kubur itu sama ada salah satu dari taman-taman syurga atau salah satu dari jurang neraka. Baginda SAW juga memberitahukan dalam kubur adanya soal jawab antara si mati dengan 2 Malaikat; Mungkar & Nakir. Kedua malaikat tersebut diamanahkan AlLah SWT untuk menyoal siasat orang mati tentang pelbagai soalan yang diamanahkan. Si mati pula tidak akan selamat dari pertanyaan keduanya kecualilah mereka mempunyai peguambela.
       Baginda SAW memberitahu jika kita ingin memiliki peguambela sewaktu di pusara nanti, beramallah dengan segala suruhan AlLah SWT yang termuat dalam al-Qur’an, sebarkanlah ajaran Islam yang indah ini. pertahankanlah Islam ini dari sebarang pencerobohan. Jauhilah semua yang dilarang-NYA seperti yang termuat dalam al-Qur’an.
       Semua manusia akan diperlihatkan dengan satu gambar semasa di alam pusara kelak, ya gambar seorang lelaki; kita diminta mengecam & memberi tahu siapa nama lelaki itu. Seandainya kita gagal menjawab dengan tepat kita akan dipukul oleh Mungkar & Nakir. Gambar lelaki yang dipertontonkan tu ialah gambar Nabi Muhammad SAW.


3. Semasa di Mahsyar
        Mahsyar atau Padang Mahsyar merupakan suatu tempat yang menghimpun semua yang pernah menerima subsidi pinjaman nyawa semasa di dunia. Perhimpunan di sini bukan sahaja melibatkan semua mereka yang pernah menjadi penghuni dunia, malah semua penghuni di 7 lapisan langit juga akan dikumpulkan bersama. Manusia semua sekali akan dihalau ke Mahsyar oleh para Malaikat yang bertugas.  Rombongan manusia yang bergerak ke Mahsyar terbahagi kepada 3 golongan;
1- yang berjalan kaki
2- yang berkenderaan
3- yang berjalan dengan mukanya
Keadaan pergerakan kita dari pusara ke Mahsyar nanti ditentukan oleh kadar amal soleh atau amal negatif masing-masing. Jika beramal soleh mereka akan begerak ke Mahsyar sama ada berjalan kaki atau berkenderaan. Jika mereka memiliki amal negatif mereka pasti akan malu & menyembunyikan muka mereka sehingga mereka sanggup berjalan menggunakan muka masing-masing.

          Sampai di Mahsyar, semua manusia akan dihimpunkan dalam keadaan berdiri entah berapa tahun lamanya. Mungkin berpuluh, mungkin beratus, mungkin beribu, mungkin berjuta-juta tahun tanpa berbuat apa-apa. Pada masa itulah mereka akan berpeluh mengikut kadar doa masing-masing, ada yang peluhnya;
1- sehingga buku lalinya
2- sehingga lututnya
3- sehingga pusatnya
4- sehingga dadanya
5- sehingga hidungnya

          Pada masa inilah manusia terfikir untuk mencari seorang nabi agar dapat mengadap AlLah SWT supaya DIA membuka Mahkamah-NYA untuk menilai & menghukum manusia sesuai dengan semua amal masing-masing. Mula-mula kita beramai-ramai akan pergi mencari Baginda Adam AS untuk meminta jasa baiknya agar mengadap ke Hadrat AlLah SWT agar dipercepatkan perkiraan amalan. Setelah ayah kita Adam AS ditemui setelah mencarinya di merata-rata tempat dengan memakan sejumlah masa yang lama. Apabila kita memberitahu tujuan & hajat yang digalas itu, Bapa Kita Adam AS menjawab, dia tidak berani untuk mengadap AlLah SWT pada hari ini, kerana pada hari itu AlLah SWT akan memuntahkan murka-NYA dengan murka yang tidak pernah digunakan-NYA selama ini. Walau bagaimanapun Baginda Adam AS mencadangkan agar kita menemui Nabi Ulu Azmi yang pertama iaitu Nabi AlLah Nuh AS. Lalu tanpa membuangkan masa kita terus mencari pula Nabi AlLah Nuh AS. Apabila hasrat kita dimaklumkan kepada Baginda Nabi Nuh AS, penarikan diri yang sama dari Nabi Nuh AS dengan hujah yang sama. Seterusnya Baginda Nuh AS mencadangkan kita menemui KhalillulLah Ibrahim AS. Apabila Nabi AlLah Ibrahim AS ditemui jawapan yang sama juga diberikan & Baginda AS mencadangkan kita menemui KalamulLah Musa AS. Nabi AlLah Musa AS juga memberikan jawapan yang serupa apabila diminta pertolongannya. Walau bagaimanapun Baginda AS mencadangkan agar kita menemui RuhulLah Isa AS. Semasa Nabi AlLah Isa AS ditemui, Baginda AS juga tidak memiliki keberanian untuk mengadap AlLah SWT. Walau bagimanapun Baginda AS mencadangkan kita menemui Nabi Muhammad SAW.
          Justeru kita pun beramai-ramai bergerak untuk mencari Baginda SAW. Apabila Baginda SAW melihat kita dari jauh, Baginda SAW terus berlari-lari untuk mendapatkan kita sambil mulutnya menyebut ummati, ummati, ummati. Baginda SAW yang bertanyakan apa masalah kita. Apabila diberitahu agar Baginda SAW  mengadap AlLah SWT & merayu-NYA supaya disegerakan perbicaraan di Padang Mahsyar, Baginda Nabi SAW terus sujud dengan sujud yang paling cantik & mengeluarkan patah-patah kata yang paling menarik yang disulam untuk memuji-NYA. Begitu lama masa yang diambil Baginda SAW untuk bersujud & memuji-NYA, sehingga AlLah SWT menitahkan Baginda SAW agar mengangkat kepalanya & meminta apakah hajatnya. Maka Baginda SAW pun menyatakan hajat umatnya, iaitu kita semua agar AlLah SWT menyegerakan perbicaraan-NYA di Padang Mahsyar. Dengan permintaan daripada Baginda Nabi Muhammad SAW, maka AlLah SWT pun memulakan perbicaraan untuk mengadili manusia semua di Mahsyar. SubhanalLah, dengan syafaat Nabi Muhammad SAW DIA memulakan mahkamah keadilan-NYA. DIA bertindak sebagai hakim, al-Qur’an akan dijadikan peraturan. Semua anggota badan kita & segala apa yang ada di sekeliling akan menjadi saksi. Sementara amal soleh akan menjadi peguambela. Malaikat akan bertugas sebagai pendakwaraya.

Setelah selesai semua manusia dibicarakan, kita akan melintas pula Titian Siraq untuk ke syurga. Baginda SAW lah merupakan manusia yang pertama diizin-NYA untuk menyeberang titian tersebut untuk menuju ke syurga. Ada pelbagai ragam manusia yang menyeberang titian itu.
1- ada yang seperti kilat
2- ada yang selaju kapal terbang
3- ada yang selaju kuda berlari
4- ada yang selaju orang berlari
5- ada yang selaju orang berjalan kaki
6- ada yang terpaksa merangkak-rangkak
7- ada yang jatuh terjunam ke neraka
 Titisan Siraq itu terbentang di atas neraka.

Apabila semua yang menyeberang selamat tiba di perkarangan syurga, pintu syurga tidak akan terbuka & dibuka sebelum kedatangan Baginda Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda SAW merupakan pemegang Kunci Syurga. Tanpa Baginda SAW pintu syurga tidak akan terbuka & dibuka! Lalu dengan sisa-sisa usia yang masih tinggal sedikit lagi tersisa ini, mari kita jadikan Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan kita dalam semua situasi & kondisi. Ikutan dalam bidang aqidah. Ikutan dalam soal ibadah. Ikutan dalam soal perkahwinan. Ikutan dalam bidang ekonomi. Ikutan dalam masalah pemerintahan negeri & negara. Ikutan dalam melaksanakan undang-undang. Ikutan semasa menghadapi peperangan. Ikutan dalam bidang apa sahaja selagi kita bernama manusia yang disambung subsidi nyawa.

No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters