12 Safar 1433- 06 Jan 2012 Masjid
as-Solehin Kg Telok Kemunting, Bachok, Kelantan
Tafsir Surah az-Zaariyaat. Ayat 24-30
Kisah Nabi AlLah
Ibrahim KhalillulLah AS
24. Sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad
& umat) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?
Salah satu cara uslub dakwah
yang diajar AlLah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah dengan cara bertanyakan
kepada khalayak yang hendak didakwahkan, seperti mana AlLah SWT gunakan untuk
menyampaikan sirah Nabi AlLah Ibrahim KhalillulLah AS. AlLah SWT memang sudah
mengetahui bahawa hamba-NYA yang paling mulia itu; Nabi Muhammad SAW sudah
tentu tidak mengetahui langsung berhubung dengan kisah Nabi AlLah Ibrahim AS. Tambahan
pula Baginda Nabi SAW terkenal sebagai seorang yang ummi, yang tidak pernah
menjejakkan kaki ke kebun persekolahan walaupun sekadar menghadiri kelas
tadika. Tambahan pula pada masa itu dunia pendokumentasian yang berkesan belum
lagi ditemukan. Pertanyaan dalam dunia dakwah ini akan mengundang kesan rasa
ingin tahu yang lebih daripada khalayak yang ditanya. Dari rasa ingin tahu
lebih itulah, perhatian terhadap muatan dakwah yang ingin dikemukakan tentu
lebih cepat mendekat & melekat dalam hati sang pendengar.
AlLah SWT bertanyakan nabi-NYA (Muhammad SAW) sudahkan
sampai ke telinganya tentang kisah tetamu yang datang ke rumah Nabi Ibrahim AS.
Tetamu yang bertandang ke rumah Nabi AlLah Ibrahim AS itu merupakan tetamu yang
mulia. Tentunya AlLah SWT Maha Mengetahui bahawa masyarakat yang digeluti &
tempat Baginda SAW berinteraksi
masyarakat jahiliyyah. Masyarakat jahiliyyah merujuk kepada sebuah kehidupan
tak kira pada zaman manapun wujudnya; iaitu masyarakat yang tidak ada dalam
kamus kehidupan mereka soal nabi & rasul, soal hari kiamat, soal perjalanan
di alam barzah, soal belitan dosa & wangi pahala, soal hidup sesudah mati,
soal adanya perhitungan di Mahsyar, soal kemahaperkasaan AlLah, & soal
syurga atau neraka yang bakal kita terima kelak di sana.
Baginda Nabi Muhammad SAW sudah diajari AlLah SWT tentang
sirah Nabi AlLah Ibrahim AS, soalnya sudahkan kisah Nabi AlLah Ibrahim AS ini
masuk ke dalam pendengaran kita & terus menghuni lubuk hati kita yang
paling dalam? Kalaulah kita mampu menghafal berbagai-bagai cerita fiksyen yang
kita baca atau yang kita tonton lewat kaca tv atau filem, kenapa kita masih
keberatan untuk menghafal kisah para
nabi & rasul yang dinobatkan sebagai ikutan terbaik untuk manusia? Tepuk dada
tanyalah iman kita!
25. Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu
memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" ia
menjawab: salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati):
mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.
Tetamu yang mulia &
dimuliakan itu sebelum masuk ke rumah
Nabi AlLah Ibrahim AS terlebih dahulu memberikan salam. Membaca atau memberikan
salam merupakan sunah jika kita berkunjung ke rumah teman & taulan. Sebagai
tuan rumah Nabi AlLah Ibrahim AS menjawab salam berkenaan. Walau bagaimanapun
sebagai manusia biasa, terdetik dalam hati Baginda AS siapakah tetamunya pada
kali ini kerana para tamu itu belum pernah dilihatnya. Bermakna tetamu itu
bukan orang tempatan. Tetamu itu tentunya orang jauh. Ya memang benar duga
& sangka Nabi AlLah Ibrahim AS tetamu tersebut tidak dikenalinya kerana tetamu
yang dimaksudkan itu ialah para malaikat. Malaikat yang tiba pada hari itu
menjelmakan dirinya sebagai pemuda yang paling tampan & berwibawa. Tentunya
jika para malaikat tersebut datang rupa asal mereka, tentulah Nabi AlLah
Ibrahim AS mengenalinya, kerana Baginda AS kerap bertemu malaikat khasnya ketua
para malaikat iaitu Jibril semasa menerima kedatangan wahyu.
26. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli
rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).
Walaupun tetamu tersebut tidak
dikenali oleh Nabi AlLah Ibrahim AS, Baginda AS juga tidak bertanyakan latar
belakang tetamunya itu; siapa mereka, dari mana mereka, atau ke manakah tujuan
mereka. Sebaliknya Nabi AlLah Ibrahim AS tetap memulia & meraikan tetamu
tersebut dengan selayaknya. Nabi AlLah Ibrahim
AS segera pergi mendapatkan anak lembu yang gemuk lalu disembelihnya & dengan
dibantu dengan susah lelah isterinya Sarah,
Baginda AS memanggangnya.
Ya,
menjamu tetamu mengikut kemampuan diri juga merupakan sunah nabi. Kita dilarang
bermuka-muka atau sengaja berlebih-lebihan daripada yang sepatutnya bila
menjamu para tetamu. Kita jamulah tetamu dengan makanan & minuman yang
biasa kita nikmati.
27. Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil
berkata: "Silalah makan".
Setelah berlalu beberapa
waktu, tentunya anak lembu panggang yang gemuk tersebut itupun masaklah. Tanpa membazirkan
sisa-sisa masa yang ada Nabi AlLah Ibrahim AS segera menghidangkannya. Dengan penuh
rasa hormat Nabi AlLah Ibrahim AS mempersilakan tetamunya itu menikmati juadah
tersebut.
28. (setelah dilihatnya mereka mereka tidak
menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat
kecemasannya), mereka berkata: "Janganlah engkau takut (Wahai
Ibrahim)". lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan
beroleh seorang anak yang berpengetahuan.
Walaupun berkali-kali
dipersilakan dengan penuh hormat oleh Nabi AlLah Ibrahim AS, tetamu tersebut
usahkan untuk memakannya, menyentuhnya pun tidak sama sekali. Melihat tetamunya
yang enggan menjamah juadah tersebut, menyebabkan Nabi AlLah Ibrahim AS
tiba-tiba ditawan perasaan takut yang tidak terjumlah & bertepi.
Setelah
membaca riak air muka Nabi AlLah Ibrahim AS yang menampakkan rasa takutnya itu,
tetamunya itu memperkenalkan siapa mereka. Para tamunya berpesan agar Nabi
AlLah Ibrahim AS jangan takut & curiga akan mereka sebab tidak menjamah
& menyentuh makanan yang lazat itu, kerana mereka sebenarnya ialah malaikat
yang sememangnya tidak makan & tidak pernah minum. Malaikat yang
dimaksudkan di sini ialah Jibril, Mikail, Israfil, & Izrail. Tujuan kedatangan
mereka ialah untuk menyampaikan wahyu kepada Baginda AS bahawa dia akan
dikurniakan seorang akan lelaki yang bijaksana. Khabar atau wahyu yang
memberitahu Baginda AS akan mendapat anak lelaki merupakan khabar yang paling
menggembirakan, kerana Nabi AlLah Ibrahim AS pada waktu itu menghampiri usia
tuanya. Anak yang dimaksudkan ialah Ishak, iaitu adik kepada Ismail bin Ibrahim
AS. Pada waktu ini Nabi AlLah Ismail AS bersama ibunya ibu orang-orang beriman Hajar
telah menetap di Mekah. Sementara Nabi AlLah Ibrahim AS pada masa itu berada di
Syam bersama ibu orang-orang mukmin Sarah.
Ya
begitulah resam manusia semakin bertambah usia & umurnya semakin tinggi
pula keinginan untuk mendapatkan zuriat. Benarlah anak-anak merupakan harta
& permata ayah bonda. Anak-anak merupakan tempat menumpahkan sepenuh rasa
manja & belaian kasih & sayang.
29. (Mendengarkan berita yang mengembirakan
itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk
mukanya sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana Aku boleh
mendapat anak)?"
Nikmat
yang paling besar & agung yang AlLah SWT kurniakan hanya kepada perempuan
& tidak diberi kepada lelaki ialah nikmat melahirkan anak ke dunia. Kegembiraan
paling besar & bermakna kepada seorang perempuan ialah dapat mengandungkan
anak daripada hubungan yang dibuat secara halal. Tidak kiralah siapa status
wanita tersebut; kayakah dia, miskinkah dia, cendekiawankah dia, buta huruf
& angkakah dia, putihkah warna kulitnya, hitamkah warna wajahnya, tidak ada
kegembiraan yang dapat mengatasi kegembiraan dapat mengandungkan anak daripada
hubungan yang sah.
Situasi
& kondisi ini turut dirasai oleh ibu orang-orang mukmin Sarah yang menjerit
kehairanan kerana selama ini dia disahkan mandul. Lebih menghairankan sekarang
ini kerana faktor usianya yang semakin bertambah. Daripada situasi inilah
terpancut pertanyaan dalam dirinya dalam usia yang bertambah tua & keadaan
sebegini, disahkan mandul, masih mampukah dia mengandung & seterusnya melahirkan
anak.
30. Mereka
berkata: "Demikianlah RABB kamu berfirman, (Kami(malaikat) hanya
menyampaikan sahaja); Sesungguhnya DIA lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha
Mengetahui".
Para malaikat itu memberitahu, Sarah
dapat mengandung & melahirkan anak semasa usianya bertambah lanjut, pada
masa disahkan mandul, itu semua merupakah titah & perintah AlLah SWT. Itu semua
merupakan kehendak AlLah SWT. Apabila itu menjadi kehendak-NYA tiada apa &
siapa yang mampu & boleh menahannya. Malaikat seterusnya menjelaskan bahawa
mereka hanyalah bertugas menyampaikan kehendak AlLah SWT sahaja.
AlLah SWT yang berkehendak Sarah mengandung & melahirkan
anak sewaktu berada dalam zon umurnya yang semakin tua itu bersifat Maha
Bijaksana & Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment