About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Thursday, January 12, 2012

Tafsir Surah az-Zaariyaat Ayat 56-60


Tazkirah Subuh Mingguan Pagi Jumaat    
19 Safar 1433- 13 Jan 2012                                                                       
Masjid as-Solehin Kg Telok Kemunting, Bachok, Kelantan


Surah az-Zaariyaat Ayat 56-60


56. Dan (ingatlah) AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka berabdi kepada-KU.
57. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki  dari mereka, dan AKU tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-KU.
58. Sesungguhnya AlLah, DIA lah sahaja yang memberi rezeki, yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha Kuat Kukuh.
59. Adapun bagi orang-orang yang zalim itu ada bahagiannya dari azab seperti bahagian rakan-rakan mereka, oleh sebab itu, janganlah mereka meminta-KU menyegerakannya.
60. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang telah dijanjikan..



Tujuan & Matlamat Primer Manusia Diciptakan



56. Dan (ingatlah) AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka berabdi kepada-KU.
          Semua manusia yang menggabungkan dirinya dalam Islam tentunya yakin sepenuh hati bahawasanya dia diciptakan AlLah SWT. Ibu bapa hanyalah perantaran untuk melahirkannya sahaja ke dunia.  Kalaulah manusia membina rumah ada matlamatnya; untuk berteduh daripada panahan panas & serangan hujan, tentulah AlLah SWT Yang Maha Bijaksana mempunyai tujuan & perancangannya apabila DIA menciptakan manusia. Untuk mengetahui kenapa kita diciptakan oleh AlLah SWT, kita kenalah memdengar sendiri apa yang diberitahu-NYA. AlLah SWT sejak berkurun yaang lalu telah memetakan tujuan DIA mencipta manusia hanya satu sahaja iaitu untuk menjadi hamba abdi kepada-NYA.
          Taraf hamba tidak sama dengan pekerja. Taraf hamba tidak sama dengan rakyat. Taraf hamba tidak sama dengan penduduk. Taraf hamba tidak sama dengan kawan. Taraf hamba tidak sama dengan apa-apa sahaja. Sebagai hamba kita wajib taatkan tuan tanpa mengira masa tanpa mengira tempat. Kalau kita pekerja kita ada masa datang & tamat. Kalau kita rakyat kita tidak bersetuju denga kerajaan kita boleh tunjuk perasaan & menukar kerajaan yang lama kepada kerajaan yang kita suka. Kalau kita penduduk kita boleh pindah. Tetapi kita diciptakan AlLah SWT untuk menjadi hamba. Bermakna semua titah & perintah AlLah SWT wajib dijunjung setiap saat. Kita suka kita mesti laksana, kita tak suka pun kita mesti buat juga. Barulah dikira berstatus hamba.
          Kita wajib ada satu ILAH sahaja iaitu AlLah SWT. Sebagai hamba kita haram menduakan-NYA. Tidak boleh kita cuba-cuba dengan cara sembunyi atau terang-terang untuk menjadi pembangkang kepada AlLah SWT sebab kita hamba.
.

 
57. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki  dari mereka, dan AKU tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-KU.
          AlLah SWT hanya meminta kita menjadi hamba-NYA sahaja. Iaitu tunduk & patuh kepada semua titah & perintah-NYA; sama ada yang bersifat suruhan atau yang bersifat larangan. Kita hanya wajib mematuhi dalam hal yang disuruh-NYA sahaja mengikut apa yang DIA tetapkan. Misalnya untuk solat, sudah ditentukan-NYA solat Subuh 2 rakaat. Walaupun kita rasa rajin, haram untuk kita solat Subuh  lebih daripada 2 rakaat. Walaupun untuk sujud kepada-NYA, DIA tidak suka kita memandai-mandai atau menambah-nambah apa yang DIA tidak wajarkan. Mana-mana yang DIA tidak tetapkan kita bebas berbuat. Misalnya tiada ketetapan untuk kita dalam urusan untuk membina rumah. Kita bebas untuk berbuat rumah kita, kita boleh bina rumah daripada kayu, daripada besi, daripada batu dsb. Berapa tingkat & lapis, suka hati kitalah asalkan kita berkemampuan. Asalkan wang yang digunakan itu bersumber daripada yang halal.
          AlLah SWT sekali-kali tidak meminta kita agar memberi-NYA rezeki; sama ada berupa makanan, pakaian, tempat tinggal, duit belanja dsb, sebaliknya DIA yang telah menyediakan segala-galanya untuk kita. Diberi-NYA nikmat rezeki kepada kita daripada hujung rambut sehingga ke hujung kaki, diberi-NYA rezeki kepada kita dapat bernafas 24 jam sehari tanpa henti. Mata dapat melihat & membezakan aneka warna yang ada di hadapan. Telingan dapat mengenal & membezakan semua jenis suara yang masuk ke dalamnya. Kita dapat mengecam suara walaupun tanpa melihat siapa yang bercakap SubhanalLah. Lidah kita dapat merasa pelbagai kesedapan yang singgah padanya, sementara hidung kita pula dapat menikmati pelbagai jenis aroma yang pelbagai datangnya.



58. Sesungguhnya AlLah, DIA lah sahaja yang memberi rezeki, yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha Kuat Kukuh.
          AlLah SWT menegaskan sesungguhnya DIA lah yang memberi rezeki kepada semua hamba yang dicipta-NYA setiap saat & masa. Tanpa mengira di mana hamba itu berada DIA menyampaikan rezeki tersebut kepadanya. Misalnya rezeki makanan & minuman, AlLah SWT tetap menyampai rezeki tersebut kepada etak, lala & ciptaan lain yang seumapamanya. Walaupun makhluk tersebt tiada kaki untuk bergerak demi mencari sesuap makanan, tapi makhluk itu tidak ada yang mati kebuluran. Walaupun kehidupan makhlut tersebut dalam lumpur tetapi apabila kita makan etak tidak ada sedikitpun lumpur yang bercampur dengan daging atau isinya. SubhanalLah.
          Kemahaperkasan Allah SWT lah yang telah menyampaikan & mengeyangkan makhluk tersebut setiap hari.


59. Adapun bagi orang-orang yang zalim itu ada bahagiannya dari azab seperti bahagian rakan-rakan mereka, oleh sebab itu, janganlah mereka meminta-KU menyegerakannya
                             Kepada golongan yang zalim & menzalimi diri mereka sendiri dengan cara tidak mahu menjadi hamba AlLah SWT, sebaliknya memilih untuk menjadi hamba kepada yang sesama makhluk, seperti mereka menyembah berhala, mereka menyembah patung, menyembah sesama manusia, janganlah mereka berasa aman daripada azab AlLah SWT sekarang sehingga tergamak mereka meminta agar azab diturunkan kepada mereka segera. Azab mereka sebenarnya sedang menanti mereka sebagaimana sahabat mereka yang zalim juga telag dibalasi apabila mereka mula sahaja ditimbus setelah nyawa bercerai dari badan. Ya, kubur itu akan menjadi saksi kebenaran janji AlLah SWT; sama ada akan menjadi salah satu taman daripada taman syurga ataupun akan menjadi satu jurang daripada jurang neraka.   



60. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang telah dijanjikan.
          AlLah SWT menegaskan bahawa celakalah mereka apabila tiba hari yang dijanjikan. Hari yang dijanjikan di sini ada 3
1- hari semasa roh dicabut keluar daripada badan
2- hari semasa mereka dikuburkan
3- hari semasa mereka dihidupkan untuk dihitung di Padang Mahsyar

Kecelakaan untuk mereka kerana pada saat-saat yang segitu, pada detik-detik itu, tidak ada ada sesiapaun yang mampu membantu & menolong mereka. Anak, harta, kawan-kawan keakraban, tidak mampu &  tidak memungkinkan untuk menolong mereka. Kerana aqidah mereka tersasar & sesat. Adapun kita sebagai umat Islam kita ada penolong, antara lain penolong kita ialah aqidah, amal soleh, penghayatan kepada titah perintah al-Qur’an, & yang paling besar penolong kita ialah syafaat dari Junjungan Agung Nabi Muhammad SAW. Justeru perbanyakkan selawat & salam kepada Baginda SAW sewaktu kita masih hidup ini, & kuantiti selawat ini mesti lebih diperbanyak apabila datangnya hari Jumaat yang juga merupakan penghulu sekalian hari. Kita mampu melakukannya.  


No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters