Ayat 10-22 : Dialog Nabi AlLah Musa AS Kala mulLah dengan Fir’aun
10. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika RABBmu menyeru Nabi Musa: "Hendaklah engkau datangi kaum yang zalim, -
Cerita atau kisah, sering kali mempengaruhi tingkah & laku manusia. Pengaruh cerita tidak dapat dinafikan peranannya. Justeru tidak menjadi suatu hal yang ganjil atau aneh jika kitab AlLah Yang Maha Suci sejak dari dahulu memuatkannya. Cerita atau kisah yang terdapat dalam al-Qur’an semuanya benar 100% & dapat dibahagikan kepada 3 sahaja.
a) cerita atau kisah yang sudah berlalu;seperti kisah penderhakaan Iblis, kisah para nabi & rasul seperti kisah Nabi Adam AS, kisah Zulqarnain, kisah Luqman, kisah Ashabul Kahf dsb.
b) cerita & kisah yang sedang berlaku;
seperti kisah kejadian manusia, tumbuhnya buah-buahan, berlakunya hujan dsb
c) kisah atau cerita yang bakal kita hadapi;
seperti kisah dalam alam barzakh, alam Mahsyar, syurga & neraka
Kisah & cerita yang ada dalam al-Qur’an ini, kita sebagai penganut Islam diminta mewara-warakannya setiap masa sekurang-kurang untuk diri sendiri, seterusnya untuk diperdengarkan kepada pasangan hidup masing-masing (suami-isteri), juga tidak lupa untuk diceritakan kepada anak-anak & zuriat sendiri. Tapi malangnya pada hari ini, kebanyakan ibu bapa tidak menceritakan kisah para anbiya ini kepada anak-cucu mereka, sebaliknya mereka lebih gemar bercerita kepada anak cucu mereka cerita-cerita doraemon, noruto, mickey mouse, ultraman, dsb melalui tv yang dibeli oleh mereka. Akhirnya membesarlah anak-anak dengan kekaguman mereka kepada cerita-cerita asing & mereka tak pernah kenal manusia pilihan AlLah SWT ini yang terdiri daripada para nabi & rasul.
Antara kisah & cerita yang diminta kita sampaikan kepada anak cucu kita ialah kisah/sirah Nabi AlLah Musa KalamulLah AS. AlLah SWT memulakan kisah Nabi Musa AS dengan menyuruhnya agar berdakwah kepada kaum yang zalim. AlLah SWT mengekadkan kaum yang dihadapi oleh Nabi Musa AS sebagai suatu puak yang zalim. Nabi AlLah Musa AS diminta AlLah SWT agar mendatangi kaum yang zalim untuk menghentikan segala kezaliman kaum tersebut. Oleh sebab AlLah SWT yang mengutarakan istilah zalim ini untuk kali pertama dalam dunia ini, tentulah definisi zalim ini juga AlLah SWT yang mencirikannya. Kaum yang bakal dihadapi Nabi Musa AS ialah satu kaum yang menjadikan manusia sebagai tuhan & sembahan. AlLah SWT menafsirkan manusia yang menyembah sesama manusia sebagai satu perbuatan yang zalim.
11. "Iaitu kaum Firaun; kerana mereka tidak bertaqwa"
AlLah SWT menjelaskan seterusnya kaum yang dianggap & dicap zalim itu ialah kaum Fir’aun. Lipatan sejarah merekodkan antara tamadun besar dunia hari ini ialah tamadun yang tercipta pada zaman Fir’aun. Teknologi pengawetan yang tercipta pada zaman Fir’aun belum & tak mampu ditandingi hingga ke hari ini. sebab itu kita lihat bagaimana mumia Fir’aun hari ini seolah-olah semalam matinya mereka. Teknologi binaan piramid yang tersergam di bumi Mesir juga tidak mampu ditandingi hingga ke hari ini. walaupun teknologi mereka begitu mencapai kemuncak peradaban tapi AlLah mencirikan kaum Fir’aun sebagai kaum yang zalim, Kenapa? Adakah kerana AlLah SWT tersilap? SubhanalLah Maha Suci Allah daripada sebarang kecacatcelaan dulu, kini, dan selamanya.
Zalim diertikan AlLah SWT kerana fokus ketaqwaan mereka tersasar. Mereka bertaqwa kepada Fir’aun & tidak bertaqwa kepada AlLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk menghidup & mematikan sama seperti AlLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk memberi rezeki sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk menembuh penyakit sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa untuk membuat hukuman sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana beranggapan Fir’aun memiliki kuasa rezeki sama seperti ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana menumpahkan segala ketaatan kepada Fir’aun sama seperti ketaatan kepada ALLah SWT. Mereka dianggap kaum yang zalim kerana takut akan Fir’aun sama seperti takut akan ALLah SWT.
Sebagai seorang manusia yang kerdil yang pernah dibela oleh Fir’aun sejak lahir, Nabi Musa AS menyuarakan kebimbangannya kalau-kalau seruan dakwahnya didustakan oleh Fir’aun & kaumnya. Kebimbangan Nabi AlLah Musa AS ada asasnya, sebab dia diminta berhadapan dengan manusia paling jahat pada zamannya, iaitu Fir’aun yang mengaku sebagi tuhan negeri Mesir.
Kebimbangan inilah mungkin menghantui sebahagian daripada lulusan agama yang ada dalam negari & negara kita, lantaran itu banyak antara lulusan agama ini tidak menyiar & menyebarkan ilmu agama yang dipelajarinya sama ada dari dalam atau luar negara.
Ayat ini seharusnya menjadi motivasi kepada para pendakwah, iaitu jika ajakan kita kepada agama AlLah SWT ini didustai manusia, usahlah kita berdukacita kerana para anbiya ASW juga telah mengalami perkara yang sama. Sedangkan para nabi & rasul ini jauh lebih pandai & bijak dalam menyampaikan dakwah. Adanya tribulasi dalam dakwah ini tidak lain hanyalah untuk memberikan tuang & peluang untuk meraih pahala yang lebih kepada para pendakwah. Seandainya hari ini kita berdakwah, esok semua khalayak menerima seruan, maka jumlah pahala yang terkumpul dalam album usia kita tidaklah sebanyak mana.
Jadi teruskanlah menyampaikan keindahan agama AlLah SWT ini dalam medan kemampuan yang kita miliki. Kita tahu sepatah, kita sebarkanlah sekadar sepatah kerana kita tidak dibebankan dengan kewajipan yang di luar kemampuan diri.
13. "Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintah-MU kepada Harun (supaya ia membantuku).
Seterusnya Nabi AlLah Musa AS mengadukan masalah fizikal yang dihadapinya dalam masalah untuk menyampaikan dakwah ini; iaitu lidahnya yang kurang fasih untuk berbicara. Disebabkan keupayaan lidahnya yang kurang fasih itu menyebabkan Baginda bersa sempit dada. Lidah Nabi AlLah Musa AS menjadi keras & kurang fasih disebabkan Baginda AS memasukkan bara api ke mulutnya sewaktu Baginda masih kecil.
Diriwayatkan setelah Baginda AS dihanyutkan di sungai & singgah di pengkalan Fir’aun lalu diambil & dibelai dengan penuh kasih sayang oleh permaisuri Asiyah, sang Fir’aun yang melihat itu menaruh syak bahawa budak inilah yang diramalkan akan menjatuhkan kerajaannya kelak. Baginda Musa AS dipertahankan oleh permaisuri Asiyah dengan menyatakan yang dia masih kecil tak tahu apa-apa, jika diasuh lama-lama dia bakal jadi putera mahkota, kerana dia tak tahu asal-usulnya.
Untuk membuktikan Baginda Musa AS sememangnya budak kecil yang tak tahu membezakan apa-apa, lalu diambil 2 bekas; satu bekas yang berisi bara api yang merah, atu bekas lagi berisi kurma rutab yang juga merah. Apabila didekatkan kepada Baginda AS, tangan Baginda AS ingin menjamah kurma, tetapi ditepis malaikat lalu terambil bara api dimasukkan ke mulutnya. Implikasi daripada itulah menjadikan lidah Baginda AS tidak fasih. Baginda Musa AS memohon kepada AlLah SWT agar melantik saudara tuanya Harun AS untuk membantunya menyampaikan dakwah, kerana Nabi AlLah Harun AS mempunyai kemampuan pertuturan yang jauh lebih fasih. AlLah SWT memperkenankan permohonan Baginda Musa AS & menabalkan Harun AS sebagai nabi untuk menguatkan dakwah.
14. "Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku".
Baginda Musa AS juga menyuarakan kebimbangannya kerana Baginda AS pernah menumbuk orang Fir’aun, iaitu orang Qibti, sedang Nabi Musa AS orang Bani Israel. Hasil dari sekali tumbuk itu, orang Fir’aun terus mati. Kisahnya suatu hari Baginda Musa AS melihat orang Bani Israel, Samiri namanya sedang berkelahi dengan orang Qibti bernama Fatun, atas rasa asabiyyah mungkin untuk membela yang sebangsa Baginda Musa menumbuk Fatun & terus mati orang kaum Fir’aun itu. Hasil daripada itu Baginda Musa AS melarikan diri hingga ke Madyan. Kesalahan yang dilakukan sewaktu zaman Baginda AS belum tertabal menjadi utusan AlLah SWT menghantui program dakwahnya sekarang.
Hal ini memberikan kita pengajaran bahawa kita jangan sekali-kali terlibat & cubalah mengelakkan sebarang kesilapan mudah agar tidak menjadi bebanan perasaan pada masa hadapan. Lebih-lebih lagi kepada para pendakwah, kesalahan pada orang lain mungkin kecil tapi keada pendakwah nilainya menjadi terlalu besar boleh menghalang kelancaran perjalanan dakwah.
Jadi para pendakwah wajar menjaga segala tingkah laku di khalayak banyak sebaiknya perkara yang dilihat makhruh pun wajar dijauhi apa lagi yang berstatus haram. Apa yang berstatus sunnah dihampiri & digilai atau nampak kita berebutan.
15. AlLah berfirman: "Tidak sekali-kali & jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh sebab itu pergilah kamu berdua membawa ayat-ayat KAMI (yang membuktikan kebenaran kamu); Sesungguhnya KAMI ada bersama-sama kamu: mendengar.
Dalam ayat ini AlLah SWT membetulkan persepsi para jurudakwah dulu, kini, & selamanya; iaitu jangan cuba sekali-kali berfikiran negatif; sebelum mencuba sudah fikir ketewasan. Agenda dakwah perlu digerakkan kerana kita hanya berkewajipan menyampaikan, sama ada orang mahu menerima seruan dakwah itu atau menolak & tidak mahu menerima atau membenci ajakan kepada Islam itu bukan menjadi tanggungjawab kita. Bergeraklah ke serata ceruk bumi untuk menyampaikan ajakan kepada keindahan Islam. Usah difikiri jika aku yang menyampaikan, adakah orang yang mahu mendengarnya. Usah difikiri jika aku yang menyampaikan, adakah orang yang mahu mempercayainya. Usah difikiri jika aku yang menyampaikan, adakah orang yang mahu mengikutinya. Sebelum memulakan kuliah misalnya jangan difikir adakah orang yang akan mendengarnya.
Seruan dakwah yang kita kumandangkan itu dijamin AlLah SWT Yang Maha Mendengar bahawa DIA akan sentiasa mengikuti perkembangan dakwah kita dengan sentiasa mendengarnya. Walaupun tidak ada orang yang akan mempercayai & mendengarnya; tetapi AlLah SWT sentiasa mendengar.
16. "Maka pergilah kamu kepada Fir’aun, kemudian katakanlah kepadanya: Sesungguhnya kami adalah utusan RABB sekalian alam.
Nabi AlLah Musa AS seterusnya dititahkan-NYA untuk segera pergi berjumpa dengan Fir’aun bukan untuk mengajak Fir’aun berbincang pasal ada projek yang tergendala, tetapi membawa dakwah. Ajaran pokok dalam dakwah untuk Fir’aun ialah memperkenalkan diri sebagai dua orang daripada mereka yang menjadi rasul kepada RABB sekalian alam.
Set pengenalan ini sebenarnya dengan sinis menyindir Fir’aun yang mengaku dia tuhan negeri Mesir. Nabi AlLah Musa & Harun AS memperkenalkan dirinya sebagai utusan RABB yang menguasai sekalian alam. Pengenalan dakwah kedua-dua nabi tersebut tentunya menempelak dakwaan Fir’aun selama ini bahawa dia tuhan Mesir. Tentunya kedua-dua nabi tersebut lebih tinggi statusnya berbanding Fir’uan tuhan negeri Mesir sedang nabi AlLah Musa & Harun utusan RABB semua alam.
17. "Bebaskanlah kaum Bani Israil untuk mengikut kami".
Bukan sekadar memperkenalkan diri sebagai utusan RABB sekalian alam yang jauh lebih hebat dari Fir’aun yang mendakwa dia tuhan Mesir, tambah babak yang mengejutkan Fir’aun lagi apabila Nabi AlLah Musa & Harun meminta agar Fir’aun membebaskan semua kaum Bani Israel yang dijadikan hamba abdi Fir’aun di Mesir. Dakwah kedua-dua nabi tersebut juga berperanan sebagai seruan kemerdekaan untuk Bani Israel yang diperhamba sekian lama.
Fir’aun berketurunan Qibti (Mesir lama) sedang kaum Nabi Musa AS berketurunan Bani Israel. Asal usul kaum Bani Israel ini di Syam. Mereka mendiami & memakmurkan bumi Syam. Kaum Bani Israel telah berhijrah beramai-ramai dari Syam ke Mesir semasa Nabi AlLah Yusoff menjadi pembesar Mesir. Kebetulan pada zaman itu, negeri Mesir melalui perancangan & strategi masa depan yang diatur & diselanggara Nabi Yusoff menjadi makmur & terkenal. Sedangkan di Syam pula mengalami kemarau yang panjang menyebabkan seluruh Bani Israel dihimpit derita kebuluran. Untuk melepaskan mereka daripada gigitan kemarau yang bersangatan, Nabi AlLah Yaakob mengirimkan anak-anaknya iaitu adik-beradik Nabi AlLah Yusoff untuk meminta bantuan makanan ke Mesir.
Nabi Yusoff AS melalui strategi tertentu telah dapat menarik minat bukan sahaja adik-beradik & ayahandanya datang ke Mesir, bahkan kaum Bani Israel telah menjadikan bumi Mesir sebagai tempat penghijrahan. Telah menjadi resam alam di dunia, roda kehidupan kita selalu berpusing, ada masa-masanya berada di bawah; tapi bukan selama-lamanya di bawah. Ada kala & ketikanya pusingan roda tersebut akan berada di atas; tetapi tidak akana berada di atas untuk selama-lamanya. Sama hal & keadaan yang dialami kaum Bani Israel, semasa keberadaan Nabi AlLah Yusoff, apabila mereka mentaati perintah AlLah SWT & rasul, dengan mereka mendampingkan diri kepada Islam mereka menjadi terhormat & mulia. Setelah lama masanya kewafatan nabi AlLah Yusoff AS mereka mula meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit, akhirnya mereka terpisah daripada ajaran AlLah SWT & akhirnya sebahagian mereka diperhambakan oleh kaum Qibti dengan zalimnya.
18. Fir’aun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan Kami semasa engkau kanak-kanak baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun?
Dakwah Nabi AlLah Musa & Harun kepada Fir’aun dengan memberitahukan bahawa kedatangan mereka berdua sebagai rasul utusan RABB sekalian alam & meminta Fir’aun membebaskan semua kaum Bani Israel yang diperhambakan. Anehnya ya, apabila Fir’aun gagal menjawab hujah Nabi Musa & Nabi Harun AS, Fir’aun cuba mengalihkan isu pokok perbincangan. Fir’aun mengalihkan fokus isu yang diketengahkan Nabi Musa AS; iaitu ketuhanan AlLah yang mengutusnya sebagai rasul untuk mengajak Fir’aun kepada ajaran Islam & jangan lagi Bani Israel dijadikan hamba, keran semua manusia yang dilahirkan mereka merdeka.
Fir’aun membangkitkan isu yang dia lah yang memelihara Nabi AlLah Musa AS daripada hari lahir sehinggalah Nabi AlLah Musa AS melonjak menjadi muda belia yang gagah lagi perkara. Nabi AlLah Musa AS dibela oleh Fir’aun ini merupakan perancangan AlLah SWT. Barisan kabinet kabinet Fir’aun yang meluluskan usul & undang-undang untuk membunuh bayi lelaki yang dilahirkan dalam kalangan kaum Bani Israel. Usul membunuh anak-anak lelaki ini diperkenalkan untuk menghalang daripaa hidupnya manusia yang bernama Musa bin Imran. Ibu Nabi AlLah Musa Yukabad terpaksa menghanyutkan bayinya yang baru sahaja dilahirkan, walaupun belum puas bermain & melepaskan segala rasa rindu. Untuk memgelakkan & menyelamatkan bayinya yang bernama Musa daripada menjadi mangsa kekejaman Fir’aun.
Jadi Fir’aun membela Nabi AlLah Musa semenjak umurnya sehari sehinggalah menjadi muda belia yang gagah & perkasa bukan didorong oleh sifat kemanusiaan yang dari dalam diri Fir’aun, tetapi ada sebab lain. Antara sebabnya Fir’aun tidak ada anak, mudah-mudahan Musa dapat dijadikan anak angkatnya, walaupun mendakwa dia sebagai tuhan tapi gagal untuk membuatkan anak untuk dirinya sendiri.
19. "Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu jenayah dan (dengan itu) engkau menjadi kafir dengan kami (dari orang-orang yang tidak mengenang budi)?"
Fir’aun terus menyerang emosi Nabi AlLah Musa AS dengan membuka & membongkar kesilapan yang pernah dilakukan Nabi AlLah Musa AS; iaitu membunuh salah seorang pengikut Fir’aun. Untuk rekod kesalahan iaitu membunuh manusia yang dilakukan oleh Musa itu, Baginda AS lakukan sebelum baginda dilantik menjadi rasul. Dengan erti kata lain pembunuhan itu dilakukannya pada zaman jahiliyyahnya.
Disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh Nabi AlLah Musa AS itu walaupun pada zaman & masa jahiliyyah, Fir’uan melabelkan Nabi Musa AS sebagai tergolong daripada orang kafir. Lawaknya ya, Fir’aun menuduh & melabelkan Nabi AlLah Musa AS sebagai kafir. Padahal Nabi AlLah Musa AS tidak pernah melakukan perkara-perkara yang mensirna & membatalkan ucapan 2 kalimah syahadah.
20. Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan yang demikian ketika itu kerana aku sesat (belum mendapat petunjuk).
Nabi AlLah Musa AS mengakui kesalahannya membunuh itu tetapi agenda pembunuhan yang dilakukannya itu disebabkan oleh dirinya berada dalam kesesatan. Sebagai pendakwah kita mesti berani mengkui kesalahan yang kita pernah perbuat. Walaupun mengakui kesalahan itu mungkin memahitkan tapi percayalah kebanyakan ubat itu pahit sifatnya.
Secara tersirat Nabi AlLah Musa AS cuba menjelaskan soal terbiyyah yang didapatinya daripada Fir’aun. Sepanjang dia berada dalam istana & kawalan Fir’aun, Fir’aun tidak pernah mengajarkan kepada seorang Musa ini yang mana satu haq yang mana satu batil, yang mana satu jalan hidayah yang mana satu pula jalan yang sesat, yang mana satu hamparan benih iman yang mana satu pula tumbuhan yang membuahkan kufur, yang mana satu jalan yang dipenuhi cahaya yang mana satu pula jalan yang mengundang bahaya.
Jika kita pada hari ini hanya memberi makan, minum, & pakaian sahaja kepada orang yang di bawah tanggungjawab kita, kefahaman agama kita abaikan, soal iman & kufur kita ketepikan, masalah dosa pahala kita tolak ke tepi, masalah akhirat kita abaikan, kita sebenarnya sama seperti cara Fir’un mendidik. Atau dengan kata lain kita meniru Fir’aun dalam pendidikan. Kita jadikan Fir’aun ikonik kita dalam tarbiyyah.
21. "Lalu aku melarikan diri dari kamu, kerana berasa takut kepada kamu; kemudian RABBku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku salah seorang daripada Rasul-Nya.
Nabi AlLah Musa AS terus menyambungkan hujahnya. Iaitu setelah berlaku pembunuhan tersebut, dia dihinggapi rasa takut yang mendalam. Kesan daripada itu menyebabkannya melarikan diri jauh dari bumi Mesir. Lari dari kekejaman undang-undang ciptaan Fir’aun. Lari daripada kepalsuan kehidupan di istana Fir’aun, daripada jauh namapak macam air bila didekati hanyalah fatamorgana sahaja. Dalam sirah dinukilkan Nabi AlLah Musa AS berjaya membawa dirinya lari & terus berlari sehinggalah tiba & sampai di bumi Madyan.
Semasa di bumi Madyan inilah AlLah SWT telah mengajarkan sendiri Nabi Musa AS dengan pelbagai hikmat & ilmu yang tidak diberikan kepada sesiapa selain kepada Nabi AlLah Musa AS sahaja. Setelah mantap imu pengetahuan dari isi kitab yang pernah AlLah SWT turunkan, diajarkan kepada nabi Musa AS, barulah AlLah SWT menangkat darjat nabi tersebut menjadi rasul.
22. "Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau memperhambakan kaum Bani Israil.
Berikutnya Nabi AlLah Musa AS terus menempelak Fir’aun dengan pertanyaan; adakah dikira jasa dengan Fir’aun membelanya seorang sahaja sejak daripada kecil sedangkan ada puluhan ribu lagi warga Bani Israel yang dijadikan hamba kepada kaum Qibti. Berbaloikah atau terpadamkan dosa Fir’aun yang selama ini memperhambakan semua kaum Bani Israel dengan membela hanya Nabi Musa AS.
No comments:
Post a Comment