Tazkirah Bulanan Minggu Pertama
Hari Selasa Malam Rabu
Masjid Haji Jaafar, Kg Bilut, Jejulok
Pengenalan Kepada Surah Hud
Surah Hud merupakan surah yang ke-11 mengikut susunan dalam al-Qur’an & berada pada
penghujung juz yang ke 11. Terdiri daripada 123 ayat. Ada 1625 kalimah & 6905 huruf. Hanya
5 sahaja ayatnya berada dalam juzuk yang ke-11, selebihnya berada dalam juzuk
yang ke-12.
Hud
diambil sempena nama salah seorang nabi & rasul AlLah, yang mana kita diwajibkan
mengetahuinya, dari sejumlah 25 rasul. Nabi AlLah Hud merupakan rasul yang
keempat mengikut kronologi susunan para rasul AlLah SWT. Baginda Hud AS juga merupakan antara anbiya
yang bukan berketurunan Bani Israel.
Sedangkan para anbiya yang lain bermula dengan Nabi AlLah Ishak AS
hingga Nabi AlLah Isa AS, semuanya berketurunan Bani Israel. Nabi AlLah Hud AS
diutuskan kepada kaum Ad yang menghuni tempat yang dikenali sebagai al-Ahqof
yang terletak di antara Oman dengan Yaman. Kisah Nabi AlLah Hud AS dimuatkan
bermula ayat 50-60 dalam surah Hud ini.
Adapun nama para rasul yang 25 itu adalah seperti berikut;
1. Adam AS
2. Idris AS
3. Nuh AS
4. Hud AS
5. Salleh AS
6. Ibrahim AS
7. Luth AS
8. Ismail AS
9. Ishak AS
10. Yaakob AS
11. Yusoff AS
12. Ayub AS
13. Syuaib AS
14. Musa AS
15. Harun AS
16. Zulkifli AS
17. Daud AS
18. Sulaiman AS
19. Ilyas AS
20. Ilyasa’ AS
21. Yunus AS
22. Zakaria AS
23. Yahya AS
24. Isa AS
25. Muhammad SAW
AlLah
SWT memulakan surah Hud ini dengan huruf-huruf potong; Alif, Laam, Raa’. Dalam
bahasa Melayu dikenali sebagai huruf akronim. Kebanyakan mufassirin (ahli
tafsir) tidak menafsirkan apakah maksud huruf ini. Hanya Ibnu Abbas, AbdulLah
bin Abbas sahaja yang menafsirkannya. AbdulLah bin Abbas RadialLahuanhuma
menafsirkan Alif Laam Raa’ dengan makna; Akulah AlLah Yang Maha Melihat.
Kesemua
surah yang dimulakan dengan huruf muqataah ini akan diikuti dengan penegasan
terhadap kehebatan & kekaguman terhadap al-Qur’an. Misalnya Yaasin, diikuti
dengan wal Qur’anil hakim. Qaaf, wal Qur’anummajid. Huruf potong ini merupakan
sumpah AlLah SWT untuk menobatkan kemahahebatan al-Qur’an. Demikianlah dengan
surah Hud ini, setelah AlLah SWT bersumpah dengan Alif, Laam, Raa’, AlLah SWT memberikan jaminan
bahawa kitab-NYA; al-Qur’an ini, kukuh &teguh susunan ayat-ayatnya, tak
mampu diganggu gugat & ditiru ayat-ayatnya sama ada susunannya ataupun
diksi-diksinya yang cukup hebat & mengesankan.
Kandungan
al-Qur’an ini keseluruhannya dijelaskan secara terperinci & menjadikannya
jelas sejelas-jelasnya. Penjelasan terhadap maksud ayat al-Qur’an ini terdapat
dalam ayat-ayat yang lain. Penjelasan terhadap maksud ayat-ayat al-Qur’an juga
datangnya daripada tafsiran Nabi Muhammad SAW yang termuat dalam sunnah Baginda
SAW. Tidak ada satupun ayat al-Qur’an yang tergantung & tidak dapat
difahami; kerana semuanya telah ada tafsirannya dengan ayat-ayat yang lain
ataupun sabda Baginda SAW. Cuma kita sahaja yang malas untuk membelek-belek
maksud ayat-ayat AlLah SWT. Kita lebih suka & seronok menghabiskan masa
berjam-jam untuk memuaskan nafsu mata dengan menonton tv & membaca
tulisan-tulisan manusia yang kita tak kenal susuk badan & batang hidungnya.
Amat malanglah jika kita yang mengaku Islam ini boleh melaburkan masa 3 jam
untuk menonton cerita hindi yang berkhurafat & menyesatkan dengan senang
hati tapi apabila mendengar kuliah tafsir sejam sudah rasa terlalu lama &
seringkali terlena.
Al-Qur’an
yang sedang mendampingi kita sekarang ini datangnya dari AlLah SWT yang
bersifat hakiim(bijaksana). Bijaksana AlLah SWT bukan kerana DIA lulus dari
mana-mana ipt atau berguru dengan sesiapa. Berbeza dengan kita walau
sebagaimana bijakpun kita asalnya bodoh, kemudian kita berhempas pulas belajar,
kemudian kita berhempas-pulas pula bergelut dengan peperiksaan untuk pandai,
sampai ada antara kita yang sanggup meniru untuk menjadi bijak. Bijaknya kita
hanya akerana kita boleh menjawab beberapa soalan peperiksaan sahaja, bukan
kerana kita menguasai semua judul & tajuk yang kita pelajari. Setelah itu kebijakan kita akan menjadi
semakin tumpul dimamah usia yang semakin bertambah. AlLah SWT hakiim tidak
berawal & tiada berakhir. Selama-lamanya.
Kita
pasti akan menjadi hakiim bila kita membaca al-Qur’an kerana al-Qur’an itu
sendiri sifatnya hakiim & datangnya dari AlLah SWT Yang Maha Hakiim.
Setelah AlLah SWT menjelaskan bahawa DIA
Yang Maha Hakiim, bersifat hakiim, maka dengan itu kita diminta agar tidak
menyembah atau berabdi kecuali hanya kepada-NYA. Manusia semua sekai tanpa
mengira apa warna kulit & pecahan warna budaya tempat kita dilahirkan, diminta
menjadi hamba kepada AlLah SWT. Menjadi hamba bermaksud kita mesti berkerja
kerana-NYA 24 jam sehari, 7 hari seminggu & 30 hari sebulan, seterusnya 12
bulan setahun, tiada masa untuk bercuti daripada menjadi hamba. Status hamba
tidak sama dengan status pekerja.
Baginda
Nabi Muhammad SAW diminta oleh AlLah SWT supaya menyiar & menyampaikan
dakwah, mengajak manusia supaya menjadi hamba kepada AlLah SWT dan mengkufuri
kepada yang lain; kerana yang selain sesuatu yang datang daripada AlLah SWT
& bercanggah dengan kehendak AlLah SWT itu, semuanya berasal &
dicetuskan oleh iblis, setan and the gang. Dakwah yang diseru & disampaikan
oleh Baginda Nabi Muhammad SAW itu menjadikannya sebagai pentazkirah; iaitu
menyampaikan adanya ancaman siksa daripada-NYA untuk sesiapa yang melakukan
larangan-NYA & memberitahu adanya khabar yang mengembirakan hanya untuk mereka
yang setia dengan titah & perintah AlLah SWT.
Memang
begitulah tabiat dakwah yang dibawa & disebarkan oleh para anbiya di
sepanjang zaman. Mereka (para anbiya) ini hanyalah sebagai penyampai janji
gembira(syurga) kepada golongan yang taat & memberitahu adanya ancaman
(neraka) kepada golongan yang engkar kepada titah & perintah AlLah SWT. Tidak pernah sekali-kali tercatat dalam sirah
ada antara anbiya yang memaksa umat yang didakwahnya kepada Islam. Islam tidak
pernah tersiar dengan kekuatan persenjataan atau pelbagai jenis ugutan. Islam tersebar
& disebarkan melalui hujah yang penuh lojik & bersalut kebenaran.
Dakwah Baginda Nabi SAW mengajak &
menawarkan kepada manusia agar mereka bertaubat & memohon ampun terhadap
kesemua kesalahan (dosa) yang pernah mereka terbuat. AlLah SWT sebagai zat yang
bersifat Maha Pengampun bersedia mengampun semua dosa hamba terhadap-NYA. DIA
bersedia membuka pintu keampunan yang seluas langit & bumi untuk menerima
permohonan ampun daripada para hamba & DIA bersedia mengampun semua dosa
hamba-NYA sebelum nyawa berada di halkum.
Asma’
AlLah al Husna ada 99 & salah satunya al-Ghaffar= Yang Maha Pengampun.
AlLah SWT tidak hairan jika ada hamba-NYA terbuat dosa walau sebanyak mana,
tapi DIA cukup hairan jika para hamba enggan & tidak mahu bertaubat.
Apabila
semua dosa dimaaf & diampunkan AlLah SWT, kita tidak akan terhijab lagi
daripada menerima pelbagai nikmat daripada-NYA. Bentengan dosalah sebenarnya
yang menjadi pendinding atau penghalang sampainya nikmat AlLah SWT kepada kita.
Apabila kita telah dihujani pelbagai nikmat AlLah SWT, sudah tentunya hidup
kita semasa di dunia ini diliputi kesenangan. Kesenangan yang datang akan berterusan
hinggalah ke pengakhir hayat.
Manusia
yang diampun kesalahannya oleh AlLah SWT bermakna tiadalah karat yang melekat
pada dirinya yang perlu dimasukkan ke neraka terlebih dahulu untuk mengikis
& meleburkan karat tersebut. Apabila diri sudah bebas dosa, sudah tentunya
AlLah SWT akan mengurniakan nikmat yang kekal abadi selamanya; syurga. Seandainya
manusia enggan bertaubat & melepasakan diri daripada ikatan dosa, maka
pastilah AlLah SWT akan memasukkan semua pendosa ke neraka; lembah api yang
sentiasa menyala-nyala.
Umum
mengetahui setiap yang bernyawa akan mati. Semua manusia mengakui akan
keberadaan mati ini. yang berbeza hanyalah keyakinan terhadap implikasi selepas
mati ini. Bagi kita penganut agama AlLah SWT ini diajar & diyakinkan; mati
ialah tiket untuk bertemu AlLah SWT. Dengan maksud apabila seseorang itu mati,
dia sebenarnya diminta & dipaksa untuk mengadap AlLah SWT. Mati bukan
bermakna tamatlah riwayatnya. Mati merupakan perjalanan pertama menuju negeri
& negara akhirat. Apabila kita dihadapkan kepada AlLah SWT, kita akan
ditanya bermacam-macam soalan. Soalan-soalan itu diminta kita menyediakan
jawapannya.
Apabila
kita mati kita akan dihadapkan untuk berhadapan dengan AlLah SWT, zat yang Maha
Berkuasa, kerana DIA yang mencipta segala yang ada sama ada di dunia atau di akhirat
sana.
Golongan yang engkar atau mereka yang gemar & hobinya melakukan dosa,
tentunya akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan kejahatan yang mereka
lakukan. AlLah SWT menjelaskan bahawa DIA Yang Maha Mengetahui, pengetahuan
AlLah SWT telus tiada sesuatu yang mampu menyekatnya. Walau sesembunyi manapun
dosa dirancang & dilakukan, ALLah SWT tetap mengetahuinya. Pengetahuan
AlLah SWT meliputi dulu, kini, & selamanya. AlLah SWT mengetahui secara
terperinci walaupun apa yang terdetik dalam hati kita.
No comments:
Post a Comment