About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Friday, January 20, 2012

Surah Ali-Imran Ayat 130-138

Surah Ali-Imran
Tazkirah Mingguan- Jumaat  Malam Sabtu-
27 Safar 1433 bersamaan 21 Jan 2012
Masjid Pak Da Nor, Padang Embon, Pasir Mas



Pengharaman Riba



130. Wahai orang-orang yang ada iman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda & bertaqwalah kepada AlLah supaya kamu berjaya.
131. Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
132. Dan taatlah kamu kepada AlLah dan Rasul-NYA, supaya kamu mendapat rahmat.
133. Dan segeralah kamu kepada  keampunan dari RABB kamu, & syurga seluas  langit & bumi,  disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
134. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang & susah, dan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), AlLah mengasihi orang-orang yang berbuat baik;
135. Dan juga orang-orang yang terbuat perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada AlLah lalu memohon ampun akan dosa mereka & tidak ada yang  boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan AlLah & mereka tidak meneruskan perbuatan keji , setelah mereka mengetahui .
136. Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari RABB mereka & syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; & yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).
138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia & petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.



130. Wahai orang-orang yang ada iman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda & bertaqwalah kepada AlLah supaya kamu berjaya.
          AlLah SWT melarang orang-orang yang ada iman dalam hatinya daripada terlibat dalam sebarang urusan yang ada riba & yang berunsur riba.  Sebagai hamba, kita wajib mendengar & mentaati perintah & titah-NYA sahaja. Kamus Dewan mendefinisikan riba sebagai; bunga berganda yang membebankan, yang diharamkan oleh Islam; makan riba a) hidup dengan membungakan wang; b) membungakan wang dengan bunga yang tinggi

Riba merujuk kepada penetapan agar adanya lebihan  bayaran yang dibuat oleh si pemberi pinjam kepada yang meminjam. Misalnya si A terpaksa meminjam dengan si B. Si B menetapkan untuk meminjam darinya mesti dibayar lebih 10% daripada jumlah pinjaman asal. Oleh sebab keterpaksaan si A pun bersetuju. Lalu si A diberi pinjam RM 1000.00, tetapi semasa membayar kelak si A mesti menambahkan 10%. Jadi si A terpaksa membayar RM 1100.00. jadi RM 100 lebihan yang dibayar oleh A itulah yang dikatakan riba. AlLah SWT mengharamkan urusniaga yang semacam ini kerana adanya unsur penindasan.

Seandainya si B tidak menetapkan 10% lebihan mesti dibayar, sebaliknya si A semasa membayar memberikan jumlah yang lebih, hal tersebut tidak dikira riba. Malah si A mendapat pahala, kerana kita disunatkan membayar lebih, apabila kita meminjam, jika kita berkemampuan.

Bertaqwalah kepada AlLah SWT, kerana dengan tunjangan taqwa itu DIA akan memberikan pahala kepada yang memberi pinjam atau hutang, selama pinjaman atau hutang itu belum dibayar.



131. Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
               Secara langsung AlLah SWT memberitahu bahawasanya urusniaga secara riba ini prinsip & amalan orang kafir, jadi janganlah kita sebagai orang Islam sekali-kali menirunya. Seandainya aktiviti & urus riba ini ditiru oleh orang Islam dalam agenda hidupnya, AlLah SWT tidak keberatan untuk memasukkan pengamal riba ini ke dalam neraka, untuk bersama-sama si kafir yang diikutinya.


 
132. Dan taatlah kamu kepada AlLah dan Rasul-NYA, supaya kamu mendapat rahmat.
          Sebagai orang yang ada iman hendaklah kita mentaati semua titah & perintah AlLah SWT tanpa kompromi. Segala perintah AlLah SWT itu termuat dalam al-Qur’an secara konsepnya. Pada masa yang sama kita wajib pula mentaati perintah rasul-NYA. Untuk akhir zaman ini rasul yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad SAW. Kenapa perlu mentaati rasul? Tak cukupkah jika taatkan AlLah SWT sahaja? Rasul wajib ditaati kerana Baginda SAW menterjemah secara terperinci segala titah &perintah AlLah SWT. Memang tidak lengkap & karut jika mahu taatkan AlLah SWT sahaja. Kononnya nak mentaati AlLah SWT sahaja & tak mahu taatkan rasul kerana rasul manusia seperti kita, dakwaan sebegitu sesat & menyesatkan. Hal ini kerana mentaati AlLah SWT & mentaati Rasul ibarat isi dengan kuku, tak boleh dipisahkan. Dalam al-Qur’an ada perintah AlLah SWT menyuruh manusia solat/sembahyang. Dalam al-Qur’an tidak dinyatakan solat apa, bila waktunya, berapa rakaatnya, bagaimana cara melakukannya. Jadi siapa yang menjelaskan perincian solat itu, jika bukan rasul atau nabi. Untuk kita tentunya Nabi Muhammad SAW.
Apabila Allah SWT & Rasul ditaati, rangkaian rahmat AlLah SWT akan dapat kita hirupi.


133. Dan segeralah kamu kepada  keampunan dari RABB kamu, & syurga seluas  langit & bumi,  disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
          Allah SWT amat mengetahui kelemahan manusia yang sering terjerat ke dalam lembah dosa tanpa tersengaja. Untuk merawat dosa yang tak tersengaja ini AlLah SWT mempelawa kita agar segera memohon keampunan dari-NYA. Apabila kita berjaya memperoleh keampunan tersebut DIA akan membukakan untuk kita anugerah syurga-NYA yang seluas langit & bumi. Apabila kita tiada lagi karat dosa mudahlah kita bergerak menuju daerah taqwa.
          Untuk bertaubat & memohon keampunan dari-NYA, kita tak payah pergi ke mana-mana. Kita tak payah pergi berjumpa sesiapa. kita tidak payah mengisi borang permohonan dahulu untuk bertaubat & kemudian menunggu kelulusannya. Kita boleh memohon ampun dari tempat kita terbuat dosa itu, & AlLah SWT akan mengampunkan dosa tersebut serta-merta.  AlLah SWT boleh mengampunkan dosa kita semua sekali, sebaik sahaja kita selesai bertaubat. Misalnya kita bertaubat jam 12;00 jam 12;00 jua dosa kita diampuni. Itulah Maha Hebat & Pengampunnya AlLah SWT kita. SubhanalLah.


  134. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang & susah, & menahan kemarahannya,  orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, serta  (ingatlah), AlLah mengasihi orang-orang yang berbuat baik;
                           Selain daripada orang yang suka bertaubat, AlLah SWT juga  menyenaraikan  sifat orang bertaqwa yang lain, antaranya ialah; orang yang suka berderma sewaktu berada atau susah,
orang yang dapat menahan kemarahannya kepada orang bawahan,
orang yang memaafkan kesalahan orang lain walaupun dia boleh membalasnya

sifat lain bagi orang yang bertaqwa ialah merujuk kepada mereka yang istiqamah dalam masalah derma, derma darinya tetap dia sama ada sewaktu dirinya dalam keluasan rezeki atau dalam kesempitan rezeki. Sewaktu dia dilapangkan rezeki oleh AlLah SWT banyaklah rezekinya yang mengalir sebagai derma. Sewaktu dia dihimpit kesukaran tetap dihulurnya derma walaupn dalam kuantiti yang agak sederhana.

Ya menahan marah kepada orang yang status sosialnya lebih rendah dari kita memang amat susah. Sama jugalah susahnya untuk melepaskan peluang untuk membalas kesalahan orang lain bila diberi peluang. AlLah SWT yang maha segala maha ini menawarkan ganjaran yang lumayan buat sesiapa yang mampu melakukannya, tak kira di mana juga dia berada.



135. Dan juga orang-orang yang terbuat perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada AlLah lalu memohon ampun akan dosa mereka & tidak ada yang  boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan AlLah & mereka tidak meneruskan perbuatan keji , setelah mereka mengetahui .
          Sifat  orang bertaqwa seterusnya dinyatakan AlLah SWT dalam ayat ini, iaitu DIA mengulangi tawaran istimewa-NYA untuk mengampunkan dosa-dosa yang terbuat oleh kita sebagi insan yang lemah ini. jangan kecewa & terputus asa jika terbuat dosa kerana DIA belum lagi menutup pintu keampunan-NYA yang lebih luas daripada langit & bumi. DIA sekali-kali melarang kita daripada mengulangi kesalahan yang sama untuk kali berikutnya. Kerana amat tidak wajar apabila kita mengetahui perkara itu dosa kita ulang-ulangi berkali-kali.



136. Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari RABB mereka & syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; & yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
          Orang yang bertaubat, ibarat dia tak pernah terbuat dosa. Apabila tiada dosa Allah SWT menawarkan kita agar masuk ke syurga. Syurga yang dijanjikan-NYA itu kekal buat kita selama-lamanya, & kita tidakl akan tua-tua & tidak akan mati lagi. Kerana kita hanya layak sekali sahaja untuk mati. Dalam syurga kelak ada sungai-sungai yang pelbagai. Ada sungai air, ada sungai susu, ada sungai madu, & ada sungai arak.



 
137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).
                     AlLah SWT mengutuskan kira-kira 124 000 para anbiya untuk mengajak umat masing-masing kembali kepada Islam, kembali berserah kepada peraturan AlLah SWT. Adapun Baginda Nabi Muhammad SAW dihantar ke dunia sebagi penutup & penyempurna nikmat Islam ini untuk para hamba. Pada seiap zaman menyaksikan pertembungan antara ajaran yang dibawa para anbiya dengan anutan sesat masyarakat.
                   Sejarah membuktikan anutan sesat masyarakat lebih memikat walaupun bersifat palsu & jahat. Justeru tidaklah menghairankan jika pada malam Isra Mikraj Baginda diperlihatkan ada para anbiya yang hanya diikuti oleh beberapa orang sahaja pengikut & ada para anbiya AlLah SWT ini tiada pengikut.
                   Setiap umat yang sesat mereka turut menetang ajaran yang dibawa para anbiya. Tidak terhenti di situ tingkah mereka, malah mereka tidak segan silu menyakiti  & seterusnya ada sampai ke tahap mereka membunuh para anbiya ini, misalnya Nabi Yahya AS & ayahnya Nabi Zakaria AS. Untuk mengajar umat yang setolol itu, AlLah SWT telah menurunkan azb & balanya, sehingga mereka mati baka. Keturunan mereka tidak ada lagi di dunia ini. lalu AlLah SWT mempelawa kita melancong ke seluruh pelusok dunia & lihatlah bagaimana kesudahan kaum Nabi Nuh, bagaimana pula kesudahan kaum Nabi Hud, bagaimana pula kesudahan kaum Nabi Salleh, bagaimana pula kesudahan kaum Nabi Luth dll apabila mereka derhaka kepada AlLah SWt. Ya semua mereka binasa sebinasa binaanya. Subhanallah.



138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia & petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
          Kebinasaan yang dirasai umat terdahulu sebagai pengajaran kepada semua manusia yang sedang hidup &  kepada mereka yang bakal hidup, bahawa mereka juga boleh dibinasakan jika AlLah SWT mahukan, jika mereka mengekalkan skrip lama; menderhakai ajaran-NYA. Kejadian sedemikian itu hanyalah orang yang beriman sahaja yang mendapat pengajaran. Kerana kisah-kisah sedemikian tidak menarik minat golongan kufar untuk menelitinya.









No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters