About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, January 11, 2012

Surah al-Furqan Ayat 1 - 6


Tazkirah Bulanan
Khamis Malam Jumaat, Minggu kedua
Masjid Bukit Temalong, Gunung, Bachok, Kel
19 Safar 1433 – 13 Jan 2012
Surah al-Furqan  Ayat 1 - 6

1. Maha Suci AlLah yang telah menurunkan Al-Furqaan kepada hamba-Nya (Muhammad), agar dia memberi peringatan kepada seluruh alam.
2.Yang kepunyaan-NYA kerajaan langit dan bumi, dan DIA tidak mempunyai anak & tidak ada sekutu bagi-NYA dalam pemerintahan-Nya; & DIA lah yang menciptakan setiap sesuatu & DIA menetapkan ukuran-ukuran dengan serapi-rapinya.
3. Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang selain  AlLah sebagai ILAH, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu juga diciptakan; dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, ataupun membangkitkan  semula makhluk-makhluk yang telah mati.
4. Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "(Al-Qu’ran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain". Sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.
5. Dan mereka berkata lagi: "Al-Qu’ran itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang ".
6. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Al-Qu’ran itu diturunkan oleh AlLah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; Sesungguhnya DIA Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Furqan = Pembeza.  Surah ke-25. Juzuk 18. Makkiyyah
77 ayat, 872 kalimah, 3762 huruf

1. Maha Suci AlLah yang telah menurunkan Al-Furqaan kepada hamba-Nya (Muhammad), agar dia memberi peringatan kepada seluruh alam.
        AlLah SWT memuji dirinya sendiri & mengajar kita memujinya, antaranya dengan dengan kalimah Tabaraka, kerana hanya DIA yang tahu bagaimana cara & kalimah yang layak untuk memujinya.  AlLah SWT yang maha suci inilah yang menurunkan Furqan = Pembeza kepada hamba-NYA (Nabi Muhammad SAW). Al-Furqan merupakan nama lain bagi al-Qur’an. AlLah SWT menurunkan al-Furqan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW agar digunakan untuk memberikan peringatan kepada seluruh alam. Peringatan yang dimaksudkan ini ialah untuk makhluk yang ditaklifkan syariat; iaitu jin & manusia yang berada di seluruh alam. Adapun hamba AlLah SWT yang lain seperti haiwan, pokok, batu-batu, udara, api, dsb tidak diperintah agar disiarkan peringatan ini kepada kaum mereka.
        Peringatan yang dipertanggungjawabkan oleh AlLah SWT kepada hamba-NYA Nabi Muhammad SAW agar menjadikan al-Furqan sebagai teks semasa memberi peringatan. Apakah jenis peringatan yang sangat diperlukan untuk manusia ini? adakah mereka perlu diingatkan agar makan makanan yang seimbang?  Adakah mereka perlu dingatkan agar membina longkang & jamban demi untuk menjaga kesihatan. Baginda Nabi SAW diminta menyampaikan ingatan tentang adanya neraka yang tersedia untuk manusia yang derhaka & menjadi pembangkang kepada titah & perintah AlLah SWT semasa hidup di dunia.
        Peringatan yang dimaksudkan di sini ialah menyampaikan adanya azab yang memantikan bermula di alam pusara jika hidup ini tidak diwarnai dengan warna dari celupan IlLahi. Azab yang menanti manusia nanti ialah penjara api (neraka) yang tahap & darjah kepanasan apinya bertambah setiap hari. Baginda Nabi SAW juga memperingatkan manusia, apabila mereka berada di neraka, mereka tetap hidup selama-lamanya, kerana mati sudah tidak ada lagi di akhirat nanti. Mati hanya diizinkan berfungsi menjalankan operasi kuat kuasanya di dunia ini sahaja.


 
2.Yang kepunyaan-NYA kerajaan langit dan bumi, dan DIA tidak mempunyai anak & tidak ada sekutu bagi-NYA dalam pemerintahan-Nya; & DIA lah yang menciptakan setiap sesuatu & DIA menetapkan ukuran-ukuran dengan serapi-rapinya.
        Maha Hebatnya AlLah SWT ini antaranya terakam dalam ayat ini, iaitu AlLah SWT memiliki 2 kerajaan & pemerintahan yang paling besar iaitu kuasa memerintah langit & bumi. Dengan maksud AlLah SWT berhak secara total untuk menentukan apa-apa sahaja yang telah berlaku, sedang berlaku, & akan terus berlaku sama ada yang akan berlaku di langit, atau apa yang bakal terjadi di bumi. Tiada siapa yang berhak untuk membantah kehendak AlLah SWT. Misalnya AlLah SWT mahu menurunkan hujan dengan lebat, maka tiada siapa yang boleh membantah apalagi menghalang terjadinya hujan tersebut. AlLah SWT mentadbir kerajaan langit & bumi ini dengan ESAnya, tidak pernah berhajat kepada bantuan sesiapa, sama ada kawan atau zuriatnya. DIA tidak pernah berbincang dengan sesiapa untuk menentukan dasar dalam kerajaan-NYA, sama ada di langit atau di bumi. Para malaikat yang ada sehingga bertrilion banyaknya itu tidak pernah diajak-NYA untuk berpakat menetukan dasar sebaliknya para malaikat ini merupakan penggerak & pelaksana dasar yang ditentukan AlLah SWT 24 jam sehari.
        Seperti  juga yang tercatat dalam surah al-Ikhlas; AlLah SWT itu tidak pernah mempunyai anak & DIA tak pernah menjadi anak. Lalu tiada sekutu untuk-NYA; dulu, kini, & selamanya, DIA Yang Maha Hidup & tidak mati-mati. Justeru DIA tidak layak disekutui. Kerajaan AlLah SWT berbeza dengan mana-mana kerajaan yang pernah ada di dunia. Pemerintah mana-mana kerajaan akan bertukar ganti disebabkan kematiannya atau terkalah dalam pemilihan atau telah menjadi semakin tua & nyanyuk. Contohnya PM Malaysia dahulu YAB Tengku Ab Rahman, hari ini diganti YAB DS Mohd Najib sebab Tengku sudah meninggalkan dunia ini. DS Najib pun akan mati selepas ini & bakal diganti. Adapun AlLah SWT yang sedang mentadbir bumi ini bermula hari pertama bumi diciptakan hinggalah dunia ini dimusnahkan-NYA ditadbir oleh AlLah SWT yang sama.
        Bersama yang dicipta-NYA itu, AlLah SWT telah menetapkan ukuran,  saiz, bentuk, kedudukan yang paling tepat kepada setiap makhluk yang diciptakan-NYA itu. Misalnya DIA menetapkan ukuran yang ada pada diri manusia, kepala di atas, hanya 2 kaki di bawah untuk mudah melangkah, kalau ada 4 kaki tentu susah. SubhanalLah. DIAlah arkited yang terbaik. Semua yang dicipta-NYA tidak sia-sia.  

 
3. Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang selain  AlLah sebagai ILAH, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu juga diciptakan; dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, ataupun membangkitkan  semula makhluk-makhluk yang telah mati.
        Sayangnya banyak daripada kalangan manusia ini yang bersikap kufur kepada-NYA. Mereka mencari selain dari-NYA sebagai ILAH untuk dipuja, disembah & dipohon pertolongan. Sedangkan apa yang mereka cari selain dari AlLah SWT sebagai ILAH itu statusnya sama dengan dirinya, iaitu sama-sama hamba, sama-sama dijadikan, sama-sama ada had umur yang ditentukan. Dalam kehidupan ini ada manusia yang menyembah patung, ada manusia yang menyembah bintang, ada manusia yang menyembah binatang, ada manusia yang menyembah manusia, ada manusia yang menyembah pangkat, ada manusia yang menyembah wang dsb. Ada baiknya jika manusia menyenaraikan segala sifat yang ada pada bahan sembahannya itu, kemudian cuba fikirkan, dengan senarai yang ada itu layakkah; manusia ke, bintang ke, binatang ke, patung ke, berhala ke, pokok besar ke, dsb itu disembah & dipohon macam-macam? Tepuk daya tanya iman yang menghuni dalam dada.
        Seterusnya bahan yang disembah manusia itu manusia ke, bintang ke, binatang ke, patung ke, berhala ke, pokok besar ke, itu tidak mampu & tidak akan boleh mematikan atau menghidupkan sesuatu sampai bila-bila, kerana mereka juga bakal mati! Bila mereka juga disentuh & dipenjarakan dalam daerah mati, lalu bagaimana yang seumpama dengan itu disembah & dipohon pertolongannya sepenuh hati. Cubalah datangkan satu soalan dalam hati kemudian carilah jawabnya sendiri, berhala yang disembah manusia itu, adakah berhala itu yang menjadikan dirinya sendiri? Atau batu & kayu yang dijadikan berhaka itu djadikan? Kalau kayu & batu itu dijadikan, siapa pula yang menjadikan? Kalau ada yang menjadikan kenapa kita menyembah kepada yang dijadikan kenapa kita tidak menyembah kepada yang menjadikan. Setakad ini zat yang berani mendakwa DIA yang menjadikan semua yang ada dalam ini hanyalah AlLah SWT. Oleh sebab AlLah SWT sebagai pencipta (yang menjadikan), kenapa berat sangat kepala kita untuk sujud kepada-NYA, tetapi ringan kaki tangan untuk menyembah kepada apa yang DIA jadikan. Pelik sungguh manusia ini.


4. Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "(Al-Qu’ran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain". Sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.
        Dalam usaha untuk menjauhkan manusia daripada membaca, memahami, menghayati, mengamali, menyebari, & seterusnya mempertahan semua ajaran indah yang terpeta dalam al-Qur’an, musuh-musuh Islam, tanpa mengira apa jua nama mereka (yahudikah, nasronikah, majusikah, nasionalismekah dll) di sepanjang zaman akan menyebar & melebarkan fitnah berhelah mereka. Antaranya mereka akan jaja slogan karut-marut mereka iaitu al-Qur’an itu hanyalah tulisan & rekaan manusia bukan ktab AlLah SWT yang Maha Suci. Manusia yang dituduh mereka al-Qur’an ini ialah Baginda Nabi Muhammad SAW. AlLah SWT Yang Maha Telus Pengetahuannya telah menetapkan ketentuan-NYA iaitu, menjadikan Junjungan Akhir Zaman buta huruf, angka, & carta.
        Perancangan yang teliti & cukup rapi dari AlLah SWT sejak azali lagi. Walaupun sirah & sejarah membukti & menjadi saksi tunaaksaranya Junjungan Nabi SAW, tapi musuh tak tahu malu ini masih galak menyebar & melebar fitnah yang Nabi Muhammad SAW itu sebagai penulis al-Qur’an.
Untuk menambah sos dusta pada dakwaan mereka adakan pula slot baru iaitu sewaktu Baginda Nabi SAW menuliskan al-Qur’an, Baginda SAW dibantu oleh seseorang. Mereka menuduh Pendeta Buhaira bertindak sebagai editor kepada penyempurnaan tulisan al-Qur’an. Sirah merakamkan sewaktu Baginda SAW berumur sekitar 8 tahun, bapa saudaranya Abu Talib membawanya untuk bersama pergi ke Syam mengikuti rombongan niaga. Sampai di suatu tempat rombongan Abu Talib ini dinasihati Buhaira agar jangan bawa Baginda SAW ke Syam kerana dibimbangi pendeta & paderi yang jahat akan membunuh Baginda SAW, kerana pada diri Baginda SAW terdapat tanda-tanda kenabian & Buhaira mengenali tanda tersebut. Perjumpaan yang sekejap ini dijadikan dalih untuk membenarkan fitnah mereka bahawa Baginda SAW diajar mengarang al-Qur’an. SubhanalLah.
        Walaupun mereka cuba dari satu sudut cuba mengalihkan perhatian, tetapi dari satu sudut yang lain mereka mengakui kehebatan & kejeniusan Nabi SAW. Bayangkanlah dengan perjumpaan yang relatif sebentar itu & dalam usia yang terlalu dini muda itu, Baginda SAW mampu menghasilkan karya yang maha agung. Manusia yang sebegini agung & hebat ini wajar diikuti jangan dimusuhi & ditentang, kalaupun dia bukan nabi.
        Segala rangkaian tuduhan mereka itu hanyalah untuk menyata & membiakkan pembohongan & kebodohan mereka sahaja. Kerana hanya manusia yang bodoh & bebal sahaja yang boleh & sanggup menerima fitnah berhelah mereka. Adapun manusia yang waras & berfikir rasional & mereka yang berpijak pada sejarah, hanya senyum sumbing apabila membaca fitnah dusta mereka.  



5. Dan mereka berkata lagi: "Al-Qu’ran itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang ".
        Rempah fitnah terus mereka tambah dari semasa ke semasa, setelah mereka menyerang & cuba mempertikan penulis al-Qur’an, kini mereka menyerang isi kandungan al-Qur’an pula. Kononnya al-Qur’an itu hanyalah dimuatkan oleh kisah-kisah imaginasi & dongengan yang berlaku pada zaman dahulu. Apabila mereka menyedari semua manusia tahu yang Baginda Nabi SAW buta huruf, mereka mengubah pendekatan pula. Tali belitan fitnah ditukar dengan dakwaan Nabi SAW meminta orang lain pula yang tolong cerita untuknya, kemudian daripada apa yang sudah dicatat tadi dibacakan orang, Baginda SAW pun mendengar sambil menghafalnya. Setelah lancar hafalan itu Baginda SAW mencerikannya pula kepada manusia. Begitulah yang dilakukannya siang & malam untuk mengajak manusia kepada ajarannya. Kalaulah betul Baginda Nabi SAW  menghafal cerita yang dibacakan kepadanya & menceritakannya pula kepada manusia pagi & petang, kenapa mereka tidak berbuat perkara yang sama iaitu pergi dengar cerita selepas itu hafal & sebarkanlah kepada khalayak. Mereka tak mampu berbuat begitu kerana mereka tahu mereka hanyalah penyampai fitnah sahaja.


  6. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Al-Qu’ran itu diturunkan oleh AlLah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; Sesungguhnya DIA Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
        Baginda Nabi SAW diperintahkan AlLah SWT agar menjelaskan fakta yang tidak ternafi semua iaitu; Al-Qur’an ini datangnya dari sisi AlLah SWT. Pencipta apa juga yang ada sama ada yang nampak pada pandangan mata atau yang ghaib & tidak dapat dikesan oleh radar atau rasa. AlLah SWT yang mendakwa DIA yang menciptakan bumi & langit dalam 6 masa itulah yang mengaku DIA juga mencipta al-Qur’an. DIA maha tahu apa juga yang tersembunyi di celah-celah mana sahaja sela yang ada sama ada di langit atau dibumi.
        AlLah SWT juga menjelaskan bahawa DIA bersedia mengampunkan keterlanjuran sesiapa sahaja yang tersilap dakwa & salah cakap semasa & selama seseorang itu terpenjara dalam sel kejahilan, asal sahaja manusia tersebut bertaubat & menyedari serta menginsafi kesalahannya & bertekad ingin memperbaiki diri ke arah yang lebih berkualiti. Dengan erti kata & makna yang lain, DIA bersedia mengampun semua dosa hamba dengan syarat hamba itu sanggup bertaubat.


No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters