About Me

My photo
saya guru di maahad al-sabirin,ayer lanas, kelantan memberi kuliah/ceramah/tazkirah/khutbah / bengkel dsb secara percuma berminat hubungi saya di 01113091996 atau fauziamirgus@gmail.com

Followers

Wednesday, January 18, 2012

Surah ar-Ra’d Ayat 36 -43



Malam ini  26 Safar 1433 bersamaan 21 Jan  2012 
Tazkirah 3 kali sebulan (minggu 1, 3, & 4 setiap bulan)
Masjid Wak Dir, Kg Telok Kemunting Timur, Tawang
Hari Khamis Malam Jumaat

Surah ar-Ra’d Ayat 36- 43

36. Dan orang-orang yang KAMI berikan kitab, mereka berasa gembira terhadap apa yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya. katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah AlLah, dan  tidak mempersekutukan-Nya.: kepada-NYAlah Aku berdoa dan kepada-NYAlah tempat kembaliku ".
37. Dan demikianlah KAMI menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. dan kalau engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu, maka engkau tidak akan memperoleh penolong & penjaga selain dari Allah.
38. Dan sesungguhnya! KAMI telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan KAMI jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. dan tidak ada seorang pun Rasul yang membawa keterangan melainkan dengan izin AlLah. & bagi setiap tempoh itu sudah tercatat.
39. Allah menghapuskan apa jua yang dikehendaki-NYA dan  apa jua yang dikehendaki-NYA. & pada sisiNya ada "Ibu Segala suratan".
40. Sama ada KAMI perlihatkan kepadamu (Wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang KAMI janjikan untuk mereka atau KAMI wafatkanmu sebelum melihatnya , itu bukan urusanmu,  kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan sedang KAMI yang akan menghitung & membalas amal mereka.
41. Apakah  mereka tidak  melihat bahawa KAMI mendatangi daerah-daerah orang kafir, & kami kurangi daerah tersebut dari tepi-tepinya. & Allah menetapkan hukum sekehendak-NYA; tiada sesiapapun yang dapat menghalang & menolak hukum-NYA, DIA lah  yang amat cepat hitungan hisab-NYA.
42. Dan sesungguhnya telah membuat angkara mereka yang sebelum kamu & kepada AlLah kembali semua angkara itu. DIA mengetahui apa yang diusahakan oleh setiap diri. & orang-orang kafir  akan mengetahui siapakah yang mendapat tempat kedudahan yang baik.
43. Dan orang-orang kafir itu berkata: "engkau bukanlah seorang Rasul". Katakanlah (kepada mereka): "Cukuplah AlLah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah".




36. Dan orang-orang yang KAMI berikan kitab, mereka berasa gembira terhadap apa yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya. katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah AlLah, dan  tidak mempersekutukan-Nya.: kepada-NYAlah Aku berdoa dan kepada-NYAlah tempat kembaliku ".
                       Sesungguhnya agama AlLah SWT ini (Islam) merupakan cara hidup kesemua para nabi & rasul. Ajaran Islam ini termuat dalam kitab ataupun suhuf yang diturunkan kepada para anbiya ini. AlLah SWT sengaja mewajibkan kita hanya mengetahui  4 kitab sahaja; iaitu Taurat yang diturunkan kepada Nabi AlLah Musa AS, Zabur diturunkan kepada Nabi AlLah Daud AS, Injil yang dikhaskan kepada Nabi AlLah Isa AS, & al-Qur’an untuk Baginda Nabi Muhammad SAW. Begitu juga dengan suhuf, dalam al-Qur’an antara lain menyebut Suhuf Ibrahim & Suhuf Musa dalam Surah al-A’la ayat terakhir. Orang –orang alim yang membaca kita terdahulu khasnya kitab Taurat & Injil, semua mereka mengetahui dengan amat pasti & terperinci tentang akan lahirnya Junjungan Nabi Akhir Zaman. Lantas mereka menyambutnya dengan ceria & gembira, kerana adanya kesinambungan ajaran AlLah SWT di dunia.
            Walau bagaimanapun masih terdapat di sela-sela hidup ini, para ahli kitab yang enggan percaya kepada kebangkitan Nabi Akhir Zaman ini, malah tanpa segan silu menjadi penentang ulung atau penentang nombor satu. Penentangan  ahli kitab yang jahat ini bukan kerana apa, sebenarnya kerana dibaluti sikap dengki. Mereka menjadi penentang kepada kebenaran walaupun mereka tahu yang mana satu yang benar & mana satu pula yang palsu.
            Untuk menghadapi golongan yang seperti ini, iaitu mereka yang tahu akan kebenaran tetapi menentang kebenaran ini, AlLah SWT mengajarkan kita agar beritahu; seruan dakwah ini untuk mengajak semua supaya menyembah & berabdi kepada AlLah SWT sahaja. Kita tidak mengajak manusia supaya menyembah kita & berabdi kepada kita. Dalam  pada yang sama juga kita tidak mensyirikkannya dengan sesuatu. Pendakwah perlu menegaskan bahawa yang tidak boleh & haram dipersekutui itu hanya AlLah SWT. Jadi segala seruan perlu dikembalikan kepada-NYA. Segala macam doa permohonan hanya layak dipanjatkan kepada-NYA, kerana suatu hari nanti esok atau lusa kita akan dipaksa mati & mati bukan kesudahan hidup, tetapi mati itu berupa satu tiket untuk bertemu-NYA.


 

37. Dan demikianlah KAMI menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab & kalau engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu, maka engkau tidak akan memperoleh penolong & penjaga selain dari Allah.
            AlLah SWT menegaskan bahawa DIA sengaja memilih bahasa Arab untuk dijadikan medium penulisan kitab-NYA yang terakhir. Dalam al-Qur’an diterap-NYA segala macam peraturan yang perlu diikuti manusia sewaktu hidup mereka. Segalanya ada tercatat dalam al-Qur’an secara umum, adapun untuk penjelasannya Baginda Nabi SAW menunjukkan caranya melalui hadis & sunnah Baginda SAW. Umpamanya dalam al-Qur’an adanya peraturan untuk bersolat secara umum, tidak dinyatakan berapa rakaat, berapa waktu, rukun-rukun, dsb. Lalu Bagindalah yang memperincikan bagaimana rupa & bentuk solat itu; apa nama solatnya, berapa rakaatnya, masanya, rukun-rukunnya dsb.
            Dengan adanya penjelasan dalam al-Qur’an yang terang, jelas, & nyata serta mudah untuk diikuti itu, seharusnya manusia tidak menjadikan hawa nafsunya sebagai pemandu, kerana sepatutnya al-Qur’an yang perlu dijadikan pemandu untuk memandu seluruh hidup ini ke arah yang direstui & diredhai-NYA. Sesiapa yang menjadikan al-Qur’an sebagai penolong & penyuluh untuk memandu perjalanan hidupnya, maka AlLah SWT yang akan memastikan jalan hidupnya menuju bahagia. Sebaliknya jika sesiapa yang menjadikan hawa nafsu sebagai kendali hidupnya, maka AlLah SWT akan berlepas diri daripada manusia itu. Sedangkan selain daripada AlLah SWT sebenarnya tidak ada lagi sesiapa yang boleh menolongnya, walaupun sedikit.



38. Dan sesungguhnya! KAMI telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan KAMI jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan & tidak ada seorang pun Rasul yang membawa keterangan melainkan dengan izin AlLah & bagi setiap tempoh itu sudah tercatat.
            AlLah SWT menegaskan bahawa kesemua para anbiya yang diutus-NYA sejak zaman berzaman mempunyai keluarga masing-masing yang terdiri daripada isteri & anak. Isteri para anbiya ini semuanya terdiri daripada manusia & melahirkan zuriat yang manusia pula. Sebanyak mana yang disampaikan oleh para anbiya ini bukan rekaan & khayalan mereka semata-mata, tetapi semua itu wahyu yang diperintah AlLah SWT untuk disampaikan kepada umat manusia. Setiap para anbiya ini ditentukan tempoh dakwahnya sehinggalah dia dijemput untuk mengadap RABB. Ada antara para anbiya ini yang memakan masa yang lama dakwahnya seumpama Nabi AlLah Nuh AS yang tempoh dakwahnya di sekitar 50 tahun. Ada pula anbiya yang lebih singkat masa dakwahnya, seumpama Nabi AlLah Isa AS yang dijemput & diangkat ke langit dalam usia 30-an. Adapun usia dakwah Baginda Nabi Akhir Zaman, Nabi Muhammad SAW menelan masa 13 tahun di Mekah & 10 tahun lagi baki dakwah di Madinah; sehingga AlLah SWT mewafatkannya setelah kesemua ajaran AlLah SWT ini disampaikan & diterjemahkannya dalam kehidupan. Bermula dengan ajaran yang berbentuk perseorangan & amalan yang perlu dilakukan apabila bermasyarakat; seperti bernikah kahwin, berniaga, & bernegara, semuanya bermuara kepada ajaran al-Qur’an.



39. Allah menghapuskan apa yang dikehendaki-NYA dan  menguatkan apa  yang dikehendaki-NYA & pada sisiNya ada "Ibu Segala suratan".
          Segala macam perjalanan dunia ini semua dirancang AlLah SWT sejak lama dahulu, sebelum manusia pertama dijadikan lagi. DIA berkuasa menghapuskan apa yang dikehendaki-NYA dengan peraturan alam yang kemas & teratur, sehingga manusia tidak terasa itu kehendak AlLah SWT. Begitu juga DIA berkuasa menguatkan tapak sesiapa sahaja di dunia ini juga melalui peraturan yang kemas & rapi, sehingga manusia berasa, semua rezeki yang sampai ke pangkuannya dari usaha mereka tanpa campurtangan-NYA. Semua perlaksanaan perjalanan dunia ini ada dalam Ummu Kitab yang ada di sisi-NYA.

.


40. Sama ada KAMI perlihatkan kepadamu (Wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang KAMI janjikan untuk mereka atau KAMI wafatkanmu sebelum melihatnya, itu bukan urusanmu,  kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan sedang KAMI yang akan menghitung & membalas semua amal mereka.
          AlLah SWT berkali-kali menegaskan bahawa tugas & kewajipan para anbiya hanyalah menyampaikan risalah yang diwahyukan kepada mereka. Sama ada khalayak menerima dakwah atau menolak, lebih-lebih lagi menentang ajaran bukanlah menjadi tanggungjawab para anbiya. Begitu juga dengan penurunan azab yang dijanjikan AlLah SWT kepada penentang & pembangkang ajaran AlLah SWT ini. Ada antara para anbiya yang sempat menyaksikan azab & bala tersebut & ada pula anbiya yang tidak sempat meilhatnya kerana anbiya itu terlebih dahulu diwafatkan AlLah SWT. Hal itu juga merupakan urusan AlLah SWT bukan kerja para anbiya. Nabi AlLah Nuh AS, Nabi AlLah Hud AS, Nabi AlLah Luth antara anbiya yang sempat melihat azab & bala tersebut.
           

 
41. Apakah  mereka tidak  melihat bahawa KAMI mendatangi daerah-daerah orang kafir, & kami kurangi daerah tersebut dari tepi-tepinya & Allah menetapkan hukum sekehendak-NYA; tiada sesiapapun yang dapat menghalang & menolak hukum-NYA, DIA lah  yang amat cepat hitungan hisab-NYA.
            Sudah menjadi sunnah AlLah SWT di bumi ini, di mana ada kekufuran di situ akan dibangkitkan-NYA utusan-NYA, jika pada zaman dahulu dikenali sebagai nabi & rasul. Tapi dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW maka tiada lagi nabi atau rasul yang bakal terutus. Walau bagaimanapun urusan agama AlLah SWT ini diteruskan oleh pewaris para anbiya yang dikenali sebagai ulama’.
            Apabila ajakan & seruan dakwah ini berjalan, lama kelamaan seisi tempat akan menerima ajaran yang didasarkan wahyu AlLah SWT sebab bertepatan dengan kehendak & naluri semula jadi. Itulah ciri istimewa agama. Mula-mula bilangan pengikut dakwah ini tidak ramai, ibarat berada di tepi-tepi, lama-kelamaan jumlah pengikut Islam ini akan bertambah pesat. Umapamanya sewaktu Baginda SAW berdakwah di Mekah tidak banyak yang berani menyertai ajakan dakwah RasullulLah SAW ini, tapi setelah berada di Madinah berduyung-duyung pula menerima dakwah termasuk mereka yang berada di Mekah. Kehendak AlLah SWT dalam menentukan apa yang bakal terjadi tiada siapa yang mampu menghalangnya. Adapun siksa AlLah SWT untuk para pembangkang & penentang agamanya sebenarnya tidak lama; apabila sahaja seseorang itu mati dia berdepan dengan hitungan itu.


  

42. Dan sesungguhnya telah membuat angkara mereka yang sebelum kamu & kepada AlLah kembali semua angkara itu. DIA mengetahui apa yang diusahakan oleh setiap diri. & orang-orang kafir  akan mengetahui siapakah yang mendapat tempat kedudahan yang baik
                              Semua perancangan musuh untuk menghancur & memusnahkan Islam semuanya diketahui AlLah SWT, sama ada perancangan itu dibuat secara perseorangan atau dibuat secara beramai-ramai walaupun dibincang secara tertutup & sulit; kerana AlLah SWT berada di mana sahaja kita ada. Apabila mati semua orang akan tahu siapakah yang mendapat tempat yang selesa siapa pula yang bakal menderita. Persoalan mati  & kehidupan setelah mati inilah yang selalu ditekan dalam dakwah para anbiya & menjadi bahan ejekan mereka. Kematian yang menjemput membuktikan para anbiya tak pernah bebohong. subhanalLah. 


   
43. Dan orang-orang kafir itu berkata: "engkau bukanlah seorang Rasul". Katakanlah (kepada mereka): "Cukuplah AlLah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah".
                 Kerap benar dalam urusan dakwah ini para nabi tidak dipercayai umatnya, kerana lazimnya para anbiya AlLah SWT ini bukanlah orang yang kaya raya yang boleh ditumpang hartanya atau orang yang berpangkat besar yang boleh ditumpang pengaruhnya. Para rasul biasanya manusia yang paling jujur dikenali dalam masyarakaat setempat. Dalam menanggapi mereka Allah SWT berpesan agar rasulnya memberitahu, jika kamu wahai geng sang kufar tidak mahu percaya & beriman, cukuplan AlLah SWT menjadi saksi kebenaran tentang dakwah ini. begitu juga dengan manusia yang jujur dengan ilmunya dapat membuktikan benarnya para anbiya AlLah SWT ini.






No comments:

Post a Comment

Tetamu

Blog Archive

free counters