Kuliah Bulanan Setiap Minggu Kedua
Selasa Malam Rabu
Masjid Mukim Kg Kor (Ar-Rahman),
Nilam Puri, Kota Bharu.
17 Safar 1433 – 11 Jan 2012
Surah al-Haj: Ayat 1-4
1. Wahai umat manusia, bertaqwalah
kepada RABB kamu! Sesungguhnya gempa & gegak gempita hari kiamat itu suatu
perkara yang amat besar.
2. Pada
hari itu kamu melihat, tiap-tiap ibu penyusu akan melepaskan anak yang disusukannya,
dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan keguguran anak yang dikandungnya;
dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk,
tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
3. Dan
ada antara manusia yang membantah tentang AlLah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang sangat jahat.
4. Yang
telah ditetapkan atasnya (syaitan itu), bahawa sesiapa yang menjadikannya teman
, maka Sesungguh syaitan akan menyesatkan & memimpin mereka menuju neraka.
1.
Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada RABB kamu! Sesungguhnya gempa &
gegak gempita hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.
AlLah SWT
memulakan ayat dalam Surah al-Haji ini dengan menyeru wahai manusia bukan wahai
orang yang telah ada iman. Apabila AlLah SWT menyebut wahai manusia tanpa menyebut
bangsanya, tanpa menyebut warna kulit & percikan latar geografinya, pendek
kata semua yang berasakan dirinya manusia terpanggil & tertakluk dengan
ayat ini. AlLah SWT menintakan titah-NYA agar semua manusia bertaqwa kepada-NYA
sahaja, tidak boleh kepada yang lain-lain. Taqwa bermaksud mematuhi segala
perintah-NYA daripada yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang terbesar. Dalam
masa yang sama menjauhi apa yang dilarangnya secara total. Dengan erti kata
lain kita mendengar kata AlLah SWT.
Ketaqwaan kepada RABB kamu ini menjadi
prasyarat kepada keselamatan manusia pada hari kiamat, yang mana hari kiamat
itu gegak-gempita, huru-haranya, kalut ributnya, amat dahsyat, kerana manusia
tidak pernah melihat satu bentuk kegemparan selain daripada apa yang akan
berlaku pada hari kiamat. Suasana gempa & gegak gempita ini akan dirasai
& dilalui oleh semua manusia. Walau bagaimanapun masih ada sekelompok
manusia yang diselamatkan daripada gempa itu. Kelompok manusia ini tidak akan
berasa apa-apa, manusia yang dimaksudkan itu ialah mereka yang bertaqwa.
Bilakah manusia diminta bertaqwa? Manusia dipinta bertaqwa ini hanyalh sekadar
mana dia dihidupkan di dunia sahaja.kira-kira dalam sekitar 100 tahun ke bawah
atau dengan kata lain selagi nyawa dikandung badan.
Sudah tentu ada
hikamatnya kenapa AlLah SWT membicarakan persoalan hari kiamat pada permulaan
Surah al-Haj ini.Ya untuk melakukan ibadat haji semua umat Islam dari segenap
pelusuk belahan bumi ini akan bergerak menuju Mekah tak boleh ke tempat lain.
Begitulah tersiratnya apabila kita dibangkitkan daripada kubur kelak kita
dimestikan bergerak menuju Padang Mahsyar & tidak boleh ke arah lain. Di
Padang Mahsyar kita dimestikan berhimpun & berkumpul sama seperti dalam
ibadat haji, para jemaah dimestikan berhimpun di Padang Arafah sebagai salah
satu rukun untuk menyempurnakan ibadat haji. Berada di Mekah semua kita sama
tanpa mengira siapakah status diri sewaktu
berada di tanah kelahiran masing-masing, berpakaian dengan pakaian yang
sama, dengan warna yang sama, corak yang sama, demikianlah halnya di Mahsyar
kelak kita semua serupa & sama; tidak ada sesiapa yang terlebih tinggi
tahap sosialnya
2. Pada hari itu kamu melihat, tiap-tiap ibu penyusu akan melepaskan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan keguguran anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
AlLah SWT
seterusnya memperincikan apa yang bakal terjadi atau agenda yang disusun-NYA
untuk perjalanan pada hari akhirat. Hebat & dahsyatnya kejadian yang bakal
menimpa di sana dilukiskan AlLah SWT sebagai; setiap ibu yang menyusu tidak
akan lagi mempedulikan anak yang disusuinya. Ibu insan yang paling sayangkan
anak jika dibandingkan dengan manusia yang lain yang ada di dunia. Seorang ibu
sanggup berkorban segala,untuk menyelamat & kesejahteraan anak.Seorang ibu
sanggup berkorban nyawa apa lagi harta untuk kebahagiaan anak. Pendek kata sang
ibu akan lebih mementingkan keselamatan anaknya berbanding dengan dirinya
lebih-lebih lagi kalau anak itu masih menyusu.
Realiti kasih sayang ibu di dunia ini tidak
akan dijumpai di akhirat nanti. Pada hari kiamat nanti semua manusia hanya
mementingkan diri sendiri dahulu. Mereka tiada masa untuk memikirkan tentang
orang lain.Oleh sebab terlalu mementingkan nasib diri sendiri inilah
menyebabkan seorang ibu sanggup membiarkan nasib anak yang disusuinya kerana
dia sendiri tidak pasti akan nasibnya; bahagiakah dia atau celakah dia. AlLah
SWT juga melukiskan bagaimana dahsyatnya kejadian yang bakal menimpa kita di
akhirat dengan gambaran para ibu yang sedang mengandungkan anak akan mengalami
keguguran tanpa disedari.
Keadaan manusia banyak pula dilihat
seolah-oleh mereka sedang mabuk kerana pedulikan keadaan di sekeliling. AlLah
menjelaskan bahawa yang sebenarnya manusia tidak mabuk tetapi azab AlLah SWT
yang dirasai pada kiamat itu amat dahsyat. Gugusan & himpunan azab yang
digambarkan AlLah SWT itu hanyalah situasi di Padang Mahsyar, sedangkan Mahsyar
bukanlah tempat untuk menerima azab. Bagaimanakah nanti azab AlLah SWT yang disediakan
di neraka yang sememangnya diprogramkan untuk mengazabkan.SubhanalLah.
3. Dan ada antara manusia yang membantah tentang AlLah
dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan
yang sangat jahat.
Antara jenis manusia
yang bakal berdepan dengan situasi yang dijelaskan AlLah SWT itu ialah sesiapa
sahaja yang semasa hidupnya di dunia ini membantah & menentang perintah
AlLah SWT.Apabila AlLah SWT mewajibkan sesuatu titah, mereka membantah dengan
pelbagai helah.misalnya AlLah SWT mewajibkan penutupan aurat, disanggahnya
dengan pelbagai helah & dalih.Apabila AlLah SWT mengharamkan judi, maka
mereka bertungkus-lumus memberikan lesen seolah-olah judi boleh jadi halal
apabila berlesen.
Mereka menentang titah & perintah AlLah
SWT kerana desakan hawa & nafsu yang dikendali oleh syaitan.Mereka sampai
bila-bila pun tak akan mampu untuk menjelaskan keburukan menutup aurat sama ada
dari kesihatan, atau keburukan dalam bab yang lain. Kerana semua yang
diperintahkan AlLah SWT untuk manusia itu mengandung sejuta hikmat &
kebaikan. Apa-apa yang diharamkan-NYA itu ada menyimpan berjuta-juta keburukan;
sama ada keburukan jangka pendek atau keburukan jangka panjang.
Banyak manusia tidak sedar adanya peranan
& hasutan syaitan dalam kehidupan kiat seharian. Syaitan amat jahat kerana
setiap masa berfikir untuk menyesatkan manusia daripada mengikut jalan AlLah
SWT. Yang bodohnya tentunya manusia, sebab syaitan tak pernah memberikan
apa-apa kepadanya tetapi dia pula sanggup menjadi pengikut & pendokong idea
syaitan. Sedangkan AlLah SWT yang memberikan segala-gala kepadanya dilawan
& diderhakainya.
4. Yang
telah ditetapkan atasnya (syaitan itu), bahawa sesiapa yang menjadikannya teman
, maka Sesungguh syaitan akan menyesatkan & memimpin mereka menuju neraka.
AlLah SWT sejak dari dahulu telah
menetapkan sesiapa sahaja yang menjadikan syaitan sebagai ikutan & teman
keakrabannya; tanpa mengira status orang itu, orang Arabkah dia, orang
Melayukah dia, orang kutubkah dia, orang gurunkah dia, syaitan pasti akan menyesatkannya.
Ekoran dari kesesatan itu akan menyebabkan seseorang meluncur laju menuju
neraka. Sesat kerana mereka tidak berjumpa dengan jalan yang benar yang
dikehendaki & diredhai-NYA.
Ya,tidak ada sesiapa yang dapat menafikan
bahawa langit yang megah tanpa tiang berada di atas kepala & bumi yang
terhampar di bawah telapak kaki kita yang cukup indah dengan kepelbagaiannya
ini, bukan kita yang menjadikannya,
bukan kerajaan kita atau kerajaan orang lain yang menjadikannya. Semua manusia
mengakui sama dia seorang Muslim atau sang penyembah sesama yang dijadikan;
berhala, patung, kayu, batu, haiwan, manusia dsb; bahawa yang menjadikan langit
& bumi ini hanya AlLah SWT.
Sebagai pencipta & pemilik tunggal
langit, bumi serta semua yang berada di antara keduanya, wajarlah DIA
menentukan peraturan yang perlu diikuti untuk sesiapa sahaja yang ingin menjadi
penghuni langit & bumi.Dalam masa ini muncullah syaitan dengan angkuh &
takaburnya menongkah arus. Syaitan menjadi pembangkang & penentang setiap
peraturan yang telah dipetakan AlLah SWT. Misalnya peraturan AlLah SWT
Menetapkan
sebelum manusia dijadikan lagi iaitu untuk bersama dengan lelaki atau perempuan
mestilah melalui jalan yang bernama perkahwinan. Tetapi syaitan pula
mempromosikan cara yang lain & diiklankannya ke dalam hati manusia sebagai
alternatif untuk bersama yang bukan muhrim. Misalnya syaitan mengiklankan apa
yang dinamakan kekasih sebagai pengganti suami atau ieteri, dipromosinya
istilah gundek, gro, perempuan simpanan, gigolo, pelacur, sebagai pengganti
kepada pasangan yang sah yang terikat melalui iqad & qabul. AlLah SWT
mengizinkan untuk lelaki berkahwin sehingga empat orang tetapi menutup semua
lorong & lubang ke arah perzinaan.
AlLah SWT mengizinkan hubungan badan antara
lelaki & perempuan yang sudah disahkan melalui ikat perkahwinan untuk
bersetubuh tetapi syaitan pula mempromosikan agar cara hidup gay & lesbian
atau transeksual. Hasil & natijah dari hubungan yang halal & bila sang
isteri disahkan hamil, maka semua akan dihinggapi perasaan gembira ayang tidak
terhingga kerana bakal menerima orang baru dalam hidup. Si isteri bangga kerana
dia akan melaksanakan kerja paling mulia; meramaikan umat manusia di dunia.
Kerja yang hanya satu-satunya boleh dilakukan oleh insan yang bergelar
perempuan. Si suami juga senyum kerana dia bakal mendapat gelar bapa &
bakal mendapat tambahan pahala kerana melayan karenah anaknya. Mentua pula
bergembira kerana mereka bakal mendapat gelaran datuk yang diberikan AlLah SWT
kepada mereka. Berbeza amat dengan kejadian hamil jika tidak melalui saluran
nikah yang sah, semua akan dihimpit resah. Semua akan cuba lari dari beban
& dipertanggungjawaban untuk mengaku benih yang dikandung itu zuriat mereka.
Justeru banyaklah jumlah anak-anak zina ini dibuang di merata-rata.
Ya, Islam ini suatu cara hidup yang cukup
unik & berperaturan. Segala peraturan disusun & dirangka oleh AlLah SWT
sebelum manusia pertama siap diciptakan; Nabi Adam AS. Peraturan AlLah SWT itu
meliputi soal aqidah= tumpuan & fokus keyakinan kepada perkara yang ghaib ,
ibadah = tatacara untuk membersih & menenangkan diri tiap hari, munakahat =
tataperaturan untuk bersuami isteri & melayan karenah & reaksi sang
anak nanti, muamalat = tatatertib untuk mencari rezeki, siyasah = tatakrama
untuk mentadbir, jinayah = tatadidiplin untuk berhadapan dengan ganasnya gaya
penjenayah sama penjenayah solo atau berkumpulan.
No comments:
Post a Comment