About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Sunday, January 8, 2012

Tafsir Surah az-Zaariyaat. Ayat 47-55


Tazkirah Dwibulanan, Minggu ke 2 & ke 4. 
Isnin Malam Selasa.                                                                                                                                 Masjid as-Solehin Kg Telok Kemunting, Bachok, Kelantan
16 Safar 1433 -10 Jan 2012

Surah az-Zaariyaat. Ayat  47-55

47. Dan langit itu KAMI dirikan dengan kekuasaan KAMI & sesungguhnya KAMI sememang berkuasa penuh.
48. Dan bumi pula KAMI hamparkan ; maka KAMI sebaik-baik penghampar.
49. Dan setiap sesuatu KAMI ciptakan berpasang-pasangan, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan.
50.  "Maka segeralah kamu kembali mentaati AlLah, Sesungguhnya aku  kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
51. "Dan janganlah kamu cari & jadikan bersama Allah ILAH yang lain, Sesungguhnya aku bagi kamu sebagai pemberi amaran yang nyata".
52. Demikianlah, tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: "Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila".
53. Adakah mereka semua saling berpesan-pesan untuk melemparkan tuduhan itu?, bahkan mereka semuanya adalah kaum Yang melampaui batas (dalam keingkarannya).
54. Oleh sebab itu, berpalinglah (Wahai Muhammad & umat) daripada mereka, & sekali-kali engkau tidak akan dicela.
55. Dan berilah peringatan, kerana Sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.




Siapa & Sehebat Manakah AlLah SWT


47. Dan langit itu KAMI dirikan dengan kekuasaan KAMI & sesungguhnya KAMI sememang berkuasa penuh.
        Dalam al-Qur’an banyak ayat & tempat yang digunakan AlLah SWT untuk memperkenalkan diri-NYA. Antaranya melalui ayat dalam surah ini. Kita boleh mengenali AlLah SWT dengan 2 cara;
1- melalui pemerhatian & kita perincikan sifat-sifat-NYA, seperti masyarakat kita belajar Sifat 20.
2- mengenali-NYA melalui penjelasan dari-NYA siapa diri-NYA
            AlLah SWT menjelaskan antara tanda kehebatan & kekuasaan-NYA ialah, dicipta-NYA langit & diangkat tinggi, setinggi-tingginya, entah berapa juta trilion kilometer jaraknya dengan kepala kita, tanpa tongkat, tanpa tiang, tanpa dinding,& tanpa tali yang mengikat. Sejak sekian lama langit ada tapi tak pernah nampak retak, walaupun ledakan gempa bumi terjadi tanpa henti-henti. Di langit pula bukan kosong tapi dipenuhi dengan pelbagai nama penghuni yang lain seperti bulan, matahari, planet, bintang, ada lapisan atmosfera, & pelbagai macam yang tidak dapat dijangkau oleh indera kita. Kesemua penghuni itu juga sama seperti langit tanpa tongkat, tanpa tiang, tanpa dinding,& tanpa tali yang mengikat.
            Kalaulah ada sebuah kerajaan diminta menjaga & mengurus langit dengan segala kekekuatan yang dimiliki negara tersebut, agak-agaknya berapa lama kerajaan itu dapat bertahan untuk menjaga langit? Misalnya kerajaan Amerika diberi peluang menjaga langit daripada jatuh kerana langit  tanpa tongkat, tanpa tiang, tanpa dinding,& tanpa tali yang mengikat, agak-agak kita mampukan kerajaan Amerika bertahan untuk 10 saat? Tentu tidak kan! Maha Suci AlLah SWT menjaga langit dari dahulu, kini, & sampai DIA sendiri yang hancurkan sebagai tanda menjelmanya hari kiamat. Tak ada siapa yang bisa & mampu nafikan sememangnya AlLah SWT Maha Berkuasa & Maha Perkasa.
             

48. Dan bumi pula KAMI hamparkan ; maka KAMI sebaik-baik penghampar.
          Setelah DIA memperkenalkan DIA sebagai pencipta langit dari tiada kepada ada & tiada yang menyerupainya, AlLah SWT juga menjelaskan kepada kita bahawa DIA juga yang menghamparkan bumi tempat kita berdiri & berlari ini. Bumi dicipta-NYA berbentuk sfera, kalaulah diminta manusia menghampar sesuatu yang berbentuk sfera ini, mati hidup kembali pun manusia tak mampu menghamparnya. Sebabnya mudah sahaja kerana manusia terlalu lemah, tersangatlah daif, tiada daya & upaya. Tetapi AlLah SWT walaupun bumi berbentuk sfera, DIA mampu menghamparnya.
            Bumi kita juga berpusing pada paksinya & bergerak dalam relnya untuk membuat pusingan mengelilingi matahari. Bumi mula berpusing & beredar semenjak hari pertama diciptakan, tentunya terlebih dahulu daripada penciptaan Adam AS. Kalaulah kipas di rumah kita berpusing selama sebulan tanpa henti, dipercayai bukan setakat kipas tersebut yang terbakar, rumah kita juga turut hangus! Bumi tetap berpusing tanpa mengeluarkan sebarang bumi akibat kekurangan minyak pada paksinya. Masa yang diambil oleh bumi untuk menyempurnakan satu pusingan ialah 24 jam.  Sementara masa yang diambil untuk mengelilingi relnya untuk satu pusingan pula 365 hari. Agak-agak kita berapa ratus kilometer sejamkah kelajuan yang diperlukan oleh bumi untuk menyelesai & menyempurnakan satu pusingan  dalam masa sehari & satu pusingan untuk 365 hari itu?
            Walaupun bumi kita berpusing & beredar dengan kadar kelajuan yang AlLah SWT sahajalah Yang maha Tahu, tetapi kita tidak terpelanting ke mana-mana & kita juga kita berasa pening. Hal ini semua disebabkan AlLah SWT itu sebaik-baik penghampar.

 
49. Dan setiap sesuatu KAMI ciptakan berpasang-pasangan, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan.
       Antara keunikan ciptaan AlLah SWT ialah DIA menciptakan semua hamba-NYA berpasang-pasangan, sama ada manusia, haiwan, tumbuhan, tenaga, dsb. Untuk manusia pasangannya disebut lelaki & perempuan, untuk haiwan & tumbuhan dipanggil jantan & betina, ada pasangan dikenali negatif & positif, ada pula dipanggil proton & neutron, ada yang dipanggil langit & bumi, ada yang dikenali siang & malam, ada pula pagi & petang, ada yang dipanggil kutub utara & kutub selatan, dsbnya.
       Adanya pasangan ini cukup penting & menjadi syarat kepada proses produktiviti. Manusia memerlukan pasangan hidupnya yang berlainan jantina untuk proses penglahiran manusia. Cas negatif & positif diperlukan untuk penjanaan tenaga, begitulah dengan yang lain-lain. AlLah SWT bukan sahaja menciptakan hamba-NYA secara berpasang-pasangan tetapi DIA juga mengizinkan kita memiliki pasangan masing-masing melalui proses akad nikah jika kita manusia.



50.  "Maka segeralah kamu kembali mentaati AlLah, Sesungguhnya aku  kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
            Setelah kita didedahkan dengan kehebatan & kemahaperksaan AlLah SWT melalui 3 kejadian; mengurus langit, mengurus bumi, & mengizinkan pasangan kepada para hamba-NYA, maka untuk apa kita bertangguh lagi, jom kita berebut-rebut & saling berdahulu-dahulu untuk mentaati perintah-NYA; sama ada perintah yang berupa suruhan ataupun perintah yang berbentuk larangan. Usah ditunggu esok atau lusa kerana pusingan nyawa kita berada dalam kekuasaan-NYA.
            Untuk menjelaskan kehebatan & kemahaperkasaan Allah SWT, diutus-NYA ratusan ribu nabi (124 000 ribu), & dalam kalangan nabi itu ada baginda rasul seranai 313 orang. Sungguhpun kita ada 313 para rasul, kita hanya diminta
tahu sebanyak 25 nama sahaja bermula dengan Nabi AlLah Adam AS hinggalah Baginda Akhir Zaman; Nabi Muhammad SAW.
            Semua kerja para nabi & rasul sama sahaja iaitu bukan untuk memaksa manusia menganut ajaran Islam yang diwahyukan oleh AlLah Yang Esa, tetapi para anbiya ini hanyalah bertugas sebagai pemberi amaran yang nyata. Memberi amaran kepada manusia yang cuba-cuba untuk menjadi penderhaka atau pembangkang terhadap titah & perintah AlLah SWT, agar segera membatalkan niat tersebut atau kuburkan sahaja hasrat itu, kerana jika diteruskan juga niat & hasrat itu, DIA akan menyiksa sesiapa sahaja yang derhaka dalam neraka. Neraka ini merupakan himpunan api yang bernyala-nyala & tak akan pada buat selamanya. Setelah para anbiya memberitahu ancaman yang disedia, maka terserahlah kepada manusia untuk memilih jalan mana yang disukainya. Manusia tidak akan dipaksa untuk memilih jalan ke syurga walaupun itulah yang paling disukai AlLah SWT. Sama halnya manusia tidak akan dihalang untuk melakukan terjunan ngeri ke neraka walaupun paling tidak disukai-NYA.


51. "Dan janganlah kamu cari & jadikan bersama Allah itu, ILAH yang lain, Sesungguhnya aku bagi kamu sebagai pemberi amaran yang nyata".
          Semua para anbiya dalam seruan dakwahnya melarang sama sekali manusia yang didakwahnya daripada mencari sekutu-sekutu dalam masa yang sama mereka mengaku beriman kepada AlLah SWT. Dengan erti kata lain AlLah SWT amat benci akan manusia yang mendua atau mentigakan-NYA. Hal ini merupakan pelakuan yang lazim kepada manusia. Tidak ada mana-mana penguasa di dunia ini yang suka dia disaingi. Misalnya ada segolongan manusia di negara kita melantik seorang lagi Perdana Menteri di samping PM yang sedia ada. Adakah PM yang sedia ada akan berdiam diri atau akan mengambil tindakan kepada golongan yang menduakannya itu?
            Samalah halnya dengan AlLah SWT, DIA memberikan kita segala-galanya. Dicipta-NYA dari tiada kepada ada, dibekalkannya tanpa henti walau sesaat oksigen untuk kita bernyawa, dijadikannya bumi tempat kita berdiri, berlari, & beraksi, disediakan langit yang membumbungi, dijadikannya air untuk pelbagai guna; minum, membasuh, menyiram dsb, tegasnya tidak ada satu apapun di bumi ini melaikan DIA sediakan sebagai fasiliti untuk kita. Dalam pada itu, kita pula mencari & mereka-reka serta mengadakan ILAH lain selain-NYA. Sudah tentulah kemurkaan-NYA tidak dapat lagi untuk dijumlahkan.
            Para nabi & rasul kerap kali memperingatkan manusia dengan amaran yang nyata, melalui hujah & dalil yang berpijak di bumi nyata. Sayangnya sebahagian manusia berpura-pura tidak memahaminya. Sedangkan fitrah & naluri dalamnya mengakui keberadaan AlLah SWT Yang Maha Esa.
                     

52. Demikianlah, tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: "Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila".
        Telah menjadi sunah perjalanan dakwah para rasul AlLah SWT, mereka dilempari & dilumuri dengan tuduhan sebagai ahli sihir, pada masa yang lain mereka dituduh sebagai orang gila. Demikian juga dengan nasib pewaris gerakan anbiya (pejuang Islam) juga akan mengalami peristiwa & tuduhan yang sama. Baginda para anbiya memberitahu sesuatu yang benar & kebenaran itu sifatnya jelas & terang tidak dapat dinafikan oleh sebarang hujah & keadaan. Oleh sebab penentang Islam ini tidak ada hujah untuk disuakan untuk mematahkan kebenaran, akhirnya menggunakan senjata fitnah yang tidak bermata dengan melemparkan tuduhan yang mereka sendiri tidak dapat buktikan. Kalaulah para anbiya dilempari & dilumuri tuduhan sebagi tukang sihir, kenapa mereka juga tidak bersungguh-sungguh mengikuti kelas pengajian ilmu sihir itu & menjadikan sihir mereka jauh lebih hebat? Kalau mereka berasa mereka sudah berusia, mereka boleh carikan anak cucu mereka sebagai pengganti untuk belajar sihir supaya sihir mereka lebih hebat. Kenapa hal ini tidak dibuat mereka?
            Kalau para anbiya dilabel sebagai orang gila, kenapa mereka masih menghalang orang banyak daripada mendengar celoteh orang gila? Kalau kita perhatikan dalam kehidupan semasa, adakah manusia yang sihat & waras ini akan terpengaruh & percaya 100% dengan dakwaan orang gila? Sudahlah terpengaruh dengan orang gila, mereka sanggup pula berkorban untuk orang gila itu & sanggup pula menyiar serta menyebarkan apa yang diajar oleh orang gila? Tentu tidak ada kan? Kalaulah dakwah nabi dikatakan dakwaan orang gila, biarlah kita sebagai penerus seruan itu, walaupun kita akan dihujani dengan tuduhan yang sama.


 
53. Adakah mereka semua saling berpesan-pesan untuk melemparkan tuduhan itu?, bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).
            AlLah SWT yang mengetahui apa yang bersarang & membiak di hati manusia, memberitahu perancangan musuh-musuh agama ini. Musuh-musuh agama AlLah SWT ini apapun namanya; musyirin, munafik, sang kafir, mulhid, nasionalis, asobiyyah, sosialis, pragmatis dsb, mereka ini saling berbincang & bertukar maklumat, tuduhan apa pula yang perlu dilempar & dilumuru kepada pejuang Islam, agar khalayak banyak tidak menghampiri majlis mereka. Setiap masa tuduhan ini diupgrade agar sentiasa sesuai & segar dalam kepala sesetengah manusia yang bebal.
            Seringkali pejuang Islam & pewaris anbiya ini dilumuri tuduhan agen komunis, pemecah belah masyarakat, pengancam keselamatan negara, tidak suka perpaduan, teroris, menjadi kuda tunggangan orang kafir, dsb. Istilah tuduhan ini akan berbeza pada masa-masa yang berbeza.


54. Oleh sebab itu, berpalinglah (Wahai Muhammad & umat) daripada mereka, & sekali-kali engkau tidak akan dicela.
            Apabila sudah sampai ke tahap parah tuduhan mereka & boleh mengancam keselamatan nyawa jika kita berterusan bermuamalat dengan mereka, AlLah SWT mengizinkan jurudakwah supaya berpaling dari mereka, carilah sasaran & medan dakwah yang lain, walaupun tepaksa berhijrah. Tindakan berhijrah untuk mencari sasaran dakwah baharu bukan bermakna lari dari tanggungjawab, lantaran itulah tindakan berhijrah itu tidak dicela oleh AlLah SWT, tidak berdoa. Malah di sana ada sanjungan AlLah SWT untuk jurudakwah yang berhijrah ini. Tidak dapat dinafikan sejarah kesuksesan & kesempurnaan pelaksanaan Islam hanya berlaku apabila Baginda Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinatul Munawwarah, membentuk negara Islam yang pertama di dunia.


55. Dan berilah peringatan, kerana Sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
            Di manapun kita berada, berapa minit pun masa dalam sehari, gunakanlah untuk memberikan tazkirah; peringatan kepada manusia tentang AlLah SWT & tentang adanya hari yang digelar Hari Qiamat yang mana kita semua dipaksa beraksi sepanjang hari. Apabila kejap & kemas pegangan & keyakinan manusia terhadap AlLah SWT & Hari Qiyamat, sudah pasti mereka akan menjadi orang yang beriman. Lalu sahutlah pelawaan AlLah SWT untuk sentiasa bertazkirah, kerana tazkirah itu sebagai lebuhraya untuk menuju keimanan.



No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters