Tazkirah Mingguan- Jumaat
Malam Sabtu-
20 Safar 1433 bersamaan 14 Dis 2011
Masjid Pak Da Nor, Padang Embon, Pasir Mas
Surah Ali-Imran Ayat 121-129
121. Dan
(ingatlah Wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah
ahlimu , untuk menempatkan orang-orang yang beriman pada beberapa tempat untuk
menghadapi peperangan, dan (ingatlah), AlLah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
122. Ketika ada dua puak dari kamu (pada hari peperangan
Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut,
padahal AlLah itu Penolong dan Pelindung kamu; dan kepada AlLah sahajalah orang-orang yang beriman itu
bertawakal.
123. Dan sesungguhnya AlLah telah menolong kamu mencapai
kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu
sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh sebab itu bertaqwalah kamu kepada AlLah,
supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
124. (ingatlah Wahai Muhammad) ketika engkau berkata
kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka):
"Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa AlLah membantu kamu dengan tiga ribu
tentera dari malaikat yang diturunkan?,"
125. Bahkan (mencukupi. dalam pada itu) jika kamu
bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan
serta-merta, nescaya AlLah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang
bertanda masing-masing.
126. Dan AlLah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat
itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu
tenteram dengan bantuan itu. dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa
kemenangan itu hanya dari AlLah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
127. (Kemenangan Badar itu) kerana AlLah hendak membinasakan
satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka, supaya mereka
kembali dengan hampa kecewa.
128. Engkau tidak berhak sedikitpun (Wahai Muhammad)
dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu,
sama ada DIA menerima taubat mereka ataupun ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya
mereka itu orang-orang yang zalim.
129. Dan bagi AlLah segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi. ia mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan DIA menyeksa sesiapa
yang dikehendaki-NYA. dan AlLah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kisah Perang Badar & Uhud
121. Dan (ingatlah Wahai Muhammad), ketika engkau keluar
pada pagi hari dari rumah ahlimu , untuk menempatkan orang-orang yang beriman
pada beberapa tempat untuk menghadapi peperangan, dan (ingatlah), AlLah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Ayat ini menceritakan tentang Perang Uhud yang berlaku
pada tahun 3 hijrah. Iaitu setelah 3 tahun Baginda Rasul SAW menetap di Madinah
setelah berhijrah dari Mekah al-Mukarramah. Perang Uhud ini terjadi kerana
orang kafir Quraisy ingin menuntut bela di atas kekalahan mereka semasa
berlakunya Perang Badar yang berlaku pada tahun 2 hijrah.
Setelah perundingan dibuat dengan para sahabat, kata
sepakat dipersetujui untuk menanti kedatangan sang Quraisy di luar Madinah.
Apabila tiba hari yang dijadualkan, Baginda SAW telah keluar rumah pada awal
pagi lagi menuju ke medan Uhud. Setelah sampai Baginda SAW pun menyusun
penempatan tentera Islam di beberapa tempat yang strategik. Antaranya
RasullulLah SAW meletakkan pasukan pemanah di atas bukit & berpesan kepada
mereka jangan meninggalkan bukit tersebut; sama melihat kemenangan ataupun
mereka melihat semua orang Islam terkorban. Pasukan pemanah ini diketuai oleh
Abdullah bin Jubir ra.
Sebenarnya segala perundingan yang dibincang oleh umat
Islam, begitu juga dengan helah & putar belit muslihat musuh didengari
& diketahu AlLah SWT. Sebelum peperangan bermula pun AlLah SWT sudah
mengetahui apa yang bakal terjadi dalam perang tersebut; siapa yang mendapat
anugerah tertinggi dalam sesuatu peperangan iaitu syahid, atau siapa pula yang
bakal mati dalam kehinaan kerana menentang agama AlLah SWT.
Telah menjadi sunnah AlLah SWT di dunia ini; untuk
berjaya mesti cukup syarat-syaratnya. Jika memenuhi syarat tersebut sesiapapun
boleh berjaya walaupun dia seorang yang kafir, begitulah orang Islam pun akan
gagal jika gagal mematuhi piawaian tersebut. Misalnya ada seorang yang masih
kafir siap taat dengan kekufurannya tetapi dia membaca, bertanya guru yang
tidak difahaminya, rajin menjawab soalan & tidak malas untuk membuat
pembetulan jika terdapat kesalahan, menghadiri pelbagai kelas untuk menambah
kemahiran yang diperlukan, harapannya untuk berjaya adalah cerah. Sebaliknya
jika ada seorang Islam yang tekun beribadat tak lewat apalagi tertinggal solat
berjemaah tetapi tidak pernah berulang kaji, tidak membaca buku-buku yang
diperlukan, tidak pernah cuba menjawab soalan peperisaan tahun-tahun lepas,
pendek kata peluangnya untuk lulus dengan cemerlang amat tipis sekali.
122. Ketika ada dua puak dari kamu terasa lemah semangat
(untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal AlLah itu Penolong dan
Pelindung kamu; dan kepada AlLah
sahajalah orang-orang yang beriman itu bertawakal.
Sewaktu menghadapi Perang Uhud ini terlihat kekuatan yang
tidak seimbang. Pihak musuh sang Quraisy laknatulLah seramai 3000 jiwa yang
siap siaga bersenjata yang cukup, sementara jumlah umat Islam yang keluar pada
mulanya 1000 orang tetapi 300 daripadanya termakan hasutan AbdulLah bin Ubai
bin Salul lalu merekapun belot iaitu tidak pergi ke medan Uhud. Dalam jumlah
yang sekitar 700 orang itu, tentunya mengundang rasa takut dalam sebahagian
hati umat Islam untuk berhadapan dengan 3000 kekuatan musuh.
Kekuatiran, kebimbangan, & ketakutan dirakamkan Allah
SWT buat tatapan kita pada hari ini. Hal
ini untuk menjelaskan bahawa adalah satu perasaan yang normal apabila timbul
rasa sedikit takut apabila melihat jumlah yang ramai. Kalau rasa takut ini juga
menyerang kita apabila berdepan dengan musuh perasaan ini normal, tetapi
mengikut nafsu & bertindak dengan lari meninggalkan medan juang kerana
takut, Itu sudah terpedaya dengan hasutan syaitan.
Sejarah mencatatkan bahawa 2 kumpulan kaum muslimin yang
diganggu & dikacau, serta digoda oleh perasaan takut ini ialah dari Bani
Salamah dari suku Khazraj & Bani Harithah dari suku Aus. Walaupun hati
mereka diselimuti perasaan takut, tetapi mereka tidak lari meninggalkan medan
Uhud sebagaimana geng munafik yang dimotori AbdulLah bin Ubai tadi. Mereka
tetap setia dalam medan Uhud setelah menyedari bahawa kita sebagai orang Islam
AlLah SWT bertindak sebagai penolong & pelindung. AlLah SWT juga amat suka
kepada hamba-NYA yang bertawakal hanya kepada-NYA.
123. Dan sesungguhnya AlLah telah menolong kamu mencapai
kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu
sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh sebab itu bertaqwalah kamu kepada AlLah,
supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Kesan & natijah tawakkal yang tuntas hanya kepada-NYA
inilah yang mengundang pertolongan AlLah SWT mencurah-curah sewaktu umat Islam
berhadapan dengan sang kufur Quraisy di medan Badar. Umat Islam bergerak ke
Badar bukan untuk berperang tetapi untuk menyekat kafilah yang dipimpin Abu
Sufian yang datang dari Syam. Bilangan mereka terlalu sedikit dikirakan 313
orang. Tapi takdir AlLah SWT tidak ada sesiapa yang mampu menahannya.
Perancangan Baginda Nabi SAW & para sahabat untuk menyekat kafilah Abu
Sufian ini tidak berjaya kerana Abu Sufian dapat menghidunya terlebih dahulu.
Untuk menyelamatkan diri Abu Sufian & rombongan telah memilih untuk melalui
jalan lain menuju Mekah.
Setelah sampai di bumi Mekah dengan kekuatan 1000 tentera
Abu Sufian & para penjahat Quraisy yang lain telah bergerak ke Badar untuk
menghadapi orang Islam. Lalu bertembunglah antara 2 darjat; tentera Quraisy
yang bersenjata lengkap & pasukan Islam yakni Nabi SAW & para sahabat yang tidak pernah mendapat latihan
tentera. Dalam medan Badar inilah AlLah SWT menurunkan hujan pertolongan-NYA
untuk umat Islam & kesan dari bantuan AlLah SWT itulah umat Islam meraih
& menggondol kejayaan yang cemerlang.
Menjadi disiplin asas dalam Islam, apabila kita mendapat
nikmat; apa jua namanya sekalipun, kita mesti bersyukur kepada-NYA. Semakin
banyak nikmat terkurnia kepada diri maka semakin banyak pula yang perlu kita
hampari.
124. (ingatlah Wahai Muhammad) ketika engkau berkata
kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka):
"Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa AlLah membantu kamu dengan tiga ribu
tentera dari malaikat yang diturunkan?,"
AlLah SWT menjelaskan bentuk pertolongan yang diberikan
kepada umat Islam sewaktu Perang Badar iaitu adanya 3000 tentera daripada
kalangan malaikat yang ikut sama berjuang. Walaupun untuk mengalahkan musuh
cukup bagi AlLah SWt mengutus satu malaikat sahaja, tetapi untuk menenangkan
hati sengaja AlLah SWT menurunkan 3000 malaikat & AlLah SWT berkuasa
menyuruh lebih ramai lagi untuk membantu. Itu semua kuasa AlLah SWT.
125. Bahkan (mencukupi. dalam pada itu) jika kamu
bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan
serta-merta, nescaya AlLah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda
masing-masing.
Ya, AlLah SWT menegaskan jumlah 3000 itu sememangnya
sudah cukup untuk melindungi umat Islam. Apapun AlLah SWT memberikan kunci
kejayaan dalam sesuatu perjuangan iaitu abar
taqwa. Dengan berbentengkan sabar & taqwa, AlLah SWT memberikan
jaminan lebih besar jumlah malaikat yang akan dihantarnya dengan menyebut
jumlah & angkanya iaitu sebanyak 5000 malaikat yang masing-masing dapat
dikenali melalui tanda yang ada. Yang tentunya tanda yang ada pada malaikat ini
ialah berserban serta berjubah.
126. Dan AlLah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat
itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu
tenteram dengan bantuan itu. dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa
kemenangan itu hanya dari AlLah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Segala bentuk & rupa bantuan yang dinyatakan AlLah
SWT itu sebagai suatu khabar gembira, iaitu perjuangan menegakkan Islam; agama
AlLah SWT ini, mempunyai darjat yang tinggi & dipandang amat mulia di sisi
AlLah SWT. Semua deretan pertolongan AlLah SWT itu dikurniakan untuk menjadikan
hati pejuang Islam ini lebih tenang & yakin kepada kemahaperkasaan AlLah
SWT. Dalam pada itu sebagai pejuang yang menyambung kerja-kerja RasullulLah
SAW, kita jangan putuskan hubungan kita dengan AlLah SWT, sebaliknya kita perlu
membina rangkaian hubungan dengan AlLah SWT dengan jalur yang lebih lebar &
banyak lagi. Dengan ada sentiasa dalam hati kita, AlLah SWT Tuhan kita itu Maha
Berkuasa & Maha Bijaksana dalam segala-gala & selam-lamanya.
127. (Kemenangan Badar itu) kerana AlLah hendak
membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka, supaya
mereka kembali dengan hampa kecewa.
AlLah SWT menjelas & menegaskan kepada kita bahawa
kemenangan yang dirasai & dinikmati umat Islam di Medan Badar itu merupakan
nikmat & rahmat kepada umat Islam tetapi Medan Badar pula mencatat sejarah
sebagai tempat yang mengaib serta menghina mereka yang kufur kepada-NYA. AlLah
SWT menghadiahkan kehinaan kepada orang kafir dengan terbunuhnya 70 orang dalam
kalangan mereka. Antara ketua mereka yang kojol di Medan Badar ialah Abu Jahal,
Abu Lahab, Utbah & Syaibah bin Rabiah, al-Walid bin Mughirah dll. Mereka
pulang ke Mekah dalam keadaan kecewa amat. Mereka kerugian & kehilangan
sejumlah harta & nyawa.
128. Engkau tidak berhak sedikitpun (Wahai Muhammad)
dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu,
sama ada DIA menerima taubat mereka ataupun ia menyeksa mereka; kerana
sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.
Memang Medan Uhud menyaksikan ada sejumlah 300 umat Islam
yang lari dari medan juang pada peringkat awal-awal lagi kerana termakan
hasutan manusia yang disifatkan musang berbulu ayam AbdulLah bin Ubai
LaknatulLah alaihi.Baginda Nabi SAW dilarang AlLah SWT untuk menghukum mereka.
Hukuman mereka terserah kepada AlLah SWT; sama ada mereka bertaubat & AlLah
SWT menerima taubat mereka, atau mereka kekal ingkar & AlLah SWT tidak malu
sedikitpun untuk menyiksa mereka sama ada di dunia yang sementara atau di alam
kubur, lebih-lebih lagi di neraka.
Hukuman yang disediakan AlLah SWT itu sebagai hadiah
kepada mereka kerana berjaya menzalimi diri sendiri. Mereka langgar titah
perintah AlLah SWT, mereka lebih percaya dengan tipu muslihat musuh AlLah SWT. Dengan
erti kata lain mereka mengundang murka AlLah SWT.
129. Dan bagi AlLah segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi. ia mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan DIA menyeksa sesiapa
yang dikehendaki-NYA. dan AlLah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
AlLah SWT menegaskan bagi-NYA & kepunyaan-NYA & ciptaan-NYA
sahajalah apa-apa jua yang ada di langit yang 7 lapisan itu & apa-apa pula
ada di permukaan bumi atau yang tersimpan dalam perut bumi, walau apapun
namanya; emas, petrolium, uranium, kalium, pelbagai mineral & logam,
segala-galanya. Hal ini menunjukkan
kepada kita bahawa AlLah SWT itu Maha Segala. DIA tetap akan mengampuni dosa
hamba walau sebanyak mana asal sahaja hamba-NYA memohon diampun. DIA juga
keberatan untuk mengampun dosa hamba-NYA yang tidak mahu betaubat kepada-NYA
walaupun dosa tersebut tidak sebanyak mana.
Sesiapa yang bertemu-NYA kelak di akhirat dengan
berbekalkan dosa yang sarat akan diazab dengan lahap. Walau bagaimanapun
kesemua jenis azab & seksa dari AlLah SWT untuk manusia ini hanya dilakukan
di neraka sahaja. Neraka pula merupakan tempat himpunan para api, setiap hari
suhu api neraka sebab neraka dipanaskan setiap hari.
No comments:
Post a Comment